“HISTORY is written by the victors” atau “Sejarah ditulis oleh orang yang menang atau berkuasa”. Ungkapan yang begitu terkenal namun tiada orang yang tahu siapa yang pertama kali mengungkapkannya. Ada yang kata Winston Churchill tapi ramai yang meraguinya. Soalan yang menarik untuk kita adalah jika kita tidak tahu sejarah asal-usul ungkapan itu, dan tiada dokumentasi tentang siapa yang sebenarnya telah mengeluarkan kata-kata itu, maka apakah kita boleh mengatakan bahawa ungkapan itu hanyalah suatu dongeng?
Baru-baru ini, Emeritus Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim telah melontarkan kenyataan yang mengejutkan. Beliau mendakwa Hang Tuah dan Hang Li Po tidak pernah wujud dan hanya mitos belaka.
Beberapa ahli sejarah telah menolak dakwaan Khoo dan tetap mempertahankan kewujudan Hang Tuah. Senator Dr Syed Husin Ali pula telah membidas kenyataan Khoo tentang sejarah Partai Kebangsaan Melayu Malaysia dan Ahmad Boestamam. Sementara menunggu komen balas dari Khoo, patut kita bertanya apakah kriteria untuk sesuatu itu diiktiraf sebagai sejarah sahih? Dan sejarah siapakah yang dianggap penting dan benar?
Barat dan Timur
Oleh kerana saya kini di Indonesia, saya pun meminta pendapat Pak Agus Sunyoto, seorang ahli sejahrawan dan budayawan serta pensyarah di Universitas Brawijaya, Malang, Indonesia. Menurut Pak Agus, sejahrawan harus berhati-hati agar tidak terjebak dengan kaedah pengkajian sejarah positivistik yang terlalu memberi keutamaan terhadap dokumen rasmi bertulis dan bahan fizikal dalam mengakui kewujudan sesuatu. Yang mereka anggap naskah historis adalah yang berupa deskriptif, laporan dan catatan-catatan seperti yang lazim ditulis oleh orang Barat.
Pak Agus mengingatkan bahawa tradisi pemahaman sejarah di timur sangat berbeza sekali kerana ia juga banyak diungkapkan dalam bentuk-bentuk lain seperti naskah-naskah sastera dan secara lisan. Malahan, sejarah di nusantara ini banyak ditulis dalam bentuk penceritaan seperti hikayat atau bentuk-bentuk kakawin, kidung, tembang, dan pantun seperti syair, gurindam dan sajak.
Naskah Sulalatus Salatin iaitu Sejarah Melayu adalah salah satu contohnya. Karya sejarah yang ditulis sendiri oleh orang Melayu di Melaka pada abad ke-15 atau ke-16 menceritakan tentang kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Naskah inilah yang menyebutkan bahawa Hang Tuah ialah nama yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah kepada seorang pemuda dari Makassar.
Pak Agus maklum bahawa ramai ahli akademik gemar bergantung pada dokumen-dokumen rasmi kerajaan sahaja seperti dokumen kerajaan Cina di zaman Dinasti Ming. Menurut beliau, pendekatan sedemikian membuatkan ramai sejahrawan akademik sehingga yang bergelar profesor dan doktor telah menolak sejarah tentang kedatangan Cheng Ho ke Semarang, Jawa Tengah atas sandaran hujah tiadanya catatan dalam dokumen rasmi kerajaan Cina.
Namun, Pak Agus berhujah bahawa tidak semua perjalanan Cheng Ho dilaporkan secara formal. Ini terbukti kerana walaupun tiada catatan rasmi tentang persinggahan Cheng Ho ke Blambangan, Jawa Timur, namun terdapat laporan sejarah tentang kematian 170 orang askar Cheng Ho di Blambangan semasa peperangan dengan tentera Majapahit. Maka, ia jelas menunjukkan tidak semua persinggahan Cheng Ho dicatatkan secara rasmi oleh kerajaan Cina.
Pada Pak Agus, jika catatan rasmi bertulis sesuatu kerajaan sahaja yang mahu dijadikan sebagai parameter, maka ia akan mengakibatkan sejarah bangsa lain mungkin sekali menjadi tidak teriktiraf kesahihan dan kewujudannya.
Syed Husin juga pernah membuat kritikan serupa di dalam bukunya yang diterbitkan pada 1978, Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan. Beliau menolak kaedah dan perspektif ahli sejarah Orientalis Barat yang gemar merendahkan dan menuduh orang Melayu sebagai tidak mempunyai sejarah.
Menurut Syed Husin, ahli-ahli sejarah tempatan telah berjaya membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai sejarah yang lebih tua dan gemilang berbanding penjajah Barat. Dan sekiranya sejarah orang Melayu begitu tua, apa lagi sejarah orang asli dan orang asal yang pastinya jauh lebih tua walaupun tidak bertulis?
Peringatan ini penting untuk jabatan-jabatan kerajaan Malaysia. Tuntutan dokumentasi bertulis sebagai bukti terhadap pemilikan tanah atau status kewarganegaraan telah banyak mengakibatkan orang asal dan pribumi di Malaysia teraniaya dan kehilangan hak mereka.
Di mana herstory pula?
Dari ungkapan “History is written by the victors” juga ada satu kata kunci yang ingin saya komentar. Perkataan “history” selalunya memang secara literal bermakna “his story” – pencatatan sejarah yang disampaikan oleh lelaki dan biasanya juga tentang lelaki.
Menurut Pak Agus, konteks masyarakat pencatat sejarah sangat penting diambil kira. Sikap patriaki yang melebihkan kekuasaan lelaki dari perempuan terbukti sangat besar pengaruhnya. Lalu menurut beliau, tidak tercatatnya perkahwinan Puteri Hang Li Po itu memang boleh difahami memandangkan betapa kuatnya nilai patriaki dalam tradisi Cina.
Oleh kerana keturunan berdasarkan jalur darah ahli keluarga laki-laki, dan pewaris kerajaan mestilah dari keturunan lelaki, maka kerajaan Cina mungkin saja tidak melihat perkahwinan Puteri Hang Li Po sebagai sesuatu yang penting untuk dicatat secara rasmi. Malahan, dengan pernikahan itu, sang puteri dan anak cucunya dianggap telah kehilangan nama keluarganya.
Seperti masyarakat Cina, masyarakat Arab juga sangat kuat tradisi patriakinya. Begitu kuat sehingga kekayaan budaya penulisan tarajim (kamus biografi) masyarakat Arab masih tidak dapat membantu dalam memperkenalkan sarjana-sarjana dan ulama-ulama perempuan Arab bukan sahaja pada dunia, malah pada masyarakat Arab sendiri. Ada keengganan di pihak ulama dan pendakwah laki-laki untuk mencatat dan menyebarkan maklumat mengenai kewujudan dan kehebatan sarjana dan ulama-ulama perempuan di zaman silam.
Ahli sufi perempuan terkenal, Rabiah Al Adawiyah, diragui kewujudannya kerana berkurun lamanya, nama Rabiah hilang dalam catatan sejarah. Namanya tidak didokumentasikan oleh ramai ulama lelaki walaupun nama anak-anak muridnya dan ahli-ahli sufi lelaki yang hidup setelah Rabiah dicatatkan dengan terperinci.
Pada bulan Januari ini, sebuah buku berjudul Syahadah Cinta Rabiah Al Adawiyah telah dilancarkan. Penulisnya, Mohamad Guntur Romli, merasa perlu menjelaskan mengapa berkurun lamanya, nama Rabiah Al Adawiyah hanya dicatat secara remeh di dalam sejarah, dan namanya tidak disenaraikan dalam barisan ahli sufi.
Hasil penelitiannya terhadap kitab-kitab Islam klasik, maka terungkaplah bagaimana pengaruh patriaki dan sikap diskriminasi terhadap perempuan memberi pengaruh terhadap pencatatan sejarah. Akibat kurangnya ulama yang mahu mengiktiraf ketokohan Rabiah Al Adawiyah, maka sejarahnya banyak bercampur mitos. Malah, seperti nasib Puteri Hang Li Po, mungkin ada yang justeru menolak kewujudannya dan menganggap beliau sekadar mitos yang tidak pernah hidup bernafas di muka bumi ini.
Kini semakin banyak penelitian yang mengungkap kewujudan sarjana dan ulama-ulama perempuan. Dr Syeikh Mohammad Akram Nadwi, seorang sarjana di Universiti Oxford, telah menulis buku Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam yang menelusuri kitab-kitab klasik dan menemukan lebih dari 8,000 wanita perawi hadith. Ulama-ulama perempuan itu didapati sering mengajar di masjid-masjid besar dan di madrasah-madrasah serta mengembara jauh untuk menimba ilmu.
Ramai ulama lelaki yang dianggap ulama besar sebenarnya telah belajar dari ulama-ulama fiqah perempuan, dan ulama-ulama lelaki itu sangat memuji-muji kebijaksanaan dan ketinggian ilmu guru-guru mereka yang terdiri dari orang perempuan. Menurut kajian Dr Syeikh Akram, ulama-ulama perempuan tersebut mempunyai kuasa dan pengaruh yang agak besar di dalam masyarakat mereka, dan itu merupakan suatu kebiasaan, bukan sesuatu yang luarbiasa.
Siapa yang menentukan?
Sejarah itu penting sebab ia dapat membantu kita memahami keadaan semasa. Lihat sahaja sejarah mahasiswa-mahasiswi tahun 1960an dan 1970an di Malaysia kalau kita hendak memahami asal-usul undang-undang hari ini seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Sejarah juga penting sebab sejarah memberitahu kita siapakah yang berkuasa pada zaman dulu dan sekarang, dan siapa yang ingin mengekalkan kuasanya.
Seorang tokoh sejarah seperti Khoo memang mempunyai hak untuk memberi pendapatnya mengenai Hang Tuah dan Hang Li Poh. Namun, apa yang lebih penting adalah cara apa yang diutamakan dan cara mana yang diketepikan dalam mengiktiraf sesuatu itu sebagai sahih dan wujud.
Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Dia percaya pintu pendemokrasian ilmu di Malaysia memerlukan keterbukaan yang lebih luas.
MainIn says
Wujud atau tidak, manusia yang dipersoalkan 500 tahun dahulu telah menyelinapkan nilai kemanusiaan, aplikasi pentadbiran dan hukum bermasyarakat dalam sebahagian kecil masyarakat Malaysia kini . Sekiranya kewujudan mereka itu membawa banyak gangguan dalam membina perspektif negarabangsa, ianya layak dimansuhkan, bukan begitu?
anon says
Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan Melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.
Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.
wak azmi says
Suka rencana ni. Sedikit membuka minda selepas kebingungan statement Khoo Kay Kim.
Andai Hang Tuah tiada kewujudannya, siapa pula yang mengungkap “Takkan Melayu hilang di dunia”?
eayrul says
Mengapa memilih Hang Tuah? Apakah jika ada sejarawan yang mempertikaikan kewujudan naga, seterusnya Tahun Naga tidak disambut dalam perayaan di negara ini? Secara ilmiah, Prof Khoo gagal sebagai akedemis mengkaji tentang Sejarah Melayu dan tokoh-tokoh di dalamnya. Dari mempersoalkan kredibiliti buku sejarah lebih logik mempersoalkan kemampuan profesor tersebut.
gua says
Saya cadangkan supaya kubur Hang Tuah dan adik-beradiknya digali supaya ujian DNA boleh dijalankan ke atas tulang mereka untuk mendapat matlumat yang tepat tentang keturunan mereka.
mansor says
Saya pernah melawat kubur Hang Tuah di Melaka, mengapa kuburnya sangat panjang. Bukankah baru bersuia 500 tahun? Macam kubur nabi Adam yg dikatkan ada di India.