PENING kepala saya. Tiba-tiba macam ada ribut pengharaman oleh pihak berkuasa di Malaysia.
Pada 14 Ogos 2008, pihak media dimaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan dua judul buku, Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism (terbitan badan bukan kerajaan Sisters in Islam) dan Pelik Tapi Benar Dalam Solat (oleh Rahman Mohamad). Seorang wakil kementerian mendakwa kedua-dua buku tersebut memutar belitkan fakta yang boleh menggugat iman umat Islam.
Tanggal 28 Ogos pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman web Malaysia Today kerana mendapati beberapa tulisan di dalamnya “menghina nabi Muhammad”.
Sehari kemudian, wakil kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS berkata bahawa Kedah akan mengharamkan semua konsert pop, rock, reggae dan dangdut kerana ia “memberi impak negatif terhadap golongan muda”.
Nampaknya inilah logik yang dipakai oleh pihak berkuasa. Kalau rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, membaca buku sesuka hati, nanti sesat. Kalau rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, melayari internet sesuka hati, nanti sesat. Kalau rakyat Malaysia, khususnya di Kedah, melayan konsert pop, rock, reggae atau dangdut, nescaya nilai moral mereka akan hanyut. Nanti sesat. Maka tergugatlah keselamatan negara. Penyelesaiannya? Kita haramkan saja kesemuanya.
Tapi suka atau tidak suka, Malaysia sedang berubah. Keputusan pilihanraya umum ke-12 memang bersejarah. Namun, ada di negara ini yang masih tidak berubah. Tengoklah saja pengharaman maklumat dan pendapat yang disenaraikan tadi. Alasan yang digunakan pun tidak berubah-ubah. Iman akan tergugat. Masyarakat akan sesat. Gejala sosial akan meningkat.
Entahlah, kalau saya nakal, mungkin saya berani bertanya apakah pihak berkuasa di negara ini memandang rakyat semua bodoh belaka? Tapi itu kalau saya nakal. Saya tak nakal.
Apakah kaitan goyang Inul dengan kebebasan bersuara dan berfikir?
(© Meutia Chaerani / Indradi Soemardjan. Sumber: Wikipedia.org)Di Indonesia
Yang saya mahu persoalkan ialah apa yang akan berlaku jika suasana pengharaman ini dibiarkan berterusan. Mari kita ambil satu kajian kes.
Apabila konsert dangdut Inul di Malaysia diharamkan baru-baru ini, ketua Pemuda PAS Kuala Lumpur, Kamaruzaman Mohamad, berpendirian bahawa konsert tersebut tidak Islamik serta menggalakkan persembahan yang tidak bermoral, dan mendakwa bahawa orang bukan Islam pun sependapat dengannya.
Dan Inul memang sudah biasa dikritik sebegini. Majlis Ulama Indonesia pernah mengecap persembahannya sebagai lucah, dan menjatuhkan fatwa haram ke atasnya. Malah Rhoma Irama, Raja Dangdut Indonesia sendiri, mengecam gaya Inul habis-habisan.
Gus Dur, seorang tokoh agama yang membela hak bergerudi Inul (Sumber: GusDur.net)Yang menariknya di sini, tidak lain daripada mantan presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid — atau Gus Dur, yang juga mengetuai Nahdatul Ulama — yang membela hak Inul untuk berkarya dan bergoyang di atas pentas. Kata Gus Dur, sebarang usaha untuk menyekat kebebasan Inul akan membawa kepada penyekatan kebebasan golongan yang lain.
Pemikiran yang begini amatlah menarik bagi saya. Apakah adil Gus Dur menyamakan konsert dangdut dengan kebebasan asasi golongan-golongan yang lain seperti wartawan, penulis blog dan pembangkang politik? Mari kita tinjau pula situasi di negara Iran.
Revolusi Islam di Iran
Sehingga tahun 1979, rakyat Iran hidup di bawah kediktatoran Shah yang disokong oleh kerajaan Amerika Syarikat. Di bawah pemerintahan Shah, jurang antara miskin dan kaya meningkat. Tambahan pula, golongan yang membangkang Shah ditangkap dan diseksa di dalam penjara. Ada yang lenyap (atau dilenyapkan) sama sekali.
Ayatollah Khomeini (Domain awam)Setelah Revolusi Islam pada tahun 1979, rakyat Iran akhirnya dapat mengecapi kebebasan. Tokoh yang menjadi inspirasi kepada revolusi tersebut, Ayatollah Khomeini, menjanjikan kebebasan dan demokrasi kepada semua. Peneraju Republik Islam Iran berjanji tidak akan menyekat kebebasan siapa-siapa pun.
Tapi dalam fasa pertama pengasasan republik tersebut, pelbagai peraturan dikenakan ke atas rakyat Iran. Pelakon kelahiran Iran yang terkenal, Shohreh Aghdashloo, berkata bahawa suasana di Tehran sekitar lewat 1970-an amatlah mengongkong untuk golongan karyawan dan penghibur.
Shohreh sendiri pernah membintangi beberapa filem Iran yang, walaupun memenangi pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa, diharamkan oleh pihak berkuasa Iran. Dia akhirnya meninggalkan Iran menjelang Revolusi Islam.
Agak-agak 20 tahun selepas itu, seorang wartawan di Iran, Akbar Ganji, ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh kerajaan.
Hanya kerana dia menyiasat pembunuhan penuh misteri beberapa ahli pembangkang dan aktivis pada lewat 1990-an.
Para pemantau kebebasan media dan hak asasi manusia mengesyaki bahawa Akbar Ganji diseksa dalam penjara. Akan tetapi, presiden Iran ketika itu, Mohammad Khatami (yang dipandang sebagai seorang pendukung reformasi di Iran) menuduh bahawa wartawan tersebut yang bersifat “degil” dan “tidak munasabah” dalam tuntutan kebebasannya.
Menterbalikkan proses pembodohan
Kenapa saya bandingkan Malaysia dengan Indonesia dan Iran? Bagi saya, bila membandingkan situasi kita dengan situasi orang lain, atau situasi terkini dengan sejarah, barulah kita boleh mengambil teladan dan memperbaiki keadaan sekarang.
Tapi sebab inilah yang membuat saya geram apabila dimaklumkan tentang pelbagai bentuk pengharaman pendapat dan suara kita. Sebab kalau sesuatu pendapat atau suara itu diharamkan, bagaimana saya hendak mengumpul semua fakta yang ada untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri saya?
Baik dari segi hiburan dangdut, atau buku tentang Islam, atau tentang blog yang menyajikan pandangan alternatif.
Jadi berbalik kepada soalan yang mungkin akan saya tanya kalau saya nakal: apakah pihak berkuasa di Malaysia memandang kita semua bodoh? Atau adakah pihak berkuasa mahu menggunakan strategi pengharaman untuk membodohkan kita?
Sebab bila segala bentuk pengharaman diikhtiarkan oleh pihak berkuasa dengan sistematik — sama ada menyentuh bahan bertulis, konsert, filem, teater atau internet — maka rakyat secara keseluruhannya dikerah untuk menjalani satu proses pembodohan secara besar-besaran.
Market Theatre di Johannesburg (Gambar oleh Ruphin Coudyzer, sumbangan Market Theatre)Bolehkah proses pembodohan ini diterbalikkan?
Sekarang saya bandingkan pula dengan kes di Afrika Selatan. Di Johannesburg, satu kumpulan teater yang diberi nama Market Theatre ditubuhkan pada tahun 1976, di tengah-tengah pemerintahan kerajaan apartheid yang memang hantu perkauman.
Pada masa itu, menurut undang-undang rejim apartheid, ruangan teater di kawasan “kulit putih” boleh dibuka kepada penonton dan pelakon berkulit putih sahaja.
Para pengasas Market Theatre pula mahukan persembahan teater yang berbilang bangsa, tidak kira dari segi barisan pelakon atau penonton. Tapi bagaimana mereka mahu membuat persembahan begini selagi semua ruangan teater dikuasai oleh rejim minoriti yang berkulit putih? Senang sahaja. Dalam undang-undang apartheid, golongan berkulit putih dibenarkan bercampur dengan yang bukan berkulit putih di pasar.
Jadi, pengasas Market Theatre pun mula membuat persembahan teater di kawasan pasarlah. Itulah asal-usul nama kumpulan teater ini. Agak-agak 20 tahun kemudiannya, rejim apartheid berjaya ditumbangkan oleh pejuang demokrasi, termasuk golongan artis dan aktivis.
Jadi, sekurang-kurangnya untuk sayalah, proses pembodohan ini boleh diterbalikkan. Di Afrika Selatan, pendukung demokrasi dan hak asasi menggunakan pelbagai strategi untuk mengejar impian mereka.
Ramai di Malaysia yang biasa mendengar tentang kisah Nelson Mandela dan Ketua Biskop Desmond Tutu. Tapi saya kira tak ramai yang tahu tentang Market Theatre.
Tapi strategi yang digunakan oleh Market Theatre amatlah penting juga, dan saling menguatkan strategi Mandela dan Tutu.
Jadi, kita perlukan kreativiti dan kerjasama untuk menterbalikkan proses pembodohan. Sama ada di Afrika Selatan, atau di Iran, mahupun di Malaysia.
Kalau boleh, Shanon Shah tidak mahu menjalani proses pembodohan. Bukanlah macam dia pandai sangat, tapi asal jangan dipaksa menjadi lebih bodoh cukuplah.
Aliman says
Mungkin En Shanon Shah seorang yang pintar, brilliant, pemikir yang dahsyat. Tapi dia mungkin lupa, bukan dia sorang je yang hidup kat Malaysia ni, masih ramai orang lain yang kurang pandai, anak-anak yang masih tak kenal baik-buruk, hitam-putih. Jadi, dalam memikirkan maslahah umum ini, ada yang perlu disekat (i.e. HARAM). Saya bagaimanapun setuju, ada perkara/benda yg boleh disekat, ada yang tak harus disekat. Tapi kalau En Shanon Shah berpendapat semua perkara di beri liberisasi tanpa sebarang sekatan, saya tak setuju. Biarlah saya ni nampak bodoh pun.
Jacq says
Brilliant article Shanon. This is all part of the ruling government’s ‘keep the masses stupid’ programme. In line also with the strong movement to revert to the teaching of Math & Science in BM, while politicians’ children go overseas to study. When will they learn?… maybe when the are finally booted out of power.
Ida says
Great article Shanon… bravo! … It sure is easier to rule when you keep the rakyat stupid. Easier to control. Easier to bluff….
Melissa says
I do understand where Aliman is coming from, and it’s a relevant point that not all of our citizens are necessarily able to make good decisions. However, who are we to determine what a “good” decision is, anyway? Are we not all humans, open to errors and able to learn from our mistakes? Certainly there are some obvious “wrongs” just as taking the life of another or stealing, etc., but many things in life fall into that murky grey area, where definite answers are only possible if you are all-knowing or just plain arrogant.
Instead of saying that we should make things “haram” to accommodate these “kurang pandai” people, how about educating them more holistically so that they learn to make choices on their own? Yes, it’s obviously much easier just to ban something rather than to teach people, but if we go down that road, all I have to say is that a large majority of Malaysians (read into that whatever you will) need to understand the true meaning of, “Give a man a fish, you feed him for a day. Teach a man to fish, he will feed himself for life”.
It’s time this country learns to think for itself, not based on race or religion, but just as human beings who are trying to live better lives. We CAN make this country an amazing place, but only if we make the effort.
Aidan says
Great article! Took a lot of guts to write it! Some of us refuse to go through this proses pembodohan too, but the numbers are small as it’s an uphill battle. However, some don’t mind…so, it’s their right. Let us have our rights too.