FATWA yang dianggap suci semakin menjadi bahan nista dan ketawa. Aura kesuciannya kian memudar apabila wajah-wajah manusia di belakang fatwa itu semakin terjelma.
Yang terbaru ialah fatwa yang mengharamkan penyertaan demonstrasi seperti Bersih 3.0 di Kuala Lumpur yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-99. Demonstrasi didakwa haram dan berdosa kerana boleh menyebabkan rusuhan dan mempunyai niat untuk menjatuhkan sebuah negara yang sah dari segi undang-undang. Fatwa itu diketawakan dan juga dikecam hebat oleh ramai rakyat Malaysia termasuklah pemimpin-pemimpin parti Islam, PAS. Kartun Zunar malah mengejek dengan menggambarkan Majlis Fatwa berlutut menggunakan kain serbannya mengelap kasut Perdana Menteri.
Fatwa PAS juga tidaklah lebih baik. Kerajaan PAS Kedah telah pun meluluskan Pindaan Seksyen 22A Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 dan memberi kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa Kedah dalam apa jua hal agama. Semua keputusan yang dibuat mufti dan jawatankuasa fatwa Kedah sama ada diwartakan atau tidak, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak semula, ditolak atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah syariah atau sivil.
Tindakan PAS itu juga dikecam hebat oleh banyak pihak. Seorang kerabat diraja Kedah, Tunku Mansor Tunku Kassim malah membuat laporan polis. Beliau mendakwa pindaan itu telah menafi dan merendahkan institusi mahkamah sebagai tempat mentafsir undang-undang, serta menghina dan mencabar kedaulatan kuasa Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam negeri. Mantan Mufti Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menyelar tindakan PAS Kedah itu sebagai tidak demokratik dan membunuh intelektualisma.
Pendapat ulama serta undang-undang yang dibuat oleh para agamawan kerap menjadi kontroversi dan pengharaman bermacam-macam perkara kerap juga buat orang geleng kepala. Apakah sejarah pembentukan fatwa dalam Islam, sebenarnya?
Keterbatasan Ilmu Ulama
Jika kita melihat sejarah Islam sendiri, kita dapati ulama-ulama besar sedar benar bahawa fatwa atau pendapat mereka itu adalah sebuah produk pemikiran mereka sendiri yang mempunyai keterbatasan dari segi ilmu tentang hal-hal keagamaan dan ilmu tentang kemanusiaan, alam dan masyarakat.
Apakah mungkin ulama besar juga terbatas ilmunya? Pasti. Di dalam Al-Qur’an Surah Al-Kahfi 18:109 menyebut “Katakanlah: Kalau semua lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan-lautan itu sebelum habisnya Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan”.
Semua ulama besar mengakui keterbatasan diri mereka sebagai manusia biasa dan sering mengakhiri pendapatnya dengan mengatakan “Wallahu alam” yang bermakna “Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui”.
Dengan rendah hati, Imam Shafi’e memaklumi, “Pendapat saya benar tapi mungkin saja ada silapnya”. Imam Malik telah menolak hasrat Khalifah Mansur untuk mengangkat kitab Al-Muwattanya sebagai kitab rasmi umat Islam. Beliau menegaskan, “Orang-orang di bahagian dunia yang lain mungkin mempunyai pengetahuan yang berbeza”. Imam Malik juga berhujah, “Kepelbagaian pendapat itu adalah rahmat dari Allah s.w.t.”
Sebaik wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., terus wujud pelbagai aliran pemikiran. Ia terbukti dengan wujudnya perbezaan pendapat dalam perlantikan Khalifah, dan perbezaan gaya pemerintahan antara para Khalifah empat yang pertama. Berpuluh malah mungkin beratus aliran pemikiran dan mazhab muncul di awal sejarah Islam, antara yang terkenal ialah Khawarij dan Mu’tazillah.
Namun, satu persatu aliran pemikiran atau mazhab itu kian terhapus, antara sebab utamanya ialah akibat tekanan dari politik pemerintah dan juga dari puak majoriti ahli masyarakat.
Pencantasan Pendapat Berbeza
Dakwaan “takut mengelirukan” dan ugutan “jangan berani menentang hukum Allah” sering digunakan bagi mencantas pendapat yang berbeza.
Suatu masa dulu, Malaysia mengiktiraf penggunaan keempat-empat mazhab ahli sunnah wa jamaah iaitu Hanbali, Maliki, Shafie dan Hanafi. Namun sekarang telah disempitkan dengan mengangkat pendapat mazhab Shafie secara lebih eksklusif. Mazhab lain dianggap kurang penting. Akibatnya, ramai rakyat Malaysia bukan saja memandang serong pada Syiah, malah menjadi kurang yakin pada kebenaran pendapat ketiga-tiga mazhab ahli sunnah wa jamaah yang lain. Padahal, Imam Malik, Hanbali dan Hanafi semuanya ulama besar.
Tindakan mencantas apa saja pendapat yang berbeza telah menjadi suatu budaya di Malaysia. Sering benar ada gesaan untuk haramkan dan tapiskan apa-apa saja yang mereka anggap bertentangan dengan Islam.
Oleh kerana PAS dan pertubuhan-pertubuhan Islam tidak punya kuasa dalam pentadbiran kerajaan, maka mereka hanya boleh sekadar berdemo untuk mendesak pengharaman. Pihak-pihak yang mempunyai kuasa seperti JAKIM dan Majlis Fatwa boleh terus menguatkuasakannya. Selain dari konsert dan kumpulan yang dianggap sesat, yang sering menjadi mangsa pengharaman ialah buku-buku yang mereka tidak sukai. Buku “Fiqh Perempuan” tulisan seorang ulama lulusan Al-Azhar Mesir, Kiyai Husein Muhammad, yang banyak dijual dan dibaca di seluruh Indonesia, diharamkan di Malaysia. Begitulah, apa sahaja yang tidak disukai atau tidak difahami oleh agamawan di Malaysia, mudah sekali dilabel liberal, sesat atau bertentangan dengan Islam, lalu terus diharamkan.
Perang Fatwa antara Agamawan
Kecam-mengecam antara para agamawan di Malaysia sering berlaku. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mencemuh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria “seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa)”. Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri pula telah dihalang dari memberi ceramah di Selangor. Ustaz Datuk Dr Badrulamin Bahron pemimpin PKR itu malah menggelar Asri sebagai “Mufti Gila” dan “Bapak Setan” serta mengugut “kalau boleh, saya nak pancung saja kepalanya”.
Identiti fatwa semakin terselak dan ketara. Wajah-wajah manusia dengan segala keterbatasan ilmu dan kepentingannya tersendiri semakin terjelma di wajah fatwa.
Masyarakat semakin faham. Rupanya fatwa bukan sesuatu yang suci. Fatwa bukan firman Allah dan bukan hadith Nabi. Fatwa itu sekadar pendapat seseorang atau sekelompok manusia biasa, yang membesar di kalangan masyarakat dan lingkungan budayanya, telah belajar ilmu agama dan kemudiannya diangkat menjadi tokoh agama yang digelar ulama.
Pembebasan dari Kediktatoran dan Autokrasi
Konflik antara para agamawan di Malaysia telah menunjukkan betapa bahayanya bila agamawan diberi kuasa mutlak dalam menentukan atau menfatwakan sesuatu.
Pengharaman demonstrasi dan juga tindakan menjadikan fatwa kebal dari sebarang kritikan, kedua-duanya adalah tindakan yang bertentangan dengan demokrasi.
Pengharaman poco-poco, turut meraikan hari perayaan agama lain, larangan memakai tumit tinggi dan gincu, saranan agar wanita cantik tidak diambil kerja ialah antara “fatwa” yang menjadikan orang tertawa.
Rakyat harus memastikan bahawa dalam negara demokrasi seperti Malaysia, agama tidak harus disalahgunakan untuk menyekat hak kebebasan untuk berfikir, mendapatkan pelbagai jenis ilmu dan hak menyuarakan pendapat mesti sentiasa terjamin.
Bila pihak berkuasa, para agamawan dan masyarakat Islam menyeru “kita harus kembali kepada ajaran Islam”, soalan dasar yang harus dipertanyakan ialah “ajaran Islam” yang mana? Siapa yang boleh membuktikan yang hanya dia atau organisasinya saja yang telah mendapat mandat dan telah dilantik menjadi wakil Tuhan di Malaysia?
Saya tuliskan di sini suatu olahan yang diinspirasikan dari catatan seorang sarjana Indonesia, Ahmad Wahib (1969):
Aku belum tau apakah Islam itu sebenarnya.
Aku baru tahu Islam menurut Sayidina Umar, Siti Aisyah dan Ali,
Islam menurut Imam Hanbali, Malik, Syafie dan Hanafi,
Islam menurut Rabiah Al Adawiyah dan Ibn Rushd
Islam menurut Syed Qutb dan Muhammad Assad,
Islam menurut Iran, Arab Saudi dan Malaysia,
Islam menurut UMNO, PAS dan PKR
Namun aku belum temui
Islam menurut Allah, pembuatnya.
Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.
[related-posts]
Ingin Penjelasan says
Saya ingin menanya, mengapa di dalam gambar kedua dengan tajuk “Pertemuan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 April 2012 (sumber: islam.gov.my)”, terdapat buku berlogokan BN didepan seorang ahli jawatankuasa? Apakah ini taklimat BN kepada Jawatankuasa Fatwa?
Kong Kek Kuat says
@ Ingin Penjelasan
Haha… tajamnye mata engkau.
Lainie says
I don’t know who the individuals in the photograph are, but there are two things to consider:
1) He might just be Muhyiddin’s assistant sitting at the end of the table (red tie, hair showing = he is not in the final group photo), hence the BN notebook
2) Or he could still be with the fatwa council, only not senior enough to be in the final group photo 🙂
Kong Kek Kuat says
@ Lainie
Ya, good point. I noticed that he is not in the group photo. And I noticed that he does not wear a songkok.
But what was a booklet, with the BN logo across the entire (“entire” according to marketing concepts, since the entire booklet is blue) front cover, doing on the table of a pertemuan jawatankuasa fatwa kebangsaan? I also thought of the possibility that that BN booklet is merely a notebook. It may as well be a DAP booklet then. But can we be certain, on the balance of probabilities, that it is a notebook? If we cannot be certain, then there is doubt on the balance of probabilities.
miele says
Soalan di atas ni bagus, tapi perlu ditujukan pada Jawatankuasa Fatwa kot. Saya pun terasa ingin tahu jawapannya.
Farouq Omaro says
Pada tahun 1973,ulama Syiah, Musa al Sadr telah mengeluarkan fatwa mengisytiharkan golongan Alawi sebagai Islam kerana waktu itu Hafez al Assad, seorang Alawi, telah menjadi presiden Syria. Sedangkan agama Alawi jauh berbeza dari agama Islam dalam banyak aspek. Itulah nama dia Fatwa Politik!
miele says
Untuk makluman penulis, saya telah berkongsi artikel ini di salah satu laman sosial media. Respon yang diperolehi ada yang memualkan; ada rakan zaman sekolah yang terus mengatakan saya mencerca golongan ulama. Mungkin dia tidak membaca keseluruhan artikel anda.
Ada juga rakan yang sedia berbincang secara waras, i.e. mengatakan meskipun Imam2 telah memberi ruang, majlis fatwa masih perlu berpendirian tegas “demi kesejahteraan ummah”.
Akhir kata anda telah membuat saya (dan harapnya rakan2 saya) berfikir. terima kasih.
yati kaprawi says
Bagus kerana anda memperbanyakkan diskusi sama teman-teman. Pada teman yang menuduh anda mencerca golongan ulama, minta saja mereka baca artikel ini kembali atau buat kajian sendiri – maka mereka akan mendapati ramai juga ulama yang mencerca sesama ulama juga. Antara sebab tabiat mencerca terjadi ialah akibat i) sikap angkuh oleh mereka yang merasakan hanya pendapat mereka saja yang benar ii) akibat kurang sekali sikap bertolak ansur dan menghargai perbezaan pendapat iii) ketidakupayaan untuk berlawan hujah dengan artikulasi hujah secara matang. Orang yang suka mencerca bersikap kebudak-budakan dan hooligan dengan tunjuk ‘tantrum’ dan mengamuk memaki-maki orang lain yang tidak sependapat dengan mereka.
hassan says
This is a very chilling article …food for thought.
Naqiuddin says
Syiah memang sesat.. harap maklum.. jangan menghalalkan apa yang haram.. dan jangan juga mengharamkan apa yang halal..
*harap tiada cubaan untuk menyatakan syiah itu islam […]