MENURUT satu kajian pada tahun 2005, pengundi biasa di Malaysia lebih cenderung “membiarkan isu politik di tangan pemimpin politik”. Tiga tahun kemudian, keputusan pilihanraya umum telah menggegarkan seluruh arena politik negara.
Tetapi sejauh manakah proses pematangan di kalangan pengundi Malaysia? Menurut angka 2008, Malaysia mempunyai 10,922,139 pengundi berdaftar. Ini merupakan hanya 71% daripada jumlah rakyat yang layak untuk berdaftar sebagai pengundi.
Bush (Carlos Latuff)Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengalami masalah pendaftaran pengundi. Di Amerika Syarikat pada tahun 2000, pengundi berdaftar juga mencapai sekitar 73% daripada kesemua rakyat yang layak untuk berdaftar sebagai pengundi. Dalam pilihanraya presiden tahun tersebut, hanya 67% daripada pengundi berdaftar yang keluar mengundi.
Ini bermaksud, daripada jumlah rakyat yang layak untuk berdaftar sebagai pengundi, hanya 49% yang keluar mengundi. Itulah sebabnya kemenangan Presiden George W Bush dalam pilihanraya itu mencetuskan pelbagai kontroversi. Bush nampaknya dipilih oleh minoriti rakyat di Amerika Syarikat untuk memimpin mereka.
Dan kita semua tahu apa yang telah Bush lakukan selepas dipilih — menyerang Afghanistan dan Iraq, melemahkan ekonomi negara sendiri, dan tidak efektif menangani bencana alam seperti Hurricane Katrina yang melanda rakyatnya sendiri.
Sejak itu, ramai di antara rakyat yang lebih prihatin di Amerika Syarikat telah melancarkan pelbagai kempen untuk menggalakkan orang ramai, terutamanya golongan muda, untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.
Peranan artis dan selebriti
Antara pihak yang giat menyedarkan muda-mudi di Amerika tentang hakikat ini ialah golongan artis dan selebriti terkemuka. Contohnya, Christina Aguilera dan Soulja Boy telah berkempen untuk inisiatif Rock the Vote. Para pemuzik seperti Dave Matthews, Jack Johnson, Pearl Jam dan John Mayer pula menyumbangkan dana untuk inisiatif HeadCount. Manakala barisan pelakon High School Musical 3, America Ferrera (bintang Ugly Betty), dan penyanyi muda Sean Kingston pula menyokong usaha Declare Yourself.
Yang paling melucukan ialah iklan oleh Rosario Dawson (bintang filem Sin City) dan Wilmer Valderrama (bintang siri televisyen That 70s Show) untuk Voto Latino. Usaha mereka ditujukan khusus kepada bakal pengundi berbangsa Latin di Amerika Syarikat.
Iklan ini difilemkan seolah-olah seperti telenovela Latin, dengan watak Dawson dan Valderrama hangat berasmara. Namun, watak Dawson melarikan diri apabila mendapat tahu bahawa watak Valderrama belum berdaftar sebagai pengundi:
Di Malaysia pula apa kisahnya? Ketika pilihanraya umum tahun 2008, ramai juga artis yang muncul dalam media arus perdana untuk menyebarkan mesej supaya lebih ramai orang muda mengundi. Namun, mereka kebanyakannya menyuarakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN).
Contohnya, Dr Fazley Yaacob giat berkempen di Rembau untuk Khairy Jamaluddin dari Umno. Amy Search pula memberi sokongan kepada Datuk Mukhriz Mahathir. Ning Baizura pula menyokong Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Untuk pihak Pakatan Rakyat (PR) pula, penyanyi dan pencipta lagu terkenal Yassin dengan konsisten menyuarakan sokongannya terhadap Parti Keadilan Rakyat.
Namun, saya belum lagi melihat ramai personaliti terkenal, di Malaysia mahupun di Amerika Syarikat, yang menumpukan perhatian terhadap pendaftaran pengundi semata-mata. Rata-ratanya mahu berkempen untuk pemimpin politik pilihan masing-masing.
Oprah (Vargas2040 / Wikimedia) Di Malaysia, kita ada Dr Fazley dengan Khairy. Di Amerika Syarikat, kita ada Oprah Winfrey dan President Barack Obama. Saya tidak nampak ini salah, tetapi saya sendiri merasakan bahawa isu yang lebih penting ialah pemerkasaan rakyat biasa untuk meyakini kuasa undian mereka sendiri.
Perubahan apa?
Ada pula pihak yang memandang sinis terhadap penglibatan golongan artis dan selebriti di dalam usaha seperti ini. Google telah membuat usahanya sendiri dan melancarkan satu video selebriti yang melibatkan selebriti seperti Jennifer Aniston, Leonardi DiCaprio, Eva Longoria (bintang Desperate Housewives), Usher, Natalie Portman, dan ramai lagi.
Eva Longoria (Magnus Manske /
Wikimedia) Akan tetapi inilah antara komen oleh pengunjung yang menonton video tersebut:
Dan menulis: “Google sudah terlupa, seperti ramai yang lain, bahawa tiada siapa yang mempedulikan pendapat selebriti yang kaya lagi manja ini.”
Walt menulis: “Mereka mahukan orang ramai, yang selama ini tidak berminat, supaya mendaftarkan diri sebagai pengundi. Saya pasti ada banyak dorongan mereka, ada yang baik, ada yang buruk, dan ada yang tidak masuk akal. Tapi yang pastinya mereka tidak tahu langsung tujuan mereka mengundi. Saya pasti bila ditanya, mereka akan menjawab, ‘Perubahan’. Tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya perubahan yang mereka mahu, sama seperti selebriti dalam video ini … Benarkan perubahan ini bagus? Ada pihak yang akan berkata selepas Presiden Bill Clinton negara kita memang memperolehi ‘perubahan’ (dalam bentuk pemerintahan Bush) dan perubahan ini sangat baik.”
Mungkin ada kebenaran di dalam dakwaan ini. Selebriti pun manusia — walaupun ada yang berniat murni, pasti juga ada yang hanya mahu menumpang populariti kempen seperti ini tanpa banyak berfikir. Mereka yang berniat baik pula pasti tidak sunyi daripada membuat kesilapan dalam perhitungan masing-masing.
Masa depan demokrasi
Tetapi yang pastinya juga, ruangan untuk demokrasi di Malaysia semakin menguncup. Peti undi merupakan satu-satunya cara rakyat dapat menyuarakan kehendak mereka. Lihat saja keputusan pilihanraya umum 2008.
(sxc.hu) Oleh itu, pilihanraya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai yang akan datang tidak lagi dilihat sebagai “kecil”. Kecil dari segi liputan kawasan mungkin, tetapi bukan dari segi isu.
Malah, ada juga penganalisa dan pemimpin politik yang memandang keputusan ketiga-tiga pilihanraya kecil ini sebagai penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan BN dan Pakatan Rakyat pada peringkat negeri dan kebangsaan.
Jadi, apakah terdapat peranan yang dapat dimainkan oleh artis dan selebriti untuk memastikan demokrasi di Malaysia terus bernafas?
Rajab Ali Mazrouie, seorang wakil rakyat dari Iran, pernah berkata, “Satu pilihanraya di mana keputusannya sudah tertera dengan jelas sebelum pembuangan undi merupakan pengkhianatan terhadap hak dan cita-cita tanahair.”
Mungkin inilah iktibar yang boleh diambil oleh setiap bakal pengundi — sama ada dari golongan selebriti atau tidak.
Shanon Shah akan membuat liputan pilihanraya kecil Bukit Selambau untuk The Nut Graph. Inilah kali pertama dia diberi tugasan sedemikian sebagai wartawan. Oleh itu dia merasa seronok bercampur cemas.