BABI! Anjing! Pondan! Kata-kata ini makin popular di kalangan orang Melayu Islam di Malaysia.
Jijik sungguh orang Melayu Islam di Malaysia masakini pada babi, anjing dan golongan mak nyah hingga merasakan mereka boleh buat apa saja untuk menghina, menganiaya dan malah menyeksa mereka. Tahap jijik luarbiasa itu kerapkali buat sesetengah orang Islam hampir hilang akal hingga sanggup melakukan kezaliman. Seringkali kezaliman itu lalu dilakukan atas nama Tuhan.
Apakah Islam mengajar umat Islam membenci babi, anjing dan mak nyah sehingga orang Islam merasa boleh berlaku kejam terhadap mereka?
Ajaran Islam
Pendapat ramai ulama mengatakan umat Islam tidak dibenarkan makan daging babi. Ramai ulama juga berpendapat anggota badan yang bersentuhan dengan anjing itu perlu disamak. Akan tetapi Islam kan tidak pernah membenarkan orang-orang Islam untuk maki hamun babi dan anjing, apatah lagi untuk pukul, menyeksa atau bunuh babi dan anjing sesuka hati.
Namun dalam bulan Mei 2014, seorang lelaki berkopiah memanah seekor anjing buta yang sedang sakit. Ada juga orang-orang Islam yang marah, namun ramai masyarakat Islam diam seperti tanda mengizinkan.
Begitu juga, Islam tidak menyuruh umatnya berlaku kejam terhadap mana-mana manusia yang mungkin berbeza tutur caranya atau cara berpakaiannya. Golongan khunsa misalnya, diterima baik oleh Islam.
Akan tetapi, pada 8 Jun, 16 orang mak nyah atau “transwomen” yang sudah dewasa ditangkap oleh penguatkuasa agama di Negeri Sembilan. Kepala mereka dicukur dan hakim mengenakan syarat yang luarbiasa, iaitu wang jaminan hanya boleh dibayar oleh ibubapa setiap seorang dari mereka. Apakah undang-undang ada menetapkan syarat sedemikian? Sangat menghairankan kerana kesemua mak nyah tersebut sudah melebihi usia 18 tahun dan bukan lagi kanak-kanak.
Babi oh babi!
Isu DNA babi dalam Cadbury pula, semua orang sudah tahu. Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) yang mendakwa mewakili 18 NGO Islam telah menuntut agar Cadbury bayar kos cuci darah semua orang Islam yang sudah tertelan DNA babi itu.
Menurut teori Sabariah Abdullah, jurucakap ACCIN, orang-orang yang makan babi boleh jadi wajah mereka pun lama-lama akan hampir macam babi. Entah penyelidikan mana agaknya yang jadi sumber rujukan ACCIN.
Penyelidikan dan kajian sangat penting dalam banyak hal. Kerana kajian jugalah coklat Cadbury yang mulanya didakwa punyai DNA babi di dalamnya, akhirnya didapati rupanya tidak ada.
Namun, sekiranya memang ada DNA babi pun, menurut ulama terkenal Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rupa-rupanya itu pun tidak mengapa. Sebabnya, jika dikaji menurut metodologi atau kaedah fiqah, bahan najis yang telah diproses dan mengalami perubahan zat menjadi bahan lain, pun boleh bertukar status menjadi halal. Kenyataan itu disokong oleh Dr Asri Zainul Abidin, yang menyatakan dalam isu babi ini, terdapat banyak khilaf atau perbezaan pendapat di kalangan ulama.
Haram dan halal
Sesuatu yang haram menjadi halal bukanlah suatu konsep asing dalam Islam. Malah yang halal menjadi haram juga merupakan sesuatu yang lumrah. Apakah anda terkejut?
Sekiranya kita memahami mengapa sesuatu perkara itu diharamkan atau dihalalkan oleh Islam, maka mudah untuk menilainya. Kebanyakan perkara yang diharamkan oleh Tuhan ialah yang memudaratkan manusia. Manakala yang dihalalkan ialah perkara-perkara yang membawa kebaikan atau tidak memudaratkan manusia.
Jika menurut kaedah fiqah yang asas, semua perkara di dunia ini adalah halal dan harus dianggap sebagai halal, kecuali ianya disebutkan dengan jelas oleh al-Quran yang ianya adalah haram. Jika menurut kaedah fiqah yang asas juga, adalah tidak berdosa memakan atau melakukan perkara yang haram, sekiranya kita tidak tahu atau tidak menyedari bahawa makanan atau perkara itu sebenarnya ialah haram.
Menurut fiqah, dalam keadaan darurat, apa-apa yang haram boleh jadi halal untuk dimakan atau dilakukan. Babi atau ular sekalipun, boleh dimakan sekiranya sudah tidak ada makanan lain.
Antara pengajaran yang boleh diambil dari Surah Al Baqarah ialah janganlah terlalu menyusahkan diri dalam hal ibadah sehingga membuatkan akhirnya kita tidak mampu menanggung atau melakukannya. Di dalam surah ini, Tuhan telah menyuruh suatu kaum untuk mengorbankan seekor lembu. Namun, kaum itu terlalu banyak minta spesifikasi dari Tuhan tentang lembu tersebut. Akhirnya kaum itu tidak mampu untuk mencari lembu yang dapat memenuhi kriteria itu hingga mereka langsung tidak dapat menjalankan perintah Tuhan.
Semua ulama akan mengatakan, “Islam ini agama yang mudah.” Tetapi sepertinya sesetengah orang Islam suka menjadikannya susah seperti yang diceritakan dalam Surah Al Baqarah itu.
Berbalik pada isu sentuhan anjing misalnya, bukanlah haram atau dilarang terus untuk menyentuh anjing. Ramai ulama fiqah malah berpendapat bahawa kalau anjing itu kering dan kita juga kering, ataupun jika anjing itu basah dan kita juga sedang basah, tidak perlulah kita samak setelah menyentuh anjing itu. Yang perlu disamak hanyalah jika anjing itu basah manakala kita kering, atau sebaliknya.
Dan dalam hal samak ini pula, saya pernah diberitahu oleh seorang mufti di Malaysia bahawa menurut pendapatnya, tidaklah perlu cari tanah untuk samak. Memadailah dengan mencuci dengan sabun kerana yang penting ialah setelah dicuci, tubuh badan kita bersih dari kotoran atau kuman.
Isu mak nyah
Dalam isu mak nyah pula, apakah jabatan agama akan hari-hari menangkap dan menyumbatkan mereka dalam penjara? Atau cuba memaksa mereka “berubah menjadi lelaki tulen”, sedangkan itu bertentangan dengan naluri atau keperibadian mereka?
Yang harus difikirkan oleh jabatan agama ialah, yang mereka hari-hari kejar dan tangkap itu bukankah ahli masyarakat mereka sendiri, orang Islam juga. Mengapa mengambil pendekatan keras dan tidak ambil pendekatan cuba memahami dan cuba menghadapi isu ini bersama-sama dengan baik, berhemah dan berhikmah? Cara keras tidak akan membuatkan mak nyah ataupun masyarakat secara amnya, apatah lagi yang bukan beragama Islam, semakin menyayangi Islam.
Di Indonesia, terdapat ramai ulama, ustaz dan ustazah yang arif tentang isu gender. Mereka aktif cuba memahami isu-isu LGBT (singkatan Bahasa Inggeris untuk “lesbian, gay, bisexual and transgender”) dan telah mengutarakan wacana-wacana ilmiah yang menarik tentang LGBT. Wacana seperti ini tidak wujud di Malaysia kerana ramai agamawan di Malaysia hanya obses tentang cara nak menghukum saja.
Prof Dr Nasaruddin Umar, seorang sarjana yang kini merupakan timbalan menteri agama Indonesia, juga merupakan seorang ahli tafsir al-Quran yang arif tentang isu gender. Beliau banyak menulis buku-buku untuk menggarap isu gender, seperti bukunya yang bertajuk Argumen Kesetaraan Gender.
Menurut kajian beliau, apabila al-Quran menyebut lelaki atau perempuan, perkataan yang digunakan oleh al-Quran membuat perbezaan berasaskan rujukan jantina iaitu keadaan biologi seseorang, atau kepada gender mereka iaitu pada sifat atau sikap lelaki/perempuan yang terbentuk hasil dari konteks sosial atau identiti mereka. Rujukan gender sebegini tidak terikat dengan biologi atau alat kelamin seseorang.
Alangkah bagusnya sekiranya ada agamawan di Malaysia yang boleh mengembangkan lagi wacana yang telah dikemukakan oleh Dr Nasaruddin untuk kemudiannya meneroka tentang isu LGBT.
Pendek kata, bukankah lebih baik bagi ahli-ahli agama dan masyarakat Islam ambil pendekatan cuba memahami? Bukankah itu lebih baik daripada pendekatan keras agar Islam dilihat sebagai agama yang indah, adil dan manusiawi, bukannya agama yang keras, tidak adil dan zalim.
Sikap diktator
Sayangnya di Malaysia, yang banyak terjadi ialah agamawan bersikap diktator. Mereka menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk memonopoli ruang wacana dengan menyekat pendapat-pendapat yang berbeza dengannya. Contohnya, apabila tersebar pendapat Syeikh Yusuf mengenai babi, ramai orang Malaysia seperti susah nak percaya. Ia kerana di Malaysia ini, seperti dalam kebanyakan hal, sangat kurang sekali penilitian mendalam dan perdebatan ilmiah tentang sesuatu isu.
Tugas manusia dan juga ulama ialah untuk sentiasa berusaha dan memikirkan bagaimana agar manusia dan binatang boleh hidup aman, bahagia, sihat sejahtera dan sentiasa dilayan dengan adil. Itulah teras ajaran Islam. Apakah ajaran ini sudah pun dilupai oleh umat Islam di Malaysia?
Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.
mohamad adel says
kat malaysia ni babi, anjing sangat sensitif, RASUAH ok jeeeee.
Ameno World says
Point dia aku faham.
Point dia pasal babi. Pasal anjing. Pasal pondan. Aku faham. Sampai bila kita nak menghukum golongan2 pondan neh? Perlu cari jalan penyelesaian untuk bebaskan mereka dari masalah kecelaruan gender. Yang neh aku setuju.
Tapi kalau nak didik masyarakat untuk terima dan raikan kumpulan ini, aku tak setuju. Maaf. Aku bukan nak discriminate dorang tetapi lelaki adalah lelaki. By any means pun ko ialah lelaki. Sampai mati ko tetap lelaki dan takan boleh jadi perempuan.
Part naluri?
Fikrah?
Keperibadian?
There is no such thing pun. Baca la kisah pondan2, maknyah2 or bapok2 yang dah insaf dan kembali ke pangkal jalan. JANGAN HANYA BACA CERITA DARI MEREKA2 YANG MASIH BERGELAR PONDAN DAN GAY aje.
Ada ramai di luar sana. Pondan2 yang dah insaf. Mereka menyesal dengan apa yang mereka lalui.
Menjadi lembut tidak salah.
Menjadi sensitif tidak salah.
Suka masak tidak salah.
Suka kulit licin tidak salah.
Sukakan kecantikan tidak salah.
Sukakan fashion tidak salah.
Tapi yang salahnya bila ko dah elok2 jadi lelaki ko sibuk nak jadi perempuan dah kenapa?
Pondan2 yang kena botak kat N9 tue aku rasa memang wajar dorang dibotakkan. Bukan aku tak hormati hak asasi mereka. Aku sanggup faham dan sanggup terbuka untuk berkawan dengan orang2 macam neh (memang ada pun kawan2 dari kalangan ini).
Tapi aku takan boleh langgar limit kepercayaan aku. Pasal aku tahu dan kita semua memang tahu ianya bukan fikrah manusia untuk jadi pondan. Ianya nafsu. Dulu begitu, hari neh begitu, dan akan datang juga begitu.
Terima la hakikatnya.
Sunna Sutta says
Apakah yang menghairankan saya ialah kalau kita bandingkan tindakan yang diambil oleh angkatan tentera moral JAKIM dan berbilang JAI di peringkat negeri dalam mengharamkan anjing, babi dan mak nyah ialah penguatkuasaan agak lebih ketat terhadap babi dan anjing jika dibandingkan dengan kumpulan LGBT. Sebabnya saya mengatakan begitu ialah saya tidak pernah lihat kehadiran anjing atau hidangan babi di dalam restoran yang memaparkan logo halal.
Walau bagaimanapun, saya sering melihat kehadiran mak nyah secara terbuka di tempat-tempat kerja dan awam. Tidak dinafikan bahawa kadangkala mereka disasari oleh pihak-pihak berkuasa tersebut dan diganggu oleh orang awam (Islam dan bukan Islam) yang tidak dapat menerima(atau takut terhadap) perbezaan jantina yang semulajadi. Bukan salah kaum LGBT sekiranya mereka berada ngam-ngam di zon pertengahan di antara jantina lelaki dan perempuan. Rupa-rupanya LGBT Melayu sedikit sebanyak dapat menjalankan cara hidup mereka tanpa banyak penganiayaan daripada pihak polis moral Islam. Nampaknya kerajaan telah melaburkan berjuta-juta ringgit untuk menguji kehadiran DNA, sensitiviti alat-alat tersebut mengkagumkan kerana dapat mengesankan kehadiran DNA tersebut dalam beberapa ppm (parts per million). Mungkin mereka takut nak bazirkan duit rakyat dan dihentam oleh AG, LOL. Prioriti lebih tinggi dalam mempertahankan raison d’etre tersebut yang mendorong pihak tersebut mencari fasal dalam keadaan tiada fasal!
Namun, cuba bayangkan “worst case scenario” ini: mak nyah yang memelihara anjing dan termakan makanan yang tercemar dengan beberapa ppm babi!
Masyarakat Thai agak lebih matang dalam penerimaan hakikat kathoey jika dibandingkan dengan masyarakat Islam di Malaysia. Hayatilah klip Youtube berikut:
http://www.youtube.com/watch?v=bKMWC9ow22U
Adam says
Yet another thought-provoking article. Most Malaysian Muslims have the phobia on pigs and dogs. But in Pakistan, they rear dogs as pets as well as for hunting wild pigs. They are even not afraid to grapple with the animals. There are many such videos available on You Tube. […]
semuaok says
Kan itu semua salah Allah kerana reka babi dan anjing? Sebab binatang-binatang itu direka mesti ada sebabnya.