(© Revati Upadhya/sxc.hu)
SELEPAS hampir sebulan menyambut Aidilfitri, kita sama-sama akan menyambut perayaan Deepavali. Kalau dilihat, ada persamaan antara kedua-dua sambutan yang meraikan “kemenangan”. Kemenangan “melawan” nafsu sepanjang berpuasa dan kemenangan yang baik atas yang jahat.
Kita sepatutnya mengambil kesempatan menterjemahkan rasa muhibah antara kita dengan ziarah-menziarahi. Setiap tahun saya akan menyambut Deepavali bersama pengundi dan penganut agama Hindu di kawasan saya. Walaupun dua tahun lepas berturut-turut Deepavali jatuh pada bulan puasa, saya bersama kawan-kawan “bermore” di rumah Encik Ganesan, ketua MIC daerah Pendang.
Yang seronok dirasai bahawa alangkah banyak persamaan antara kita: kuih raya, kuih Deepavali, bunga api raya, bunga api Deepavali, lampu raya, lampu Deepavali, duit raya, duit Deepavali!
Antara kita perlu ada keikhlasan dalam memupuk perpaduan. Tidak boleh adanya sangka jahat antara kita. Kontroversi penyokong Hindraf berhari raya di rumah perdana menteri pada 1 Okt 2008 perlu diambil sebagai pengajaran. Perpaduan akan dapat dilihat dan dirasai kalau kita saling memahami sensitiviti masing-masing.
Tidak mungkin kita boleh bertoleransi kalau tidak faham mengenai agama dan adat budaya kaum lain. Kita perlu melakukan sesuatu yang kita mahu orang lain lakukan kepada kita. Begitulah sebaliknya. Mudah saja. Jadi sesungguhnya, kalau kita penuh dengan perasaan dendam, juga ingin menunjuk kekerasan dan kekuatan, pastinya yang datang juga keras dan kuat.
Inilah yang sedang berlaku dalam pemilihan parti Umno. Yang kuat, ingin tunjuk kuat dengan menggunakan apa jua cara untuk terus kuat. Yang lemah, hendak tunjuk kuat dengan melemahkan yang kuat, walau dengan apa cata sekalipun.
Aristotle (kanan) dan Plato dalam The School of Athens
oleh Raffaello Sanzio, 1509 (Domain awam)Ahli falsafah Yunani Aristotle (384BC-322BC) pernah berkata, tiga perkara yang penting untuk memerintah negara ialah kuasa, wang dan ilmu. Relevan atau tidak untuk hari ini, apa yang Aristotle katakan beribu tahun dahulu perlu diamati.
Tidak mungkin tanpa ilmu seseorang boleh menjadi pemimpin. Mungkin ilmu diperolehi melalui pengalaman, tetapi dia perlu juga mempelajari perkara baru dan memandang ke hadapan untuk memahami generasi dan alaf baru.
Tanpa kuasa, sama ada yang ditetapkan di bawah perlembagaan, undang-undang dan peraturan, tidak mungkin seseorang boleh mentadbir negara. Peruntukan yang disediakan perlu digunakan, dijaga dengan baik agar “kuasa” yang ada tidak “ditakluki” mahupun dimansuhkan.
Dan akhirnya, wang atau kekayaan, atau kata modennya “ekonomi”, yang kukuh diperlukan untuk mentadbir negara.
Malang sekali, setakat hari ini, penilaian lebih tertumpu sepenuhnya kepada ciri kekayaan untuk memilih pemimpin untuk mentadbir negara. Semua pihak perlu melihat semula kriteria untuk memilih pemimpin masing-masing pada semua peringkat, agar kuasa yang ada tidak mudah dibeli atau dimansuhkan oleh orang lain.
Selamat memilih siapa kuat!
Suraya Yaacob sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Dia mempunyai firma guaman sendiri yang berpejabat di Alor Star dan Kuala Lumpur.