Bersih? Kotor? Haram? Untuk yang pening, marah, atau kompius, atau kesemuanya, ikutilah nasihat terbaru daripada kolumnis pujaan ramai, Kak Nora:
Assalamualaikum wahai Kak Nora yang budiman,
Diharapkan Kak Nora berada dalam keadaan sihat dan awesome. Kak, lets me just cuts to the chases and story you my problem, ok? Mesti akak tahu tentang kontroversi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) baru-baru ini. First of alls, kak, lets me say betapa leganya saya dengan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong memanggil semua pihak berunding dengan tenang. Walau apapun yang berlaku kemudian, titah baginda memang tepat pada masanya and perlu disanjung tinggi dan dihormati oleh semua pihak.
Namun demikian, kak, di dalam rumahtangga saya sendiri ada suara-suara sumbang yang masih tidak berpuas hati dengan Bersih. This is my hubsen, kak. Ya Allah, from Days One, kak, dia memang anti-Bersih. Baru dua minggu lepas, anak bongsu kami dengan comelnya mahu menolong ayahnya mencuci kereta dengan pengumuman, “Yay, yay! Kita nak bersihkan kereta Honda City abah.” Si ayahnya menengking macam gajah sebelum perang, “Jangan guna perkataan laknat itu!” Which is the perkataans laknat, kak? “Kereta”? “Honda”? “City”? “Bersih”?
It’s don’t end there, kak. Segala kain tudung saya yang berwarna kuning dia conteng atau dia buang. Pinggan mangkuk lepas makan semua dia suruh tinggalkan sebab kalau bersih, nanti susah. Bila saya pertikai, kak, dia kata, “You jangan banyak menyoal. Sampai alim ulama pun kata pergerakan itu haram di sisi Islam.” Namun bila saya ungkit bab fatwa merokok haram tapi dia tetap merokok, bab fatwa mengundi Akademi Fantasia haram tapi dia tetap ikut Akademi Fantasia, akak tahu apa dia buat? Dia belikan satu longgok buku tentang tanggungjawab isteri solehah dan “hadiahkan” kepada saya. Saya sentap, kak, tapi saya mengucap banyak-banyak.
The things is, kak, he is the very good hubsen. Selalunya dia sangat romantik dan lemah-lembut. Every Saturdays dia akan bawa kami sekeluarga jalan-jalan cari makan. Anak perempuan kami yang mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris, tiap-tiap minggu dia akan semak latihan dan menghantarnya ke kelas. Anak lelaki kami bercita-cita nak menjadi chef selebriti, dia tolong belikan buku resipi dan sama-sama masak di dapur. Tapi kalau pasal bab Bersih ni, Tuhan saja yang tahu, kak! You know, sampai dia melarang anak lelaki kami pakai kunyit dalam resipi memasak sekarang. Why, kak, why seorang lelaki yang waras boleh berkelakuan begini, kak? Bukannya saya sokong kempen Bersih 2.0. Masalahnya saya nak tahu apa benda pasal kempen Bersih 2.0 pun tak boleh sebab kalau tanya soalan banyak sikit, nanti dia marah.
Tolonglah saya, kak. Saya dah tak sanggup masak ayam goreng tak pakai kunyit.
Roslinda Sazali
Serdang Perdana
Waalaikumussalam adik Roslinda yang solehah,
Akak sungguh faham dengan dilema adik. Akak pun tersangatlah kompius dengan isu Bersih 2.0 sebab akak betul-betul tak faham pasal isu politik. Nak bincang hal politik dengan akak umpama pipit nak mengajar katak macam mana nak terbang. Namun demikian, akak juga agak hairan dengan tingkah laku suami akak sendiri, Mr Macho, baru-baru ini. Walaupun dia tidaklah se-anti-Bersih sepertimana suami adik, tetapi dia ada alasan dia juga. Demonstrasi jalanan menggugat keselamatan awam, katanya. Kenapa tak guna cara lain, katanya. Tapi tempoh hari dia marah bila tengok liputan berita tentang keganasan rejim Israel di Palestin, lalu berkata, “Jom kita berarak saja ke kedutaan Amerika Syarikat!” Dialog yang seterusnya adalah seperti berikut:
Kak Nora: Aik, abang kata hari tu demonstrasi jalanan menggugat ketenteraman awam?
Mr Macho: Ini lain, ini bukan demonstrasi jalanan. Ini namanya berarak menyokong rakyat Palestin.
Kak Nora: Apa bezanya, bang?
Mr Macho: ….Yang itu haram, yang ini tidak.
Kak Nora: Kenapa, ya, bang?
Mr Macho: ….Ayang jangan banyak menyoal? Abang nak tengok skor Wimbledon ni ha.
Jadi sebenarnya, akak tidak ada tips yang dijamin berkesan dalam hal ini, sebab akak sendiri pun hampir-hampir mahu ting tong. Tapi mari kita cuba sama-sama, dik. Lepas tu kita tengok, berkesan atau tidak.
Tips 1 — Banyakkan ilmu tentang isu semasa
Ini bukan hanya nasihat untuk adik — akak pun perlu belajar dari pengalaman ini. Selama ini, akak tidak begitu mengambil berat tentang isu semasa. Tapi satu perkara yang membuat akak sedar sikit, iaitu walaupun Mr Macho berlagak seperti dia lebih arif dalam bidang politik, dia pun sebenarnya selalu juga keliru. Sebab itulah dia agak sentap bila akak banyak menyoal. Akak bagi satu contoh. Bila dia kata perhimpunan yang Bersih nak buat itu haram, akak tiba-tiba terfikir tentang pergolakan di Timur Tengah.
Cuba adik tengok, di Arab Saudi, alim ulama rata-rata mengeluarkan fatwa bahawa demonstrasi adalah haram. Tapi di Mesir, alim ulama mengeluarkan pandangan yang berbeza — ada yang berkata demonstrasi jalanan halal, dan ada yang mengatakan haram. Bukankah ulama di Arab Saudi dan Mesir sama-sama menjunjung agama Islam? Bukankah rakyat yang bergolak di Mesir juga kebanyakannya beragama Islam?
Benar, dik, akak bukan dari kalangan alim ulama. Tapi akak merupakan warganegara Malaysia yang beragama Islam. Jadi, akak perlu mengambil tahu tentang isu semasa seperti tuntutan Bersih, baik dari sudut yang bersetuju mahupun yang membantah. Dan tentang bab hukum dalam Islam, walaupun akak menghormati tunjuk ajar daripada alim ulama, adalah menjadi tanggungjawab akak untuk meminta penjelasan atas perkara yang akak kurang faham. Bila akak terang dekat Mr Macho, sejuk hati dia tapi tiba-tiba tak berminat pula dia nak berbincang sebab gatal nak ikut berita sukan.
Tips 2 — Teruskan berbincang dengan orang yang dikasihi
Mungkin adik rasa susah untuk mengamalkan tips ini, apatah lagi jika si suami enggan berbincang atau tidak mahu mendengar pendapat berbeza. Bagi akak, inilah realiti rumahtangga zaman kini. Contohnya, kalau akak sendiri yang sebelum ini mengeluarkan pendapat seperti titah Agong kita yang hensem lagi bijaksana, adik ingat Mr Macho akan layan? Mustahil! Tapi sekarang bila Agong sudah bertitah, tengoklah — terdiam gitew. Namun, Mr Macho agak gediklah juga mengutuk Bersih kerana tetap mahu berkumpul di Stadium Merdeka.
Jadi kita kena tabahkan semangat, dik. Kita kena teruskan berbincang tentang isu yang penting dengan ahli keluarga kita. Apa pula pendapat pihak mertua dan ipar adik? Pendapat ibu bapa dan adik-beradik sendiri? Biar kita mengamalkan perbincangan yang terbuka dengan berbudi bahasa dan sopan santun.
Tapi kalau seluruh keluarga adik sebulu dengan suami adik, akak tak ada jawapan. Carilah banyak-banyak resipi tanpa kunyit.
Tips 3 – Berikan sokongan kepada mereka yang memerlukan
Dik, akak pasti bukan kita berdua saja yang menghadapi dilema seperti ini. Dan dilema seperti ini bukan hanya tentang isu Bersih. Mungkin ada wanita di luar sana yang berkahwin dengan suami yang terlalu taksub dengan parti politik tertentu, tidak kiralah pemerintah atau pembangkang. Kalau tidak setuju sedikit, nanti suaminya mogok. Atau mungkin sebaliknya? Mungkin ada suami yang diperli atau ditengking oleh isteri yang taksub dengan isu tertentu? Tidak ada jawapan mudah di sini, adik — yang pentingnya kita tahu bahawa kita tidak bersendirian dalam hal ini. Pandai-pandailah kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.
Salam bersih tapi nakal,
Kak Nora
Shanon Shah masih lapar ayam goreng berempah.