Pesta pora di pusat bandaraya Kuala Lumpur malam menjelang Hari Kemerdekaan ke-50, 2007
KITA ada Dataran Merdeka untuk golongan makcik dan pakcik (old-timer yang lebih mementingkan keluarga dan patriotisme), kita ada Bukit Bintang untuk golongan remaja yang lebih bersifat terkini (life is short so enjoy), dan macam-macam tempat lagi.
Semuanya menghidangkan acara-acara sambutan kemerdekaan yang hampir sama, persembahan dari artis tempatan, countdown (kiraan beramai-ramai) dan tembakan bunga api yang diselang-selikan dengan sorakan dan semburan spray ke muka serta kepala.
Kemudian yang berkeluarga boleh terus pulang ke rumah bersama belon-belon pelbagai bentuk, dan yang muda remaja boleh menyambung sambutan berdansa di lantai club bersama perhiasan lip lap-lip lap (perhiasan yang glow in the dark).
Ya memang meriah. Tapi bukan itu yang ingin kami ceritakan di sini. Bukan. Ini bukan catatan pengalaman atau diari Sehari Di Malam Merdeka, apatah lagi luahan hati lelaki yang keceper (kecewa percintaan) akibat tak ada awek di malam merdeka. Tidak.
Soalnya di sini bukan di mana tempat paling sesuai atau mengharukan untuk kita sama-sama menyambut countdown. Itu semua luaran. Itu semua permukaan. Itu semua sementara dan duniawi semata (kata-kata yang kononnya membuat kami berbunyi lebih matang). Macam makan buah-buahan, kita nak isinya, bukan kulitnya.
Inikah merdeka?
2008-1957 = 51. Dah 51 tahun. Ya, dah 51 tahun kita merdeka dari penjajah. Sudah tidak ada lagi tentera Jepun yang akan memaksa kita panjat pokok kelapa atau minum air sabun. Sudah tidak ada lagi tentera British yang akan kutip cukai daripada kita, atau masuk ke rumah kita tanpa membuka kasut. Benar. Dah tak ada.
Apa yang kita ada sekarang? Kita ada KLCC, kita ada litar F1 sepang, kita ada Smart Tunnel, Monorail, Proton; kita ada Putrajaya, kita ada Pavilion, kita ada cuti-cuti Malaysia: “Pergilah melancong, semuanya ada di sini.”
Cuba kita lupakan sebentar tentang kemajuan dan globalisasi. Apakata kita cerita tentang demokrasi yang mati atau tentang mentaliti yang terkunci. Tentang pelajar UiTM yang berdemonstrasi dengan membawa sepanduk “Jangan rampas hak Melayu” hanya kerana menteri besar Selangor mencadangkan agar UiTM memberikan kuota 10% untuk pelajar bukan bumiputera.
Tentang bangunan Majlis Peguam yang diserang dengan pelbagai teriakan dan sepanduk, termasuk yang berbunyi “Jangan cabar ketuanan Melayu”, hanya kerana menganjurkan forum yang menyentuh isu pemelukan agama Islam di Malaysia.
Kalau pada tahun 1948 undang-undang darurat kerajaan Inggeris telah diwujudkan untuk menahan (tanpa bicara) para pejuang yang menuntut kemerdekaan, sekarang undang-undang tersebut ada kesinambungan di dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), yang menahan (tanpa bicara) para individu yang kononnya berbahaya walaupun hanya menulis satu artikel tentang kebenaran.
51 tahun dahulu… (Domain awam)
Persoalannya, inikah merdeka? Ya, ini merdeka yang kita ada. Tapi inikah yang dikatakan merdeka? Tidak mahu kami nyatakan di sini tentang takrif “merdeka” atau perkataan sinonim untuk merdeka. Sebab kami bukan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kerana kami pasti semua lapisan masyarakat Malaysia, tak kira di kampung atau di kota, tahu benar akan ertinya merdeka.
Bila dibincangkan hal-hal begini, pelbagai persoalan akan timbul. Proses pencarian jawapan terhadap segala persoalan itu pula akan membawa kita kepada pelbagai cabang cerita dan andaian. Namun apapun andaian serta pendapat yang diutarakan semestinya harus berpijak pada persoalan pokok atau subject matter, bukan cabang cerita semata-mata. Harus diingat, ada perbezaan antara tema dan persoalan.
Sejarah yang tersembunyi
Cuba kita cerita tentang sejarah. Sepanjang hampir 51 tahun negara kita mencapai kemerdekaan ini, kita dapat lihat pejuang-pejuang Umno yang telah berjuang menentang Malayan Union dahulu telah diberi penghormatan dan segala jenis penghargaan oleh pihak kerajaan pada setiap kali sambutan hari ulang tahun kemerdekaan.
Secara peribadi kami berpendapat, segala penghormatan yang diberikan itu bagaikan sebuah teka-teki yang sukar ditafsirkan. Adakah hanya penentang-penentang Malayan Union itu sahaja yang layak digelar pejuang kemerdekaan? Adakah pejuang-pejuang yang sanggup bermati-matian menentang Inggeris pada zaman penjajahan dahulu tidak layak digelar pejuang?
Adakah pejuang-pejuang Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua dahulu tidak perlu dicatatkan dalam lembaran sejarah tanahair sebagai tatapan generasi sekarang dan akan datang? Adakah pejuang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (Api) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) yang berhaluan kiri tetapi anti-keganasan Komunis itu tidak beerti sama sekali dalam perjuangan mewujudkan sebuah negara yang merdeka? Kenapa mereka ini semua tidak tercatat atau dicatat dengan jelas serta terperinci di dalam buku-buku teks sejarah yang digunapakai oleh sistem pendidikan negara kita?
Jawapannya bagi kami mudah. Dan jawapan ini sebenarnya juga secara tidak langsung menjawab segala persoalan di atas tadi. Kerana yang merdeka hanyalah negara, bukan mentaliti dan masyarakat.
Ya, benar, apabila sesebuah negara itu dijajah, sudah pasti secara tidak langsung pemikiran dan masyarakatnya akan turut sama dijajah. Tetapi apabila sesebuah negara itu bebas dari penjajah, tidak bermakna pemikiran dan masyarakatnya akan turut sama bebas dan merdeka.
Siapa pula yang menjajah? Itu satu lagi persoalan yang akan banyak menimbulkan pelbagai andaian dan boleh dikategorikan sebagai sensitif (boleh mengancam ketenteraman awam). Bukan di sini tempatnya harus dibincangkan.
Jadi persoalannya akan kembali kepada kita (kawan-kawan yang kita suka), merdeka jenis apa yang kita inginkan? Merdeka negara atau merdeka minda dan jiwa? Hidup ini memang tentang persoalan. Entah.
Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.