Mmm, sedap (© Elyanna Samsudin / sxc.hu)KETUPAT, rendang, kuih-muih, baju Raya, mercun, langsir, sofa baru dan lain-lain lagi. Jika semua ini disebut, secara automatiknya ia akan menggambarkan suasana Hari Raya di dalam kepala masing-masing. Tidak ada perkara lain yang dapat menggambarkan suasana ini.
Kemudian muncul pula pesanan-pesanan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati sewaktu memandu pulang ke kampung halaman. Pihak lebuhraya juga sibuk memasang khemah untuk menambah pondok-pondok tol bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.
Sudah pasti banyak iklan untuk drama dan rancangan berkaitan Hari Raya dipaparkan di kaca televisyen anda. Kalau dulu pada zaman 1980-an, kita banyak dihiburkan dengan persembahan sarkas atau pertunjukan magik di televisyen sempena Hari Raya kerana pada zaman itu tidak ada stesen swasta seperti sekarang, apatah lagi piring Astro. Yang ada cuma stesen RTM. Ini senario di Malaysia.
Seperti tulisan kami yang lain sebelum ini, apa yang kami hendak ceritakan pasti tersimpang dari permulaan artikel kami. Entah kenapa dan bagaimana, kami memang gemar menulis begini (mungkin sebab kehidupan kami pun begini). Mungkin juga sebab kami terpengaruh dengan tulisan majalah Mangga dan URTV yang memilih tajuk-tajuk yang mantap untuk menarik pembaca. Atau mungkin tidak.
Pandu cermat, jiwa selamat (© Ginny Warner / sxc.hu)Apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang perayaan yang dirayakan mengikut latar masyarakat. Apa yang kami tulis di atas ini adalah mungkin sebahagian daripada cara rakyat Malaysia yang beragama Islam menyambut Hari Raya.
Sosio budaya dan adat resam
Benar, umat Islam diwajibkan merayakan Aidilfitri. Umat Islam juga diharuskan untuk menghiaskan diri pada hari perayaan ini dan dilarang untuk berpuasa sama sekali. Tapi bagaimana cara sambutan selainnya adalah sangat subjektif. Ia lebih bertitik-tolak pada sosio budaya dan adat resam sesebuah masyarakat itu sendiri.
Islam itu agama, budaya itu cara hidup. Kalau kita lihat mana-mana perayaan dari mana-mana agama sekalipun, kita akan menjumpai cara sambutan yang berlainan mengikut latar budaya dan masyarakat itu sendiri. Ini kerana agama dan budaya merupakan dua benda yang saling berkaitan. Saling memberi dan menerima serta saling memperguna dan diperguna.
Mungkin masih terdapat cara-cara sambutan yang kita lihat seakan serupa dan hampir sama. Itu adalah kerana collective unconsciousness atau dalam Bahasa Malaysianya, perkongsian tanpa sengaja, seperti yang telah tertulis dalam teori sosiologi dan antropologi drama. Ini mungkin kerana sejarah permulaan kebanyakan budaya di dunia mempunyai punca yang sama; contohnya tamadun awal dunia seperti Hindu-Buddha yang banyak memberi kesan kepada budaya-budaya awal yang muncul di Asia.
(© Alberto Segura / sxc.hu)Di Palestin terdapat puak yang bermain layang-layang yang berwarna-warni sebagai salah satu cara mereka meraikan Aidilfitri. Malah kalau kita bandingkan negeri-negeri di Malaysia juga terdapat cara sambutan yang berlainan. Sebagai contoh, di negeri Kelantan kebanyakan penduduknya menyambut Aidilfitri dengan cara yang paling sederhana tetapi mereka lebih meriah ketika Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Haji).
Kenapa ini berlaku? Kami tidak ada bukti-bukti yang kukuh dan konkrit, hanya gosip liar yang merewang di seluruh negara yang sudah biasa didengar oleh setiap pelosok masyarakat. Tapi kami yakin, ini semua berkait rapat dengan apa yang kami katakan tadi iaitu tentang sosio budaya.
Raya dan teater
Namun bagaimana sekalipun kita (kawan-kawan yang kita suka yang beragama Islam) menyambut Hari Raya, ianya bertitik-tolak dari satu misi dan keinginan yang sama, iaitu “meraikan” atau “merayakan”. Begitu juga dengan teater. Secara asasnya fungsi teater muncul untuk menjadi cermin kepada masyarakat dan merayakan hidup. Kami ulang, merayakan.
Jadi tidak salah kalau kita ingin merayakan Hari Raya dengan mengadakan pementasan teater, janji kandungan teater itu adalah sesuatu yang bagus untuk masyarakat dan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum hakam Islam terhadap Hari Raya itu.
Mungkin ia kedengaran mustahil untuk dilakukan dan dibudayakan di Malaysia ini, namun bagi kami ia bukanlah sesuatu yang mustahil selagi kita tidak mencuba. Seperti istilah orang putih (eh, kami tahu istilah lain?), expect the unexpected. Kami berani berkata begini kerana di Malaysia, perkara yang paling pokok dalam perayaan ialah berkumpul, bermesra, dan berbual bersama sanak-saudara yang jarang berjumpa. Seperti lirik yang terdapat dalam lagu-lagu Raya, “setahun hanya sekali”.
Jadi bagi kami, teater itu juga satu ruang yang boleh mengumpulkan manusia dan masyarakat. Malah kita boleh merapatkan silaturrahim sesama manusia (ayat yang membuatkan kami kelihatan lebih matang). Mana tidaknya, selepas menonton sesebuah pementasan itu, kita akan berbincang, berkongsi idea dan pendapat tentang pementasan itu.
Malah kalau bernasib baik, kita boleh berkenalan dengan gadis-gadis dan menambah kenalan baru melalui perbincangan tersebut. Kemudian bolehlah kita membawa kenalan-kenalan itu untuk bersama-sama beraya di rumah sanak saudara dan rakan taulan pada Hari Raya yang kedua atau ketiga, kalau pementasan itu di Hari Raya yang pertama (Raya kan sebulan).
(© Tan Wei Ming / Dreamstime)
Jadi bagi kami, perkara ini boleh kita cuba terapkan dalam budaya masyarakat Malaysia. Satu alasan kami yang kukuh adalah kerana menonton wayang pada Hari Raya yang pertama di Malaysia sudah menjadi kebiasaan. Malah terdapat banyak filem yang memulakan tayangan mereka pada Hari Raya yang pertama. Jadi kenapa tidak teater?
Jawapannya ada pada kita (kawan-kawan yang kita suka, semua agama).
Cuba kita bayangkan pementasan teater didatangi oleh penonton yang mengenakan baju Melayu, cheongsam, sari, baju kurung, serta kebaya moden yang menampakkan lagi keanggunan gadis-gadis kita, atau apa sahaja yang menunjukkan betapa majmuknya masyarakat kita, berkumpul meraikan Aidilfitri dengan menonton teater. Mungkin juga kita boleh datang dengan membawa kuih-muih untuk dikongsi selepas menonton pementasan tersebut. Bukankah lebih indah panggung teater tersebut itu nanti?
Haaa… nampaknya kami semakin teruja sekarang ini, maafkan kami kalau anda tidak terkesima. Dengan itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan satu ucapan yang mungkin kedengaran klise iaitu Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin untuk kawan-kawan yang kita suka!
Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.
akiss says
Good article. Lain tempat, lain budaya. Nak juga mulakan trend main layang-layang masa raya…best nyaaa… Teringat zaman kanak-kanak, bile nak raya je… banyaklah sarkas di tv. Haha.
YangMendung says
Persembahan teater Hari Raya Pertama? Tahun depan kita cuba buat eh.