PASANGAN yang bercerai “tanpa sebab munasabah” akan dipenjara atau disebat. Begitulah cadangan kerajaan PAS Kelantan. Haruskah kita terkejut apabila cadangan sedemikian datang dari orang-orang yang obses tentang pelaksanaan hukuman hudud?
Dari dulu lagi, mereka sudah proaktif membuat draf undang-undang bagi melaksanakan hudud. Namun, apakah mereka telah proaktif dalam membuat kajian dan kertas cadangan misalannya bagaimana kurikulum pendidikan kita boleh diperbaiki? Contohnya, untuk membentuk anak-anak dan masyarakat yang beretika, suka menolong orang, empati terhadap keadaan hidup orang lain, menghormati hak asasi manusia, menghormati harta benda orang, menghormati wanita dan menghormati kepelbagaian pemikiran?
Pendukung-pendudukung hukum hudud membayangkan Malaysia akan menjadi aman tenteram, bebas dari sebarang jenayah, dan masalah umat Islam akan banyak berkurangan bila hudud dilaksanakan. Mereka yakin hukuman keras akan membuatkan orang ramai takut untuk berbuat jenayah atau apa jua kesalahan.
Justeru, apabila kerajaan PAS Kelantan sudah buntu dalam usaha memahami dan mencari penyelesaian bagaimana mengatasi kadar perceraian yang tinggi, maka pada mereka cadangan yang paling logik ialah memenjarakan atau menyebat pasangan yang bercerai. Analisis dan pendekatan ini bukan saja simplistik dan tidak berpijak di bumi nyata, malah sangat keras, zalim dan bertentangan dengan Islam sendiri.
Walaupun Islam tidak menggalakkan perceraian, namun Islam tetap menyediakan jalan untuk keluar dari perkahwinan yang tidak bahagia melalui talak, khulu’, fasakh dan sebagainya. Yang pasti, Islam tidak pernah memberi hukuman terhadap pasangan yang bercerai. Malah, Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah mengabulkan permohonan dari seorang wanita, isteri kepada Thabit bin Qais, untuk bercerai hanya kerana sudah tidak lagi cinta pada suaminya.
Objektif Al-Quran untuk keadilan
PAS yakin hukum Tuhan pasti benar. Tapi bukan penyokong PAS saja yang yakin bahawa hukum Tuhan pasti benar. Semua orang Islam walau dalam Umno, Parti Keadilan Rakyat, Parti Sosialis Malaysia, Parti Kesejahteraan Insan Tanahair dan apa parti politik pun, juga pasti yakin bahawa hukum Allah itu benar. Pada masa yang sama, kita juga yakin bahawa wahyu dan alam ciptaan Allah s.w.t. bertujuan memberi petunjuk agar manusia hidup dengan baik, penuh kasih sayang, harmoni, beretika dan adil.
Keyakinan bahawa objektif Islam adalah untuk memastikan keadilan dan keharmonian masyarakat inilah yang membuatkan sesetengah umat Islam memilih untuk tidak melaksanakan hukum hudud. Usah terkejut. PAS sendiri gemar memberi contoh Saidina Umar Al-Khattab r.a. yang tidak melaksanakan hukum hudud potong tangan ke atas pencuri yang mencuri akibat kemiskinan. Tujuan mereka beri contoh ini ialah kerana mahu mententeramkan hati orang ramai bahawa jika mereka berkuasa nanti, tidak semestinya curi terus kena potong tangan. Mereka cuba beri keyakinan bahawa mereka beri pertimbangan terlebih dulu.
Akan tetapi, dari cara pandang, pendirian dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh kebanyakan pendukung hudud selama ini, membuatkan ada antara kita merasa tidak yakin. Adakah para bakal pelaksana hudud ini mempunyai kebijaksanan, keterbukaan dan ketajaman pemikiran seperti Saidina Umar dalam memastikan keadilan?
Contoh potong tangan ini sebenarnya menunjukkan Umar dengan yakin dan berani memilih untuk tidak memahami secara literal hukum yang ditetapkan di dalam Al-Quran. Seperti yang sering diceritakan oleh PAS sendiri, Umar tidak memotong tangan orang miskin yang mencuri demi memenuhi keperluan hidup asasnya. Sebenarnya, hukum yang ditetapkan oleh Al-Quran (dalam Surah Al-Maidah, ayat 38) sangat jelas iaitu sesiapa yang mencuri harus dipotong tangannya. Namun, Umar membuat keputusan untuk tidak melaksanakan hukum hudud seperti yang ternyata di dalam Al-Quran, tetapi menggunakan kebijaksanaan akal fikirannya dalam memahami maksud dan tujuan Allah s.w.t. Baginda memahami bahawa objektif dan penekanan Al-Quran adalah untuk memastikan harta benda setiap orang terjaga.
Pada masa yang sama juga, baginda sebagai pemerintah merasa bertanggungjawab kerana wujudnya kemiskinan di dalam masyarakatnya. Islam juga amat prihatin dan empati terhadap nasib orang yang lemah dan miskin. Saidina Umar sebagai pemimpin yang bijaksana dan prihatin tidak obses dengan hukuman potong tangan itu, tetapi baginda obses dalam memastikan keadilan dan melindungi yang lemah. Mungkin baginda merasakan keputusannya dapat memenuhi objektif dan keprihatinan Islam.
Dalam hal cerai ini, bukankah zalim sekiranya isteri yang teraniaya kemudiannya dianggap meminta cerai “tanpa sebab munasabah” oleh pihak yang didominasi lelaki lalu disebat? Masya Allah, jika demikian, jauh sekali dari sikap dan pendekatan Saidina Umar.
Hukuman tidak melampaui batas
Dari segi bahasa, hudud bermakna had atau batas. Menurut pendapat sesetengah ulama, hukum hudud bermakna menetapkan had hukuman maksima agar tidak melebihi dari yang dinyatakan dalam Al-Quran.
Dalam keadaan masyarakat Arab nomad pada masa Nabi Muhammad s.a.w yang masih ganas dan zalim dalam memberi hukuman balas, al-Quran menetapkan had-had tertentu agar sebarang hukuman balas tidak melampaui batas. Tidak boleh terlebih, tapi boleh saja terkurang atau lebih ringan sehingga boleh juga tidak dihukum langsung sekiranya mangsa telah memaafkan. Banyak ayat Al-Quran yang setelah menetapkan had hukuman, kemudian menyatakan bahawa mengampunkan itulah yang terbaik.
Tidak melaksanakan hudud
Tidak mendukung pelaksanaan hudud tidak bermakna kita orang Islam yang jahat atau kafir. Yang nyata, banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hudud dan banyak ulama Islam yang tidak mendukung pelaksanaan hudud. Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) adalah salah satu contohnya.
Kedua-dua organisasi Islam terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhamadiyyah yang kaya dengan ulama-ulamanya yang hebat, dengan tegas menolak penegakan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud di Indonesia.
Lebih menarik lagi adalah bahawa sehingga kini, kedua-kedua organisasi Islam yang ahlinya terdiri lebih dari seratus juta orang itu tidak pernah mengkafirkan sesiapa pun. Mereka sentiasa rendah hati untuk menghormati pendirian orang lain dan yakin bahawa iman adalah urusan manusia dan Tuhan.
Ulama-ulama Indonesia, baik yang bersama NU mahupun Muhamadiyyah menolak pembentukan negara Islam bukan kerana mereka jahil. Mereka menolak kerana yakin bahawa NKRI dengan dasar Pancasila sudah merupakan bentuk final bagi bangsa Indonesia. Mereka berpendapat bahawa Pancasila sebagai falsafah dan dasar negara dan konstitusi sebagai hukum dasar yang mengikat sudah cukup dan adalah yang paling sesuai untuk menghadapi keberagaman rakyat Indonesia. Mereka menyuburkan Islam tanpa melalui jalan formalistik tetapi mengambil sikap akomodatif dan melenturkan diri dalam budaya tempatan dan masyarakat majmuk Indonesia bagi melahirkan Islam yang ramah.
Ulama dan organisasi Islam Indonesia berpijak di bumi nyata dan tidak menjanjikan mimpi simplistik bahawa sekiranya negara Islam dan hudud ditegakkan, maka Indonesia akan terus aman dan makmur.
Keadilan sebagai simbol Islam
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata bahawa jika wanita tutup aurat, maka tidak akan berlakunya perpecahan rumahtangga. Kenyataan simplistik dan tidak realistik. Nyatanya, hampir semua wanita Kelantan memakai tudung, namun kerajaan Kelantan kebingungan kerana tidak mampu memahami lalu tidak dapat mencari jalan penyelesaian dalam menangani kadar perceraian di Kelantan.
Kerajaan PAS Kelantan mungkin harus kurangkan retorik. Sebaliknya, lebih baik menyahut wahyu Allah s.w.t. yang pertama iaitu “iqra”, atau “bacalah”, dengan belajar membaca apa sebenarnya punca masalah dalam masyarakatnya sendiri.
Sebagai umat Islam, apakah simbol Islam yang mahu kita banggakan adalah hukuman kerasnya seperti sebatan ataukah dengan imej Islam yang adil dan ramah?
Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Filem dokumentarinya Mencari Kartika dan Aku Siapa menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.
Alicia says
Bagi saya, hukuman hudud ini adalah jalan penyelesaian yang berjangka masa pendek (short term solution). Penjenayah yang dipotong tangan dan kaki akan kembali ke pangkuan masyarakat yang jarang menunjuk belas kasihan terhadap orang-orang yang kurang berupaya. Ingat, mekera sudah kehilangan tangan dan kaki.
Malaysia adalah sebuah negara yang kurang mesra terhadap golongan yang kurang berupaya, apalagi terhadap yang mempunyai rekod jenayah. Seperti hukuman mati, hukuman keras yang berbentuk fisikal (atau korporal seperti rotan dan yang seangkatan dengannya) tidak selalu adil, tepat, dan saksama. Kebanyakan orang yang disebat dan dipenjara bertahun-tahun datang dari latarbelakang yang tidak kaya dan bukan dari orang-orang yang berpengaruh. Jarang sekali kita melihat penjenayah “atasan” yang korup dan menganiaya rakyat yang disabit dengan kesalahan mereka.
wan says
Assalamualaikum kepada penulis.
Bacaan yang menarik. Tapi ade pemilihan pihak dalam pengisian yang pada mulanya meletakkan Khalifah Umar sebagai khalifah yang baik dan bijaksana kerana berjaya menginterpretasikan ayat Al-Quran bukan dari sudut literal tetapi ayat tersebut diinterpretasikan dalam peringkat niat ayat tersebut. Tetapi mengapa ayat daripada Nik Aziz dan DUN Kelantan tersebut tidak dikupas dari sudut niat tapi terus ditempelak di peringkat literal?
Tentang penutupan aurat dan tudung sebagai kayu pengukur kepada kadar pencaraian di Kelantan. Satu lagi konklusi yang saya anggap tidak tepat. Tudung itu adalah simbolik agama untuk menolak fitnah kepada sipemakai. Tetapi pada keaadaan dasar hati, hanya sipemakai yang tahu darjah keimanan yang tertanam di dalam dirinya. Jadinya contoh kata-kata penutupan aurat dan penceraian adalah perbandingan yang tidak munasabah dan satu ‘red herring’.
Perbandinag dengan NU dan Muhammadiah Indonesia adalah tidak sesuai untuk digunapakai dengan keadaan di Malaysia oleh kerana pegangan mazhab yang berbeza dan pentafsiran terhadap hukum dan ideologi yang berbeza di antara dua negara. Pegangan terhadap pancasila dimulakan pada zaman Soekarno dan tiada bezanya dengan prinsip Rukunegara Malaysia. Cuma yang membezakan keduanya adalah kepercayaan terhadap prinsip-prinsip tersebut oleh penduduk lokal.
Pengertian ‘tanpa sebab munasabah’ adalah perkataan undang-undang yang boleh ditakrifkan dengan pelbagai takrifan, dan tiada bezanya dengan perkataan undang-undag sivil malaysia yang lain. DUN dari segi dasar akan menggubal dan mahkamah akan cuba untuk menzahirkan perkataan tersebut selaras dengan hajat DUN, dan perdebatan tentang pentafsiran itu hanya ibarat melukis di awan selagi undang-undang tersebut tidak digazetkan.
Kika hukum hudud itu keras. Adakah Khalifah Umar yang bijaksana telah menganiaya dan telah membanggakan Islam dengan simbol kekerasan kerana telah merotan anaknya dengan 100 sebatan sehingga anaknya itu menemui ajal?