TANAH MERAH Member of Parliament (MP) Amran Ab Ghani’s response to the MP Watch: Eye on Parliament project, which asks all 222 MPs six questions.
Name: Amran Ab Ghani
Constituency: Tanah Merah
Party: PKR
Years as MP: Since 2008
Government position: None
Party position:
• Kelantan treasurer
Membership in parliamentary committees or caucuses: None
Blog/Website: None
Original deadline: 26 May 2010
Reply submitted: 2.40pm, 15 July 2010
Adakah anda menyokong pemansuhan atau kajian semula terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya fasal yang membenarkan penahanan tanpa bicara? Kenapa?
Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan penahanan tanpa bicara sememangnya perlu dihapuskan kerana ianya melontarkan kesan negatif kepada sebuah negara yang menjalankan sistem demokrasi terbuka dalam pemerintahannya. Malaysia yang menggunakan sistem berparlimen pada hari ini tidak wajar sama sekali menerapkan cara penahanan tanpa bicara kerana tindakan sedemikian rupa tidak mencerminkan keadilan dalam berdemokrasi. Tambahan lain, penerapan tindakan ini akan menyebabkan kekeliruan atau unsur-unsur tidak percaya kepada badan pemerintahan. Sejauh mana salah seseorang itu ditahan atas sebab sebenar tidak akan diketahui rakyat kerana penahanan tanpa bicara seakan-akan menutup segala agenda dan permasalahan disebalik penangkapan tersebut.
Patutkah Malaysia menjadi sebuah negara Islam atau sekular? Kenapa?
Malaysia sememangnya patut menjadi negara Islam kerana sejak azalinya penemuan dan pembukaan Tanah Melayu di suatu ketika dahulu adalah bermula dengan penjejakan Islam.
Yang manakah tugas utama anda sebagai seorang Ahli Parlimen? Adakah Parlimen menyediakan infrastruktur dan sumber yang mencukupi untuk memenuhi tugas ini?
Tugas utama seorang MP pada pandangan saya adalah memperjuangkan keadilan dan hak rakyat demi memberi nafas baru dalam Malaysia. Walaubagaimanapun, Parlimen tidak dapat menyediakan infrastruktur dan sumber yang mencukupi untuk kami memenuhi tugas ini dengan lebih telus. Sebagai contoh, kemudahan ICT seperti perhubungan Internet dan kemudahan komputer di Dewan Rakyat dan Pusat Sumber sangat menyedihkan. Adakalanya, kami terpaksa beratur untuk menggunakan kemudahan tersebut. Selain itu, MP juga tidak diberi bantuan elaun untuk penyelidik tetap.
Adakah anda akan menyokong penggubalan satu Akta Kebebasan Maklumat? Kenapa?
Akta Kebebasan Maklumat perlu digubal demi merencanakan pembangunan yang lebih efektif dan berkesan. Maklumat yang telus dan penting kepada negara perlu digubal terutamanya soal-soal yang melibatkan perkara-perkara keutamaan negara seperti hasil-hasil negara dan urusan yang melibatkan GLC.
Rang undang-undang ini dihasratkan untuk menggubal satu Akta Kebebasan Maklumat untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi dengan tujuan menggalakkan penyediaan maklumat dari badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam. Motivasi untuk akta ini bertunjakkan peruntukan Artikel 19 di bawah Deklarasi Antarabangsa Hak-hak Asasi Manusia yang menjamin hak bersuara dan hak mendapatkan maklumat.Rang undang-undang ini menggariskan prinsip-prinsip asas hak kebebasan maklumat dan mekanisme-mekanisme berkesan bagi melindungi hak tersebut.
Prinsip asas yang disebutkan adalah:
- Pendedahan maksima maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian, sebagaimana ditafsirkan dalam Rang undang-undang ini, yang mempunyai kepentingan awam
- Pengecualian yang spesifik dan terhad yang perlu ditentukan melalui proses yang terbuka
- Pembentukan satu Suruhanjaya Maklumat yang bebas untuk memantau pelaksanaan akta, menerima aduan dan membuat keputusan ke atas aduan yang diterima, dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mempromosikan hak kebebasan maklumat termasuklah melatih pemegang maklumat.
- Proses meminta maklumat dan respons yang mudah, murah, dalam jangka masa yang munasabah, dan mengambil kira kehendak peminta yang mempunyai kekurangan fizikal.
- Pentafsiran perundangan yang memastikan keterbukaan, di mana peruntukan atau perundangan lain yang bercanggah dengan rang undang-undang ini tidak dipakai.
- Perlindungan kepada peniup wisel yang mendedahkan maklumat yang penting dari segi kepentingan awam.
Kalau anda hanya boleh melakukan satu sahaja langkah untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, apakah langkah itu?
Saya akan mewujudkan satu bidang kuasa baru untuk mengambil-alih Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak terikat kepada pemerintah yang berkuasa melantik jawatan mereka.
Adakah anda berpegang kepada pengasingan kuasa antara eksekutif, Parlimen, dan mahkamah? Kenapa?
Ya, kuasa eksekutif, Parlimen dan mahkamah sepatutnya diasingkan dan menjalankan tugasnya yang tersendiri tanpa terikat kepada arahan kerajaan pusat yang memerintah. Parlimen dan mahkamah seharusnya menegakkan keadilan tanpa mendengar arahan daripada menteri (eksekutif).
For other MP responses, see Full MP list
The Nut Graph needs your support