SAYA ada seorang teman rapat yang, pada awal persahabatan kami, mengakhiri e-melnya kepada saya dengan ucapan “salam”. Dalam e-mel yang lain pula, pernah dia menggunakan ungkapan “insya Allah” dengan saya.
Saya keliru — kawan saya ini berketurunan Malayalee, dan namanya pula nama Inggeris. Adakah dia beragama Islam? Kalau ya, saya seronok — mungkin kita boleh bersahur atau berbuka puasa sama-sama, atau menghadiri ceramah agama sama-sama. Apabila saya mengenalinya dengan lebih dekat, barulah saya mendapat tahu bahawa dia sebenarnya beragama Kristian daripada mazhab Ortodoks Syria.
Gereja Ortodoks Syria (Gambar oleh Lijujacobk / Wiki commons)
Kawan saya menerangkan bahawa agama yang dianutinya tidak disebarkan oleh mubaligh Barat, tetapi oleh mubaligh Timur Tengah yang menjelajah ke Kerala, India, hampir 2,000 tahun yang lalu. Dengan itu, kepercayaan Kristiannya tidaklah dibalut dengan imej-imej dari Barat. Isa agamanya bukannya berkulit putih dan bermata biru.
Di gereja, para penganut Ortodoks Syria juga akan sujud, hampir-hampir mirip dengan cara orang Islam sujud apabila menunaikan ibadat solat. Khutbah dalam gereja mereka banyak menggunakan bahasa Malayalam dan Aramaic (bahasa kuno dari Syria). Maka, “Allah” juga merupakan nama Tuhan kawan saya.
Saya kagum dengan penerangannya ini. Saya bertanya jika saya boleh melawat gerejanya satu hari. Dia dengan besar hatinya menjemput saya ke gerejanya di Brickfields. Tidak, saya tidak keliru lepas lawatan itu — saya melawat sebagai seorang Islam. Tetapi sekarang, saya gembira kerana saya mengetahui serba sedikit tentang mazhab Ortodoks Kristian, dan saya memandang kawan saya dengan rasa penuh kasih sayang dan hormat.
Demi Islam?
Pagi 6 Jan 2010, saya menerima SMS yang berbunyi: “Salam perjuangan. Pekida Malaysia akan menganjurkan solat hajat ‘satu hati’ mempertahankan kesucian Islam (isu Kristian menggunakan nama Allah) dan menjemput semua ahli jemaah dan Muslimin Muslimat untuk hadir pada 7 Jan 2010 di Masjid Negara. Solat hajat akan dibuat selepas solat Isyak. Kehadiran semua amat disyukuri. Bersatu demi Islam. Tolong sebarkan. Pertahankan Islam walaupun ke titisan darah terakhir.”
Perasaan saya bercampur aduk selepas membaca pesanan ini. Sebenarnya, saya faham kenapa ada Muslimin dan Muslimat yang gusar tentang isu penggunaan “Allah” oleh orang bukan Islam. Saya akui bahawa kekeliruan mungkin akan timbul. Contohnya apabila saya mula berkenalan dengan kawan Ortodoks Syria saya itu.
Tapi apa yang saya tidak faham ialah kenapa hal ini tiba-tiba dijadikan satu bahan untuk membakar kemarahan di kalangan umat Islam di Malaysia. Saya tiada tauliah dalam bidang agama, tapi daripada apa yang saya baca pun, sudah ada pelbagai tulisan ilmiah yang menerangkan bahawa penggunaan “Allah” oleh orang bukan Islam tidak menjadi masalah baik dari sudut hukum atau dari segi realiti sejarah.
Isu agama kadang-kadang susah dibincang dengan rasional. Kalau ditanya puak Kristian fundamentalis, mereka memang mahukan satu dunia diKristiankan. Bagi mereka, agama Islam itu agama ganas dan jumud. Kalau kita lihat puak Hindutva di India pula, mereka pernah membakar masjid, dan merogol dan membunuh masyarakat Islam secara beramai-ramai. Di Malaysia pula, kita mahu menitis darah semata-mata kerana orang Kristian mahu menggunakan perkataan “Allah”.
Sebagai seorang Islam, hati kecil saya merasa bahawa sekarang kita hanya melihat wajah Islam yang penuh dengan kemarahan dan dendam. Dan saya memang buntu apabila berfikir bagaimana untuk mencari jalan keluar daripada kontroversi ini.
“Kamu bukan Islam?”
Tapi saya teringat satu kisah daripada seorang lagi teman rapat saya, Joe Selvaretnam, bekas pengarah program di Majlis AIDS Malaysia (MAC). Joe sebenarnya menjadi mentor saya apabila saya mula berjinak-jinak dengan kerja sukarela dalam bidang HIV/AIDS pada tahun 2003. Ketika itu, saya telah berkhidmat secara sukarela dalam Rundingan Antarabangsa Pemimpin Islam tentang HIV/AIDS (IMLC) Ke-2 di Kuala Lumpur.
Rundingan ini dianjurkan oleh MAC dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dan dijayakan oleh penglibatan ulama, pemimpin politik, aktivis, wartawan dan pakar perubatan Islam dari seluruh dunia. Ketika itu, Joe banyak menyumbang kepada program Islam dan HIV yang dikendalikan oleh MAC. Bagi saya, memang tidak timbul tanda tanya kenapa Joe, seorang bukan Islam, terlibat dengan program Islam dan HIV. Sebab memang siapa-siapa pun boleh dijangkiti dengan HIV, tidak kira Islam atau bukan Islam. Dan tujuan aktivisme HIV/AIDS ialah untuk mengelakkan jangkitan HIV tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau keturunan.
Tetapi agak lucu apabila seorang peserta, Moez Masoud dari Mesir, menyangka bahawa Joe beragama Islam. Dia bertanya, “Nama penuh kamu Johan, ya?” Malah, seorang pemimpin Islam dari Uganda pula menyangka bahawa Joe beragama Kristian dan terperanjat kenapa seorang bukan Islam sanggup mencurahkan tenaga untuk membantu orang Islam.
(Sumber: POZ.ca) Jawapan Joe mudah saja: “Memandangkan Islam merupakan agama rasmi dan majoriti di Malaysia, bukankah baik jika pemimpinnya dapat menunjukkan teladan kepada komuniti lain tentang pendekatan positif menangani HIV/AIDS?”
Malah, Joe mengaku kepada saya bahawa dia sebenarnya tidak tahu banyak tentang Islam sebelum memulakan projek ini. Akan tetapi setelah mendalami modul projek tersebut dan berdampingan dengan para mufti dan ustaz, dia berkata, “Masa itu saya sedar yang semua agama mengajar kita kemanusiaan dan untuk saling mengasihi.”
Tetapi Joe berkata bahawa ramai peserta Islam di IMLC tersebut seolah-olah tidak dapat keluar daripada sempadan Islam/bukan-Islam dalam pemikiran mereka, walaupun tentang isu sejagat seperti HIV/AIDS. Dan saya rasa inilah yang sedang berlaku dalam isu “Allah” di Malaysia sekarang — seolah-olah kita sedang membina lebih banyak, bukannya cuba merentasi, sempadan antara kita.
Jadi saya rasa baik juga jika lebih ramai orang Islam yang tidak ada masalah dengan penggunaan “Allah” oleh bukan Islam bersuara. Bukan kerana kita berdendam dengan saudara-saudari seagama kita, tetapi kerana kita perlu jujur pada penghayatan Islam kita sendiri. Wallahua’lam.
Shanon Shah mula mendengar perkataan “Allah” digunakan oleh orang Kristian semasa belajar di Australia. Rakan sekuliahnya merupakan seorang gadis Indonesia beragama Katolik. Shanon dan dia telah saling membanding terjemahan Surah Al Fatihah dengan doa Bapa Kami Yang Ada di Surga dan Salam Maria.
Baca ruangan Secubit Garam terdahulu
The Nut Graph memerlukan bantuan anda
Silalah luang lima minit untuk mengambil tinjauan pembaca kami
kharis eirene says
Interesting point you made about the way the Eastern Orthodox Christians worship compared to the Muslim way. These Christians were most likely the first type Islam encountered. Have a look at this picture of an Eastern Orthodox nun.
[http://travel.webshots.com/photo/2498459770038283624suUsHk][IMG]http://thumb4.webshots.net/t/69/169/4/59/77/2498459770038283624suUsHk_th.jpg]
Supathira says
I did my MD in Indonesia. Everyone in Indonesia is aware that God is mentioned as ALLAH in the churches. In fact they have rituals for each religion during the doctor’s oath , and Jesus Christ was adressed as ALLAH in such a big ceremony. I don’t understand what our Malaysian Muslims are trying to prove when ALLAH has been used for ages by [different] religions. I’m sad to see our Malaysians now. 1Malaysia – sinking!
Merah Silu says
Saya mungkin antara orang-orang yang saudara maksudkan tidak mempunyai masalah sekiranya orang-orang Kristian menggunakan perkataan Allah. Mungkin mereka-mereka yang menganut ugama Kristian Ortodoks di negara-negara Arab, sering menggunakan nama “Allah” sebagai satu rujukan dan persamaan kepada nama Tuhan yang digunakan oleh orang-orang Arab Islam. Walau bagaimanapun penganut kedua-dua agama ini tahu yang “Allah” didalam konteks agama Islam adalah tidak sama dengan apa yang dimaksudkan dalam konteks agama Kristian.
Walau bagaimana pun saya tidak bersetuju, dalam konteks agama, untuk penganut Kristian menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan kepada perkataan “God” di dalam bahasa Inggeris. Memang benar terjemahan ini digunakan di Indonesia, dan ianya dibuat dalam usaha mengembangkan ugama Kristian di Indonesia, termasuk di kalangan penganut-penganut ugama Islam. Keadaan yang sama juga dibuat di Sabah, tetapi ianya terbatas kepada bumiputera bukan Islam di Sabah.
Saya tidak fikir penggunaan terjemahan “Tuhan” kepada “Allah” ini akan memesongkan akidah umat Islam. Begitu juga saya tidak fikir penggunaan “Tuhan” sebagai terjemahan “God” akan mengurangkan iman orang-orang Kristian yang menggunakan versi Melayu kepada bahasa mereka. Mereka juga tahu yang ianya mempunyai maksud yang berbeza.
Apa yang menjadi kemarahan saya adalah kedegilan mereka selepas pihak kementerian mengeluarkan arahan tidak menggunakan terjemahan tersebut dalam surat khabar berbahasa Melayu mereka demi menjaga sensitiviti umat Islam dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini. Tidak ada pun perkataan “Allah” digunakan dalam versi bahasa Inggeris mereka.
Orang Melayu sensitif kerana ianya seolah-olah sebagai satu bentuk penyebaran kepada orang Melayu, sama seperti yang dilakukan kepada orang Islam Indonesia. Ini adalah tidak mengikuti lunas-lunas perlembagaan yang melarang penyebaran ugama lain di kalangan umat Islam di negara ini.
====
Saudara sendiri mengaku bahawa tidak menjadi masalah untuk orang Kristian menggunakan perkataan “Allah”, malah mantan perdana menteri pun tidak mempunyai masalah dengan isu ini. Jadi, warganegara Kristian di Malaysia sebenarnya mempunyai locus standi untuk mencabar perintah kementerian yang dikeluarkan pada tahun 2007 di mahkamah. Itulah satu-satu caranya demokrasi dapat berfungsi dengan baik – ada sistem semak dan imbang di antara institusi perundangan, kehakiman dan eksekutif.
Tentang kekhuatiran saudara bahawa ini akan digunakan oleh orang Kristian untuk “menyebarkan” agama mereka di Malaysia – itu isu yang berasingan. Seperti yang saya katakan, kalaulah umat Islam di Malaysia yakin dan selesa dengan kepercayaan Islam kita, tak perlu kita melatah dan marah jika kita didedahkan kepada ajaran dan kepercayaan orang bukan Islam. Itu pendapat saya.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Farouq Omaro says
Di Sabah dan Sarawak sudah lama umat Kristian gunakan perkataan Allah tanpa sebarang masalah. Tetapi adakah pemimpin Islam dari negeri-negeri ini berani bersuara?
Ms Paradox says
Sekiranya saya tidak suka membaca, ada kemungkinan saya akan berfikir yang sama dengan orang Islam yang lain. Tetapi sejak saya mula mengenali bacaan di sini dan beberapa bacaan lain, saya mengakui bahawa kita sebenarnya terlalu taksub dengan keIslaman, tetapi tidak melakukan apa yang disarankan oleh Islam. Bagi saya, tidak kira apa agama sekalipun, kita perlu mempunyai kasih sayang dan saling hormat menghormati antara agama. Mungkin saya terlalu muda untuk berdiskusi, tetapi saya gembira untuk mengetahui pendapat-pendapat daripada orang-orang yang lebih mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang sejarah dan kehidupan.
Syahril Abak says
Terlebih dahulu ingin saya nyatakan bahawa secara peribadi ,saya tiada masalah/halangan bagi org Kristian menggunakan Allah sebagai Tuhan mereka. Yang menjadi tanda soal bagi saya ialah mengapakah mereka mahu menggunakannya dalam tulisan/pengucapan yang dalam bahasa Melayu sahaja? Mengapa tidak pula mereka mahu menggunakan nama Tuhan Allah di dalam tulisan/pengucapan dalam bahasa-bahasa lain? Dalam konteks Islam kita menggunakanya dalam semua bahasa. Tidakkah saudara-saudara terfikir mereka mempunyai agenda terselindung di sini?
Umum mengetahui bahawa mubaligh Kristian telah bertahun-tahun cuba mengKristiankan orang-orang Melayu dengan pelbagai cara. Mereka mendapat sedikit kerjayaan di Sabah dan Sarawak. Maka dengan cara itu jugalah mereka cuba merasuk kapada orang Melayu di Semenanjung. Hari ini mereka meminta menggunakan nama Allah, esok mereka mahu pula menggunakannnya dalam tulisan Jawi dan lusa mungkin menggantungkannya di gereja-gereja mereka. Bukankah ini mencabar kedudukan Islam?
Hari ini saudara-saudara tiada nampak lagi kesannya, tetapi tunggulah 5-10-20 tahun akan datang. Pada masa itu penyesalan tidak berguna lagi. Janganlah terlalu terdorong dengan pemikiran hak asasi manusia kerana kalau hak yang ada sudah tergugat apakah yang hendak dilaungkan lagi?
===
Saya rasa kita perlu menjernihkan keadaan sikit. Daripada komen saudara ini nampaknya saudara memang ada masalah dengan penggunaan “Allah” oleh golongan Kristian. Tapi ini tidak betul atau tidak salah – itu pendirian saudara yang kita semua perlu hormati.
Tapi kalau pun memang niat orang Kristian untuk “mengKristiankan” orang Melayu, kenapa kita pula terlalu takut bahawa keimanan kita terhadap Islam begitu lemah sampai dengan senang saja kita terpesong? Bukankah itu satu masalah dalaman umat Islam di Malaysia? Kalau iman seseorang itu kuat, mustahil untuk dia dipesongkan semata-mata kerana orang Kristian menggunakan “Allah”.
Tambahan pula, dalam debat ini, saya nampak memang ramai orang Melayu beragama Islam yang sebenarnya tiada masalah dengan penggunaan “Allah” oleh orang Kristian. Contohnya kepimpinan dan akar umbi PAS. Jadi sebenarnya isu ini bukanlah seperti yang dipaparkan oleh sesetengah pihak – bahawa ia menimbulkan kemarahan orang Melayu di Malaysia secara menyeluruh. Jauh daripada itu – apa yang kita lihat ialah di kalangan umat Islam di Malaysia sendiri sudah ada kepelbagaian pendapat.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Isham says
Entahla….
sri hartamas says
Kalau orang Islam dan pemimpin di Sabah dan Sarawak tidak mahu bersuara, itu hak mereka. Kalau orang Islam di semenanjung hendak bersuara, itu juga hak mereka. Kita boleh sama menghormati rakan tidak seagama. Itu tidak bermakna kita santai jika mereka hendak menggunakan nama Allah dalam menyebarkan agama mereka.
===
Tapi kenapa ya kita selalu cepat syak dan melatah bahawa orang Kristian ada agenda “menyebarkan” agama mereka? Bukankah orang Islam juga selalu cuba berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam?
Contohnya, pada 25 Dis 2009, Islamic Information & Services Foundation telah menganjurkan forum bertajuk “Jesus Christ – a Muslim Perspective” di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. Forum ini dibuka untuk hadirin Islam dan bukan Islam. Salah satu soalan yang dikemukakan di forum ini ialah: “Did Jesus Christ die for the sins of mankind?” Kenapa kita sebagai orang Islam tidak berfikir sama ada topik seperti ini akan menyinggung umat Kristian di Malaysia? Tapi saya tengok tiada pun orang yang membakar dewan forum ini atau membakar mana-mana surau atau masjid lepas forum ini.
Dan saya setuju, kita perlu menghormati pendirian setiap orang yang ingin bersuara. Tapi mungkin ada sesetengah antara kita yang lebih “santai” kerana sebenarnya kita tidak mudah keliru apabila mengetahui tentang kepercayaan dan ibadat orang bukan Islam.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Mat jang says
Saya rasa apa kata umat Kristian dibenarkan menubuhkan sekolah Inggeris, jadi mereka tak pakai lagi nama Allah. Hehe.
Apple says
Sik sidak menteri Sabah Sarawak tok berani…berani ngegeh kedirik banyakla.
Editor’s note: For those who do not understand bahasa Melayu Sarawak, the comment translates as follows –
“Menteri-menteri di Sabah dan Sarawak tidak berani. Mengada-ngada atau syok sendiri saja.”
Or:
“The ministers in Sabah and Sarawak are not brave. They only look after their own interests.”
Shanon Shah
Columns and Comments Editor
Anak Sarawak says
Saya agak bersetuju dengan pandangan saudara dalam komen ”sri hartamas”. Kenapa ya org Islam cepat melatah dan cepat membuat spekulasi bahawa kami ni, org Kristian tiada kerja lain selain menyebarkan agama jer?
Saya rasa masalah ini berpunca dari sesetengah pihak cuba membuat teori baru. Teori baru ini telah berkembang sejak beberapa tahun melalui email2 yg diforwardkan mengatakan ”hidden agenda” org Kristian, even saya sendiri pernah menerima email sedemikian dan bagi saya, IA AMAT MENYEDIHKAN. Membuat teori sendiri tanpa usul periksa mendalam. Kadang2 apabila saya mendengar khutbah Jumaat, imam pun mengatakan benda yang serupa!
Saya tertanya2 kadang2, adakah ini satu konspirasi satu pihak yang sememangnya ingin ”menghalau” semua non-Muslim di Malaysia? Bagi kami, ada satu pepatah yang mengatakan, 1Malaysia itu bukan ditujukan untuk semua kaum, tapi 1Msia itu bermaksud 1MELAYU. Jgn sakit hati mendengar, tapi inilah org2 spt kami fikir.
Saya pun kadang2 hairan dengan sikap orang Melayu, terutamanya org melayu semenanjung. Seperti yang saudara Shanon mengatakan, ”Forum ini dibuka untuk hadirin Islam dan bukan Islam. Salah satu soalan yang dikemukakan di forum ini ialah: ‘Did Jesus Christ die for the sins of mankind?’ Kenapa kita sebagai orang Islam tidak berfikir sama ada topik seperti ini akan menyinggung umat Kristian di Malaysia? Tapi saya tengok tiada pun orang yang membakar dewan forum ini atau membakar mana-mana surau atau masjid lepas forum ini. ”
Kenapa hanya org Islam boleh indirectly ”menghina” kepercayaan kami? Biarlah kami hendak percaya apa2 sekalipun, kan? […]
Utk pengetahuan saudara2 Islam sekalian, setiap minggu apabila saya menghadiri Misa (church service), tak pernah saya mendengar para paderi menghasut kami utk bermusuh dgn org lain. Malah mengajar kami utk berbaik2 dgn pelbagai manusia.
Tapi bila mendengar sermon dari masjid, saya sangat sedih, imam bukan sahaja utk mengajar ke arah kebaikan, tapi menghasut dan mengutuk penganut agama2 lain. itulah khutbah yg diberikan setiap hari…adakah kami tidak rasa tersinggung? […]
Isu2 Allah ini, saya sangat tidak bersetuju bila ia dibincang dalam forum di semenanjung. Sepatutnya, pendekatan yg perlu diambil adalah mengadakan satu forum di antara East Malaysia dan Peninsular. Sebab Allah ini digunakan oleh org2 seperti saya.
Org Islam amat cepat menuduh kami Catholic hendak menyebarkan agama Kristian dgn menggunakan Allah tanpa berfikir, kami (org Malaysia Timur) yang memohon utk mengadakan misa dalam BM. Rmai pelajar2 dan pekerja Malaysia Timur berada di semenanjung sekarang ini. Kamilah yang memohon kepada gereja utk menggunakan perkataan ini. Bukan tujuan utk menyebarkan agama.
Catholic tidak lagi hidup di zaman St Francis Xavier atau St Paul utk menyebarkan agama. Malah, pendekatan Catholic dan Protestant juga berbeza. Mungkin ada sesetengah gereja Protestant yang giat menyebarkan agama mereka. Itu saya tak tahu, sebab saya bukan Protestant. Malah, di antara gereja Catholic dan Protestant juga ada konfliknya tersendiri.
Diharap penerangan saya dapat membuka minda sesetengah pihak. TQ.
Nota pengarang: Terima kasih atas kongsian ini, Anak Sarawak. Tapi perlu diingatkan bahawa adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa orang Melayu secara keseluruhannya menaruh prasangka buruk terhadap orang Kristian. Sebab kita tahu bahawa dalam isu “Allah” ini pun, ramai orang Melayu yang tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan pusat. Memang ada kepelbagaian pendapat di kalangan orang Melayu sendiri. Seperti juga anda sendiri berkata bahawa terdapat kepelbagaian di antara penganut Kristian. Pandangan anda sangat berharga.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Wan Adli says
Dalam isu Allah, jika saudara mengiktiraf penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik untuk menamakan ‘God’ mereka yang Triniti; ini menunjukkan seolah-olah saudara menganggap ada objek tasawur lain yang boleh dinamakan sebagai Allah selain Allah yang Esa. Oleh itu, jika telahan saya itu benar, saya ingin tanyakan saudara satu soalan daripada al-Qur’an, surah Maryam (19), ayat 65, “hal ta‘lam lahu samiyya?â€, terjemahannya adakah saudara “mengetahui sesuatu yang senama denganNya?â€
Nota pengarang: (1) Telahan anda tidak lengkap. Apa sebenarnya yang anda faham sebagai konsep triniti? Saya akui saya tidak begitu fasih tentang artikel keimanan orang Kristian, sebab saya ini orang Islam. Oleh itu, saya lebih cenderung mengkaji dahulu apa sebenarnya intipati konsep triniti dalam kepercayaan Kristian. Daripada apa yang saya tahu daripada rakan-rakan saya yang beragama Kristian (daripada pelbagai aliran, termasuk Lutheran, Katolik, Ortodoks dan sebagainya), “triniti” itu tidaklah bermaksud Tuhan itu ada tiga. Konsepnya lebih halus daripada itu. Saya masih tidak faham sepenuhnya konsep ini, dan saya kira secara peribadi ini tidak penting, sebab saya orang Islam. Yang penting, sekurang-kurangnya saya menghormati kepercayaan mereka dan tidak menaruh prasangka terhadap mereka.
(2) Kalau saudara hendak melanjutkan logik ini dan mengetengahkan ayat suci Al Quran secara selektif, saya rasa tidak sesuai. Kenapa pula kita tidak menekankan ayat suci di mana Allah sendiri berfirman bahawa orang Kristian dan Yahudi adalah ahlul kitab? Kenapa pula tidak mengetengahkan Surah Al Ankabut, ayat 46, di mana Allah s.w.t. berfirman bahawa semua yang percaya kepada Nabi Ibrahim a.s. sebenarnya percaya kepada Tuhan yang sama? Apabila kita membaca Al Quran pun kita kena mengambilnya sebagai satu wahyu yang komprehensif.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Elias Aun says
Artikel di atas sangat menarik Dunia ini telah didiami oleh manusia bejuta-juta tahun lamanya, begitu juga agama-agama telah diturunkan ke dunia ini juga beribu-ribu tahun lamanya. Semuanya untuk mendidik manusia agar menghormati sesama manusia. Tapi MALANGNYA manusia masih tidak mengasihi sesama manusia, jangan lagi dengan yang tidak seagama, sebangsa, dengan keluarga sendiri pun mahu berkelahi.
Apa sudah jadi dengan manusia?
Agama Islam, adalah agama terakhir yang diturunkan dan dikira serba lengkap oleh orang Islam, tetapi masih juga manusia tidak faham dan tidak tahu mengasihi sesama manusia.
Begitu juga AGAMA lain walaupun sudah lama tetapi mereka masih dengan seberapa yang boleh untuk mengajar umatnya ka jalan yang benar untuk mengasihi sesama manusia, tetapi malangnya masih juga manusia rakus, tamak, curang, salahguna kuasa dan sebagainya.
Adakah SATU lagi agama akan diturunkan oleh TUHAN yang bernama ALLAH ke dunia ini kelak untuk manyatupadukan hamba-hambanya/anak-anaknya?
Apa sebabnya tidak sehaluan di antara sesama manusia? Sebabnya manusia semakin pandai? Tidak – sebabnya ialah kerana tamak, dengki dan wasangka – TIDAK BOLEH. Kerana dia saja yang boleh. Orang lain SEMUAnya TIDAK BOLEH.
Cuba kita fikir, ramai orang atau semua orang kata bercakap hal-hal agama adalah sensitif, sangat sensitif, maka dengan itu orang takut. Cuba kita pecahkan tempurung ini, jangan cakap sensitif tentu ianya tidak akan sensitif. Agama ini bagi pendapat saya adalah sangat baik, murni dan menarik, tidak ada perkataan yang dapat menghuraikan kebaikannya. Mengapa kita cakap ianya sensitif. Sensitif – seakan-akan ianya haram untuk diperkatakan.
Agama ini tidak haram diperkatakan, asalkan kita jangan sekali-kali mengatakan agama orang lain salah, tidak betul atau ajaran sesat.
Bagi saya kalau saya ada mendengar orang lain mengatakan AGAMA orang lain salah atau jahat saya sangat marah. Kalau anda fikir agama anda baik, ok, teruskanlah dengan agama anda dan tunjukkanlah kebaikannya agar lain kali orang yang menganuti agama lain akan memeluk agama anda atau setidak-tidaknya dia akan mengikut cara hidup anda. Apa gunanya anda mengatakan AGAMA orang lain salah.
Sekian semoga Tuhan Yang Maha Kuasa memberkati kita semua. Amin amin amin. Terima kasih.
Syukri says
Saya tidak akan mengulas banyak mengenai agama Kristian, kerana bukan dalam pemahaman saya. Tetapi perlembagaan, dan Majlis Fatwa telah menetapkan tidak bolah digunakan Kalimah “ALLAH” selain drp agama Islam (mengikut peruntukan undang-undang).
Maka, andai kami org Islam ini ganas atau tidak cerdik, maka saya mengharapkan pihak yang mengakui lebih berhemah dan cerdik itu, menunjukan yang mereka mampu “menghormati” pandangan dari orang Islam ini.
Bagi saudara-saudara ku orang Muslim, siapa yang berpendapat boleh digunakan bukan Islam tu, belum cukup kemas ilmu Tauhidnya. Maka berpeganglah pada Fatwa Mufti. Moga kita sama-sama mendapat petunjukNya.
Wallahuaklam.
alisah says
Allah itu maha esa…dia yang tunggal dan tiada sekutu baginya…