BOIKOT semua barangan buatan syarikat Yahudi. Itulah intipati kempen terbaru oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menangani pencerobohan Israel di Gaza, Palestin. Kempen PPIM ini sekaligus cuba menyatukan umat Islam untuk menentang puak Yahudi dan kerajaan mahupun syarikat sekutunya.
Boikot ada banyak jenis. Ada aktivis anti-kapitalis yang memboikot syarikat tertentu seperti McDonald’s, Nike atau Nestle. Ada pula aktivis gender dan seksualiti yang cuba memboikot wacana yang bersifat seksis dan anti-gay.
Contoh boikot yang paling mirip dengan kempen memboikot produk Yahudi ialah kempen memboikot rejim apartheid Afrika Selatan. Kempen ini tercetus pada penghujung 1950an dan berterusan sehinggalah pemilihan Nelson Mandela sebagai presiden dalam pilihanraya pertama Afrika Selatan yang bebas lagi bersih, tanggal 1994.
Boikot terhadap rejim apartheid sebenarnya menentang kerajaan perkauman Afrika Selatan, di mana rakyat kulit putih yang minoriti menindas rakyat bukan berkulit putih yang membentuk majoriti. Ramai juga tokoh anti-apartheid yang berkulit putih tetapi menentang perkauman.
Boikot terhadap rejim apartheid tidak pernah dilontarkan sebagai usaha menyatukan semua orang berkulit perang dan hitam untuk menentang orang berkulit putih. Sasaran boikot ini bukanlah sekumpulan manusia, tetapi institusi perkauman itu sendiri.
Boikot seperti yang dilancarkan oleh PPIM tidak boleh disamakan langsung dengan boikot terhadap rejim apartheid Afrika Selatan. Boikot PPIM terlalu berbau perkauman dan diskriminasi terhadap kaum Yahudi dan rakyat Amerika Syarikat.
Kalau anda tinjau muka depan laman web PPIM, anda akan menemui sepucuk surat yang mendakwa agama Hindu, Buddha, dan falsafah kapitalis, sosialis, liberalisme, dan demokrasi semuanya dicipta oleh kaum Yahudi untuk menghancurkan Islam. Orang Yahudi ini macam tidak ada kerja lain.
Surat ini bukanlah kenyataan rasmi daripada PPIM, tetapi ia mencerminkan mentaliti sesetengah pihak yang menyokong boikot terhadap “produk Yahudi”. Tentera Israel menceroboh Gaza dan mengorbankan rakyat Palestin yang tidak berdosa. Jadi pihak seperti PPIM berkata Yahudi adalah musuh Islam sejak azali lagi dan perlu diboikot dan dikalahkan sampai habis. Respons ini langsung tidak masuk akal.
Funny Girl
(© Columbia Pictures)
Saya teringat kisah tentang Barbra Streisand dan Omar Sharif, dua bintang filem Hollywood klasik Funny Girl. Filem tersebut dikeluarkan pada tahun 1967. Ketika itu, Mesir, Syria, dan Jordan telah bersepakat untuk menyerang dan menghapuskan Israel dalam satu perang tiga-lawan-satu. Anehnya, Mesir, Syria dan Jordan dikalahkan dengan teruk oleh Israel dalam tempoh enam hari — sebab itulah perang ini dinamakan Perang Enam Hari.
Yang menariknya, Omar Sharif, rakyat Mesir berketurunan Arab dan beragama Islam, dipilih untuk mendukung watak jejaka Yahudi yang bercinta dengan Fanny Brice, juga Yahudi, yang dilakonkan Barbra Streisand, juga Yahudi. Apabila Perang Enam Hari meletus, studio Hollywood menjadi gelabah dan mahu memecat Omar Sharif sebelum penggambaran bermula. Alkisahnya, walaupun belum berkenalan dengan Omar Sharif, Streisand menggertak untuk menarik diri dari penggambaran jika pihak studio memecat Sharif. Pihak studio akhirnya akur terhadap Streisand yang juga merupakan seorang penyokong ideologi Zionisme.
Skandal yang lebih besar pula meletus apabila babak romantis antara Streisand dan Omar Sharif dilaporkan dalam akhbar Mesir. Rakyat Mesir masa itu memberontak, dan mendesak kerajaan Mesir untuk melucutkan kewarganegaraan Omar Sharif. Apabila ditanya pendapatnya, Streisand berkata, “Anda rasa orang Mesir marah? Anda sepatutnya membaca surat daripada Mak Cik Rose saya.”
Saya amatlah terhibur dan terharu setiap kali teringatkan kisah ini. Malah, saya lebih terharu apabila melihat pendirian politik Omar Sharif dan Streisand setelah selesai membikin Funny Girl. Pada tahun 2003, Omar Sharif mengundang kontroversi lagi sekali apabila memainkan watak peniaga Muslim yang berkawan dengan seorang remaja Yahudi di Perancis dalam filem Monsieur Ibrahim et les Fleurs du Coran. Pada tahun 2005 pula, Omar Sharif menerima ugutan bunuh daripada Al-Qaeda apabila memainkan watak St Peter — salah seorang wali dalam agama Kristian — dalam rancangan televisyen di Itali.
Streisand pula tidak kurang kontroversi. Sejak Presiden George W Bush mencerobohi Iraq, Streisand membantah keras keputusan Bush dalam konsertnya. Streisand juga menyokong gabungan Artis Berkata Menang Tanpa Perang. Antara artis Hollywood lain yang terlibat dalam gabungan ini termasuklah bintang X-Files, David Duchovny (berketurunan Yahudi); bintang Little House on the Prairie, Melissa Gilbert (juga Yahudi); Helen Hunt (Yahudi); Camryn Manheim (Yahudi); bekas suami Streisand, Elliott Gould (Yahudi); dan ramai lagi artis Amerika Syarikat berketurunan Yahudi.
(Dari kiri) Duchovny (© Kelly Beth), Manheim (© David Shankbone) dan Hunt (© Tom Purves) (Sumber: Wikipedia)
Dalam konteks Gaza sekarang, ada banyak pertubuhan Yahudi yang menentang keganasan Israel. Contohnya Gush Shalom di Israel, dan Yahudi Menentang Penjajahan di New York.
Malah, pengasas Gush Shalom, Uri Avnery mempunyai satu teori yang sangat menarik. Katanya, Hamas sebenarnya dicipta oleh rejim Israel untuk melemahkan musuh Israel yang utama ketika itu, Tentera Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai oleh arwah Yasser Arafat. Ini lebih kurang sama seperti kerajaan Amerika Syarikat yang menyokong Taliban dan Osama bin Laden untuk memerangi musuh Amerika Syarikat ketika itu, Kesatuan Soviet.
Klein (© M Rittenhouse; sumber: Wikipedia) Malah, penulis Yahudi terkenal, Naomi Klein, kini menggesa masyarakat sedunia untuk memboikot Israel sepertimana dunia telah memboikot rejim apartheid Afrika Selatan.
Kempen sama, ilham berbeza
Pada permukaannya, kempen yang didesak oleh Klein nampaknya sama seperti kempen yang dianjurkan oleh PPIM. Bagi saya tidak.
Saya sendiri tidak tahu sama ada kempen boikot akan membawa kesan atau tidak. Akan tetapi, saya lebih rela mendengar dan menimbang hujah Klein daripada hujah PPIM. Klein sudah membuktikan bahawa walaupun dia berpaksikan falsafah anti-kapitalis dan mengkritik globalisasi, namun pendapatnya berasaskan fakta dan prinsip kesamarataan. PPIM nampaknya memperalatkan isu Palestin untuk menerajui falsafah perkauman dan diskriminasi.
Ramai pihak pemboikot Islam tidak sedar bahawa di kalangan Yahudi dan rakyat Amerika Syarikat ada kepelbagaian yang menakjubkan. Kita sebagai orang Islam cepat marah apabila sesetengah tokoh dari Barat menyamakan Islam dengan keganasan dan kejumudan.
Tapi kita tahu, umat Islam tidaklah sama dari individu ke individu. Gus Dur dari Indonesia merupakan orang Islam. Osama bin Laden pun orang Islam. Arwah Saddam Hussein pun orang Islam. Datuk Seri Anwar Ibrahim pun orang Islam. Pemenang Anugerah Nobel dari Iran, Shirin Ebadi, pun orang Islam. Tun Dr Mahathir Mohamad pun orang Islam. Shah Rukh Khan pun orang Islam.
Ariel Sharon (Domain awam) Samalah seperti golongan Yahudi. Ehud Barak dan Ariel Sharon orang Yahudi. Tapi Naomi Klein dan Barbra Streisand pun orang Yahudi.
Yang pentingnya apabila membantah serangan Israel ke atas Palestin, kita perlu konsisten dengan prinsip kita. Soalannya, adakah kita memperjuangkan kesamarataan, demokrasi dan keamanan sejagat, serta menghormati bangsa dan agama lain?
Shanon Shah membantah serangan Israel ke atas Gaza dari sudut kemanusiaan, dan merupakan seorang Muslim yang tidak membenci Yahudi.
Maozi says
Boikot? Bolehkah kita benar-benar boikot barangan Amerika Syarikat?
Cubalah, boikot Microsoft, boikot Apple Mac, dan perisian-perisian komputer lain buatan Amerika Syarikat.
Mungkin fungsi kerajaan akan tergendala… Oh dan kepada Tun Dr M, jangan you blog ya, you sedang menggunakan barangan Amerika Syarikat.
Joethi says
Setuju seratus peratus. Artikel yang tepat, luhur dan serasi dengan nilai-nilai perikemanusiaan! Boikot perang!!! Jangan boikot bangsa Yahudi!
weiyeng says
Well written, Shanon. Good pair of eyes!
Kai says
Your views are certainly rare; most Malaysian Muslims equate Jews with the Devil himself. For that, I respect you. Bigotry and irrational hatred is deplorable on any side.
While a boycott as proposed by Naomi Klein is definitely workable — and, arguably, already in place by our own government since we have no diplomatic relations with Israel whatsoever — I feel that bringing the two sides to the table is far more preferable. At this point, the only viable solution is a two-state solution and to make that happen, I think the following needs to happen:
1. Israel must be willing to concede the territories it has taken from the Palestinian people.
2. Hamas must also halt its desire to destroy the State of Israel; such a stance is harmful to a peaceful solution.
3. A complete cease-fire on both sides need to be established.
4. Israel must then withdraw from the territories that will then be under control of the Palestinian people. The blockades must also be dismantled.
5. Both states must then recognize each other’s right to exist.
That, I think, is the only way for lasting peace.
thesaurus (dinosaur) says
Dan apabila two state solution menjadi kenyataan, percayalah perang akan semakin manjadi-jadi. (Bayangkan negara israel sebesar saiz benua Australia di Timur Tengah 100 tahun akan datang.) Itu tujuan azali konsep Zion ini. (Jika anda faham Zion itu apa, secara tersirat dan tersurat.)
Ada satu cara saja untuk menamatkan kesengsaraan perang ini, yakni melalui perang nuklear a.k.a WW3 a.k.a kiamat (umat manusia dipupuskan dari muka dunia ini oleh tindakan goblok mereka sendiri.) Selepas itu, tiada lagi perang, puas hati 😉 (Binatang-binatang akan kembali menguasai bumi. Hukum rantai makanan kembali bertakhta. Paling penting, tiada lagi manusia durjana bikin onar.)
Bob K says
Baik kita boikot barangan Malaysia kerana sokongan kita terhadap rejim ganas Mugabe! 2,200 maut akibat penyakit taun sementara isteri Mugabe pergi shopping di Hong Kong dengan wang rakyat yang disembunyikan di bank-bank Malaysia!
Tennou Heika says
To Maozi,
Yes, we should boycott Microsoft, Apple Mac, Intel and IBM. There are alternatives for those products.
For operating systems, Microsoft Windows and Apple OSX can be replaced by Linux or BSD. You have plenty of choice when choosing Linux, namely Ubuntu, Suse, Debian, Fedora, etc. It’s your choice. BSD choices are FreeBSD, OpenBSD and NetBSD. There, I said it.
As for the core processor chip, again yes, we can always boycott Intel. Then again, you will say that AMD is an American corporation. So we should boycott AMD as well. If that is the case, then we can always use Taiwan’s VIA C7 and C7-M core processor chip to power up our computers.
There are always alternatives.
apa yang berlaku? says
“Kalau anda tinjau muka depan laman web PPIM, anda akan menemui sepucuk surat yang mendakwa agama Hindu, Buddha, dan falsafah kapitalis, sosialis, liberalisme, dan demokrasi semuanya dicipta oleh kaum Yahudi untuk menghancurkan Islam. Orang Yahudi ini macam tidak ada kerja lain.
“Surat ini bukanlah kenyataan rasmi daripada PPIM, tetapi ia mencerminkan mentaliti sesetengah pihak yang menyokong boikot terhadap ‘produk Yahudi’. Tentera Israel menceroboh Gaza dan mengorbankan rakyat Palestin yang tidak berdosa. Jadi pihak seperti PPIM berkata Yahudi adalah musuh Islam sejak azali lagi dan perlu diboikot dan dikalahkan sampai habis. Respons ini langsung tidak masuk akal.”
Apa yang berlaku?
Adakah anda seorang Islam?
Atau seorang yahudi?
Atau seorang Islam yang terlalu liberal?
Yang cuba ingin membuka mata orang lain dengan kata-kata anda yang “kononnya hebat”.
Memang ada Yahudi yang menentang Israel tapi berapa banyak bilangannya?
Kalau setakat yang atas ini saja tidak berguna.
Sebagai contoh, orang Islam tak boleh melakukan maksiat dan rasuah.
Masyarakat kita menentang habis-habisan, tapi mengapa sampai sekarang tetap ada maksiat?
Adakah tindakan Yahudi di atas dapat mengubah Israel dan sekutunya?
Sedangkan semua orang di dunia turut membantah tapi mereka dengan rilek menyerang Palestin.
Ya. Mungkin kita tak boleh nak memboikot kesemua barangan mereka.
Tetapi adakah semuanya kita “mesti guna”?
Tak boleh boikot Microsoft, janganlah pergi makan McDonald’s. Tak boleh juga?
rohana ariffin says
Wonderful article Shanon. Many people do not differentiate between the ideology of Zionism and the Jewish religion.There are many progressive people in Israel who are against their own state aggression against the Palestinians.