SEPANJANG minggu ini tiada sebarang perayaan, tetapi ramai calon-calon termasuk agen-agen dan penyokong-penyokong Umno yang “berpesta” untuk merebut jawatan. Kelihatan cukup meriah kerana ada beberapa suratkhabar memuatkan countdown pencalonan yang baru tamat tanggal 9 Nov.
Dulu saya tidak faham kenapa pemilihan Umno mendapat publisiti keterlaluan, tetapi sekarang saya sedar bahawa pemilihan Umno mesti diberi perhatian. Politik negara, kestabilan ekonomi, dan ketenteraman awam bergantung kepada kepimpinan Umno. Cuma mungkin ramai orang Umno sendiri tidak menyedarinya.
Pada saat-saat akhir pencalonan, calon-calon yang cukup pencalonan telah bekerja keras untuk menentukan lawan mereka tidak melepasi kuota. Yang belum cukup kuota pula bertungkus lumus berusaha mendapatkan pencalonan bagi mencukupkan kuota, sehinggalah ke saat-saat akhir.
Dalam kegairahan untuk mencari dan merebut pencalonan, terselit pula dengan isu buli. Tapi isu buli kali ini agak berlainan kerana “kononnya” berlaku di arena politik.
Ada macam-macam jenis buli. Ada kawan bercerita bagaimana beliau cukup takut memandu pada waktu malam kerana takut dengan pembuli jalanraya. Pengalaman melihat pemandu wanita dibuli kerana menghon sekumpulan penunggang motosikal amat mengerikan baginya.
Di sekolah juga ada buli. Anak-anak yang berasa diri mereka besar dan berkuasa memeras ugut dan membelasah kawan-kawan yang lemah dan ketakutan.
Perkara sama yang disebut akhir-akhir ini di dalam pemilihan Umno adalah “pembuli pencalonan”. Yang rasa pernah berjasa dan banyak “berbakti,” “mengarahkan” supaya pencalonan diberikan untuk memperlihatkan bahawa jasanya patut dan harus dikenang.
Itu perkara biasa, kerana perangai dan tabiat manusia ini memang pelik: suka membuat penilaian terhadap kejayaan dan keupayaan diri sendiri. Kemudian mencuba pula memaksa orang lain membuat penilaian terhadapnya mengikut kacamata dan kata hati sendiri.
Kadang-kadang kita lupa bahawa kita tidak diberi keupayaan dan kemampuan untuk membuang sampah yang masuk ke dalam mata sendiri. Ertinya, biarlah orang lain menilai kita, bukan kita yang menilai diri sendiri.
(© Madartists/Dreamstime) Makin keliru
Tapi yang paling menyedihkan ialah apabila mendengar tuduhan bahawa parti dominan negara “membuli” parti komponen yang lain. Tidak mungkin ini membawa maksud yang sama dengan kes-kes buli yang lain kerana insan yang ada dalam parti-parti komponen adalah insan-insan terpilih dan bijaksana belaka.
Mungkinkah isu ketuanan Melayu dikaitkan? Generasi muda dan golongan yang memanggil diri mereka “Melayu liberal” tidak bersetuju dengan ketuanan Melayu. Mungkin yang silap sebenarnya adalah istilah yang digunakan. “Ketuanan Melayu” yang disebutkan sama sekali tidak sama dengan konsep tuan dan hamba. Ianya hanya merujuk kepada Tanah Melayu dan orang-orang asalnya.
Kadang-kadang istilah juga boleh membuat orang keliru ataupun orang sengaja mahu menimbulkan kekeliruan. Ataupun kadang-kadang, tanpa sedar, orang pun sering keliru pada perkara yang tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan. Dan ubat kepada semua jenis dan punca kekeliruan adalah kefahaman.
Telah sekian lama rakyat Malaysia menjalani hidup aman, makmur dan harmoni bersama-sama, berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan melampau dan syak wasangka berhubung hal ini tidak membantu kita hidup di dalam semangat perpaduan dan kasih sayang. Intipati semangat ini telah terbukti membawa kepada keamanan, kemakmuran, dan kesejahteraan negara sejak sekian lama.
Hormati hak orang lain
Setiap individu warganegara, tanpa mengira bangsa, mempunyai hak. Melalui hak datanglah tanggungjawab. Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai hak, tetapi tanggungjawab kepada individu yang lain, kepada negara, dan kepada raja pemerintah perlu diseimbangkan. Tidak mungkin kita boleh mendapat sesuatu tanpa kita juga bersedia “berkorban” dan menghormati hak orang lain.
Jangan tanya apa negara boleh berikan kepada kita, tetapi fikirkanlah apakah sumbangan kita kepada negara?
Pemimpin politik sahaja tidak mungkin mampu melakukannya secara bersendirian. Mungkin rakyat dan pemimpin tidak sehaluan, tetapi kita diberi cara dan peluang untuk mengkritik dan memberi idea. Pemimpin dan mereka yang dipimpin mampu bergandingan membawa keajaiban.
Untuk itu, pemilihan Umno kali ini menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia. Corak ekonomi dan warna kemakmuran bakal ditentukan oleh sekelompok orang Umno. Calon yang dipilih perlu dinilai berdasarkan kepimpinan hadapan dan sejarah kepimpinan mereka yang terdahulu.
Integriti dan kredibiliti tiada kompromi. Hanya pemimpin bersih yang mampu membawa orang yang dipimpin ke arah yang sama bersih. Inilah hakikat dan kebenaran.
Saya sentiasa berharap dan berdoa kriteria yang difikirkan mestilah mengatasi cerita buli, pencukupan kuota, atau tanggapan “biar lebih ramai calon agar lebih ‘meriah’ suasana pemilihan.” Yang jauh lebih penting bukannya kemeriahan yang patut dicari, tetapi pilihan tepat yang berasaskan pertimbangan akal yang bersih dan bukan berasaskan nafsu. Akal adalah guru kepada segala kebijaksanaan.
Segalanya untuk negara yang kita cintai, Malaysia.
Suraya Yaacob sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Dia mempunyai firma guaman sendiri yang berpejabat di Alor Star dan Kuala Lumpur.