Tajamnya duri… (© Christopher Sykes/Dreamstime)
SETINGGI 12 meter gambar besar Datuk Seri Anwar Ibrahim ini. Diperbuat daripada papan lapis dua matra (2D) dan telah dipacakkan di sebuah simpang depan Wisma Keringat dengan kelulusan Majlis Perbandaran Selayang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves.
Akan tetapi Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengandaikan gambar ini berhala kerana penyokong Anwar mungkin taksub memujanya. Berhala? Ha ha ha! Diulangi: berhala? Ha ha ha! Maafkan kami jika ini tidak lucu untuk anda. Mungkin kerana ada di antara anda peminat lawak-lawak dari filem Mami Jarum atau Senario.
Kami merasakan perkara ini lawak kerana mengapa perlu dikaitkan dengan berhala atau tuhan agama lain? Setakat gambar besar macam ni, kami jumpa bersepah-sepah di Kuala Lumpur, malangnya tiada sesiapa pernah mengaitkan gambar-gambar besar di Kuala Lumpur ini dengan berhala.
Sekali lagi, persoalannya; mengapa hendak dikaitkan dengan isu berhala? Adakah kerana ketinggiannya mencecah 12 meter? Adakah kerana ia ditempatkan berhampiran dengan tempat penyembahan? Atau kerana gambar ini adalah gambar pemimpin dari parti yang bukan sehaluan dengan Umno?
Apapun jawapan untuk persoalan di atas, ia tetap lucu bagi kami. Lima bintang untuk si pembuat lawak. Mungkin kalau rancangan realiti TV Raja Lawak diteruskan, dia adalah calon yang paling sesuai untuk menyertainya.
Berhala merata-rata
Jika ingin bercakap tentang berhala atau apa sahaja perkara yang berkaitan penyimpangan terhadap agama Islam di Malaysia ini, memang kita akan berpaksikan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Tapi ini tidak beerti bahawa kami atau rakyat Malaysia ini terlalu bodoh dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam.
Kalau hanya gambar 2D individu yang dipacakkan sudah dianggap sebagai sebuah berhala, maka boleh dikatakan di Malaysia ini penuh dengan berhala-berhala pemimpin-pemimpin kita (sama ada dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat).
Sebagai contoh, berjalanlah di mana saja di sekitar Malaysia ini. Kita pasti akan bersemuka dengan pelbagai gambar tokoh-tokoh, menteri-menteri, ahli-ahli parlimen, dan Adun-Adun yang bermacam-macam saiz dan warna. Ini tidak termasuk patung replika gergasi Burung Lang di Langkawi serta Tugu Negara di Taman Tasik Perdana yang menerima beratus-ratus jambangan bunga setiap Hari Pahlawan.
Burung Lang di Langkawi (© Aliza Aini)
Jadi kenapa ini semua tidak digelar berhala? Apakah kerana fatwa dari mufti juga tidak telus dan hanya berlandaskan kepentingan sesetengah parti politik? Kami sendiri tidak mampu memberi jawapan untuk persoalan ini dan juga kerana kami takut untuk mempersoalkannya.
Bisnes tetap bisnes, member tetap member
Sebagai rakyat Malaysia amnya dan sebagai penganut agama Islam khususnya, kami percaya bahawa fatwa dari majlis mufti itu seharusnya bebas dari campur tangan politik. Kami percaya bahawa ulama dan umara (pemimpin) memainkan fungsi yang berbeza dan tidak boleh dicampur-adukkan, seperti bisnes dengan member; bisnes tetap bisnes, member tetap member. Kedua-duanya harus ada tetapi perlu berdiri sendiri. Jika kedua-duanya disatukan maka akan berlakulah korupsi. Bisnes tak jalan, member pun hilang.
Seperti biasa suara kami ini bukanlah suara-suara sumbang dari mana-mana parti politik atau dari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan. Kami juga sebenarnya tidak bersetuju dengan penghasilan gambar-gambar besar ini kerana pada kami ia adalah suatu pembaziran yang menyakitkan mata. Lebih baik kos penghasilan gambar-gambar besar ini disalurkan kepada perkara yang lebih penting terutamanya perkara yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Tugu Negara (© doc_ido@Flickr) Tetapi perkara yang sangat mengganggu kami di Malaysia ini, adalah mengapa agama digunakan sebagai suatu alat untuk mengikat, mengongkong, menyekat dan membungkam? Seolah-olah agama telah dijadikan senjata politik untuk menyerang atau menjatuhkan apa-apa yang tidak dipersetujui oleh sesuatu pihak.
Kerana bagi kami terdapat bermacam-macam perkara yang dapat dibicarakan dan diungkaikan hanya dengan logik akal tanpa perlu justifikasi dari sudut agama. Bukan kami menolak agama, bukan. Kami bukan komunis, free thinker, atau apa sahaja yang menolak agama. Tetapi jika dibicarakan tentang ajaran Islam sekalipun, ada perkara yang disebut sebagai dalil akli dan dalil nakli (tidak ada kena-mengena dengan 50 dalil mengapa Anwar tidak boleh menjadi PM).
Boleh pakai logik
Dalil nakli ialah dalil yang berlandaskan hukum-hakam (al-Quran dan Hadith), sementara dalil akli berlandaskan logik akal fikiran manusia yang waras (tanpa pengaruh alkohol dan dadah). Jadi di sini jelas membuktikan bahawa dalam ajaran Islam itu sendiri ada perkara yang tidak perlu diberikan justifikasi berlandaskan hukum-hakam agama, jika ia boleh diselesaikan dengan logik akal.
Tapi apa yang berlaku di Malaysia ini, khususnya, adalah sebaliknya. Kenapa ini berlaku? Kerana sistem kita begini. Kenapa sistem kita begini? Kerana pemerintah kita yang kini memilih begitu. Kenapa pemerintah kita memilih begitu? Kerana kita yang memilih pemerintah itu. Kenapa kita memilih pemerintah yang begitu? Jawapannya ada pada kawan-kawan yang kita suka (rakyat Malaysia).
Satu ketakutan kami terhadap hal-hal begini adalah masyarakat kita akan menjadi dungu dan terlalu bergantung kepada ideologi atau sistem yang dibawa oleh pemerintah. Ini akan menjadikan masyarakat kita terlalu taksub kepada satu-satu keputusan yang dibuat oleh pemerintah tanpa mereka sendiri mampu mempersoalkannya kembali.
Ee-yer, hantu (© Tvrtko Stuka/sxc.hu) Maklumlah, masyarakat telah ditakut-takutkan dengan sensitiviti yang diwar-warkan oleh pemerintah. Seperti anak-anak kecil yang telah ditakutkan oleh ibu bapanya dengan menggunakan ceritera hantu tetek (hantu yang suka mengorok budak-budak ketika bermain sorok-sorok).
Jadi ini akan menjadikan masyarakat kita tidak mampu berdikari dan kurang kreativiti, maka terhasillah masyarakat yang diternak seperti kita menternak ayam. Kita bagi dia makan, tetapi bila dia besar kita sembelih dia untuk dimakan, dan dagingnya tidak diberi walau sedikitpun kepada jiran, padahal mereka telah terhidu aroma masakan kita.
Apakah ini yang kita inginkan? Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya berdikari? Entah, kerana kami belum menjadi ibu bapa. Kerana apa? Kerana kami belum stabil. Tapi stabil untuk siapa? Entah.
Tentang pilihan
Ditelan, mati emak. Diluah, mati bapak. Dikunyah, mati nenek. Begitulah perasaan kami bila membincangkan hal-hal begini. Namun ia tetap harus dibincangkan, kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan, walaupun kenyataan itu pahit. Tetapi hidup ini memang tentang pilihan. Dan pilihan-pilihan itu telah disajikan di hadapan kita, tinggal kita yang harus menentukannya dan bertanggungjawab atas pilihan kita.
(© Vasyl Helevachuk/Dreamstime) Bila difikirkan begini, memang kedengarannya hidup ini memang payah, tapi itulah kehidupan. Tidak semuanya berakhir dengan happy ending, seperti drama Bawang Putih, Bawang Merah. Kehidupan yang tidak ada konflik adalah kehidupan yang membosankan. Percayalah, kerana kami juga manusia seperti anda.
Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.