MACAM nak pengsan berpuasa di London. Hari ini, 21 Julai 2014, waktu Subuh jatuh pada 3:17am manakala waktu Maghrib jatuh pada pukul 9:08pm. Lapan belas jam! Kau ada? Tambahan pula, tiada bazar Ramadan di sini yang menjual juadah kegemaran saya seperti roti jala, nasi kerabu, satay dan air tebu. Kempunan, uols.
Tetapi sebenarnya bukan waktu siang yang panjang yang menyusahkan hati saya pada bulan Ramadan kali ini. Air mata saya bercucuran apabila teringatkan nasib warga Gaza di Palestin yang terbunuh akibat kekejaman pasukan bersenjata Israel pada bulan suci ini.
Perkembangan di Malaysia tidak kurang menguji kesabaran, contohnya apabila saya terbaca tentang insiden demi insiden yang melibatkan keganasan terhadap wanita. Allah menambat syaitan sepanjang bulan suci ini, jadi apakah alasan si suami yang begitu senang mendera isteri yang sepatutnya disayangi dan dihormati seperti yang diperintah oleh Allah?
Jadi, di samping berdoa kepada yang Maha Esa, saya juga tercari-cari kata-kata pedoman daripada idola tersohor saya, iaitu Kak Nora. Alangkah syahdunya hati saya apabila membaca artikel terbarunya sempena bulan yang mulia ini. Saya kongsikan di sini, semoga ia menjadi teladan kepada yang memerlukannya, wallahua’lam:
Assalamualaikum Kak Nora,
Apa khabaq, Kak Nora? Sorry lah tulis separuh dalam loghat utara, tapi saya tengah emosi. Ni saya baru selesai pi majlis buka puasa dekat rumah Pak Long saya. Kat situ tiba-tiba saya terserempak dengan seorang sepupu yang saya belum jumpa sejak kami di Tingkatan Lima dulu. Dia sekarang ni tengah nak selesai belajaq jurusan kejuruteraan dekat satu IPTA. Saya pun dalam tahun penghabisan, tapi dekat IPTA lain.
Mula-mula kami borak-boraklah pasal topik-topik yang OK. Lepas tu dia buka cerita pasai Gaza. Saya pun setujulah dengan dia — memang saya pun geram pasal apa yang berlaku di Palestin. Tapi tak pasal-pasal dia sambung pula yang kita kena berani macam puak ISIL dekat Iraq. “Hang biaq betoi,” saya kata, “depa tu over.” “Bukan aku kata kita kena pi ambik pedang macam depa,” dia balas, “tapi kita kena contohi keberanian depa dalam melawan musuh Islam.”
“Cuba tengok macam kat Malaysia,” dia sambung, “Yahudi dah banyak buat kacau kat sini — pasai isu gay lah, Syiah lah, Kristian lah, ini semua angkara Yahudi. Kita hapuskan saja Yahudi,” dia sambung, “macam Hitler.” Kepala saya berpusing. Yang hairan, sanak saudara yang lain macam tak dengaq apa dia kata. Saya cuba jawab lembut-lembut, “Beb, Hitler tu bunuh sampai enam juta mangsa Yahudi yang tak bersalah, hang tau?” Dia jawab, “Ha, nasib baiklah tu — cuba bayangkan kalau dia tak bunuh, lagi melampau perangai depa zaman sekarang ni.”
Saya cuba lagi dengan lembut, “Tapi hang sebenaqnya nak bermusuh dengan Yahudi atau Zionis? Lain tau?” Dia tengok saya macam saya dah kena rasuk. “Zionis ka, Yahudi ka, aku nak pancung kepala dia,” dia jawab. Bila dia jawab macam tu, kak, saya sudah tidak tahan dan saya menjawab, “Oh, hang nak pancung kepala Zionis ya? Nak pancung Yahudi? Tapi awat hang guna Facebook? Pencipta Facebook tu Yahudi, tau? Pi lah lawan pedang dengan dia! Google pun tok sah pakai, pasai depa ada anak syarikat Yahudi. Pi lah cipta Al-Googliah kah, al-Facebooque kah, biaq hang puaih hati!”
Lepas tu kak, seluruh majlis terdiam. Bapa saya menengking, mak saya menjeling, dan kami bergegas ke surau untuk menunaikan sembahyang Isya’ dan terawih.
Salahkah saya, kak? Awat bila dia gah sangat cakap besar pasal ISIL , orang tak kata apa? Awat bila saya jawab orang layan saya macam saya ni perempuan Peugeot? Bukannya saya pandai sangat, kak, tapi saya memang bencilah sebab dekat Malaysia sekarang, ramai sangat orang bangang yang berkobar-kobar nak berdebat pasal Islam walaupun tak ada otak. (Tengok tu, nasib baik dah buka puasa, kalau tidak dah hilang fadhilat Ramadan untuk hari ini.)
Tapi saya hairan dengan orang macam ini, kak — kalau pasal kes Palestin, Syiah, gay atau uzur syarie, bukan main lantang berteriak. Tapi kalau kes suami belasah isteri atau anak dara kena rogol, tak dengaq apa pun dari depa.
Saya sudah muak dengan dunia, kak. Malam ni saya nak buat solat istikharah, tapi saya juga minta akak tolonglah nasihatkan saya.
Muhammad Idi Amin
Sungai Petani, Kedah
Waalaikumussalam wahai saudara Idi yang disayangi,
Akak sangat feeling apabila membaca surat adik, especially apabila adik berceloteh dalam loghat utagha. Baguslah adik nak tunaikan solat istikharah malam ini. Moga-moga adik menerima petunjuk daripada Allah swt.
It’s true, adik, ada ramai orang yang ting tong. Tapi untuk ketenteraman jiwa adik, adik kena pandai kategorikan ke-ting-tong-an mereka yang di sekeliling adik. Adik muak dengan siapa sebenarnya? Cousin adik yang ting tong? Ahli keluarga lain yang berdiam diri seperti menyokong cousin yang ting tong itu? Pemimpin politik? Tentera Israel? Perempuan Peugeot? Ini penting, dik, supaya adik dapat menyelesaikan masalah secara berperingkat.
Kita ambil yang paling senang dulu — family yang ting tong. Siapa tak ada, dik? Akak pun ada cousin yang ting tong. Ada seorang ni, dia kata dia memang benci Syiah, tapi dia nak kahwin dengan mamat Iran sebab diorang hensem-hensem semua. Akak kata orang Iran kan aliran Syiah juga? Dia kata, ha’ah, takpe, sambil dia mengorat, dia akan berdakwah kepada bakal suami dia supaya balik ke pangkal jalan — sambil menyelam, sambil minum. The very the gediks.
Bila dia cakap macam tu, memang semua ketawa sopan konon-konon sebab geli hati. Tapi akak ada lagi seorang cousin yang berbisik kepada akak, “Bencilah minah ni — asyik nak cari publisiti murahan. Mek tak kuasa sangat.” Ini bukan mengumpat, dik, ini namanya membincangkan fakta.
Maksud akak, janganlah terlalu fokus kepada ahli keluarga yang over. Orang yang over memang nalurinya bertumpu kepada benda yang bukan-bukan. Adik mesti ada sepupu atau saudara yang waras dan baik, kan? Sama juga dengan kawan-kawan adik. Kalau tak ada kawan, cari!
Kawan atau saudara yang waras sangat penting, dik. Kita boleh sama-sama bergurau senda dengan mereka, mengadu masalah, dan saling membantu. Macam cousin akak tadi — yang waras, bukan yang ting tong — sekarang tiap-tiap bulan Ramadan dia akan ajak akak buat kerja sukarela dekat pusat perlindungan haiwan terbiar. Sekarang bukan saja jaga haiwan, di luar bulan Ramadan pun kami sudah ada satu group kawan-kawan yang akan keluar shopping, bowling, berkaraoke, membuat kerja amal, dan sebagainya.
Cousin anti-Syiah tu tetap dengan misinya untuk menjerat anak teruna Iran yang tidak tahu-menahu. Biarlah, asalkan dia bahagia.
Sekarang ni dekat Malaysia, dik, ramai anak-anak muda yang melibatkan diri dalam macam-macam aktiviti yang menarik. Adik suka komedi? Check out Cerita Malam Jumaat at Rumah Anak Teater. Atau mungkin adik prefers the English-speaking scene (che wah!) — check outs the Cooler Lumpur Festival. Tak nak berbuka puasa dengan sepupu yang over? Mungkin adik berminat menyertai #Puasa4Malaysia. Kalau adik rasa semua ini tak menarik, atau terlalu poyo, atau adik sudah terlepas peluang, then why nots aturkan aktiviti sendiri sesama kawan-kawan dan sanak saudara adik? Insya Allah, anythings is possible, dik.
Maksud akak, jangan biarkan hanya seorang sepupu yang ting tong melemahkan semangat adik. Dan jangan makan hati dengan orang yang ting tong. Bukan maksud akak kita kena sama-sama ting tong macam mereka. Cuma adik akan lebih senang berfungsi apabila dikelilingi dengan orang yang tidak ting tong. Dan moga-moga Allah memberkati usaha kita untuk membuat baik di dunia.
Sambil itu, jangan risau pasal sepupu adik. Insya Allah bila sudah ada Akta Keharmonian Nasional, adik boleh melawatnya di penjara.
Salam ikhlas dan nakal,
Kak Nora
Shanon Shah dengan tergedik-gedik mengucapkan Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada para pembaca dan warga The Nut Graph.
Mat says
Bacalah terjemahan ayat-ayat awal Al Baqarah.
Eileen says
Funniest thing I’ve read in a while 🙂