KUALA Pilah Member of Parliament (MP) Datuk Hasa Malek’s response to the MP Watch: Eye on Parliament project, which asks all 222 MPs six questions.
Name: Hasan Malek
Constituency: Kuala Pilah
Party: Umno
Years as MP: Since 2004
Government position:
• Deputy Minister of Rural and Regional Development
Party position:
• Kuala Pilah division deputy chief
Membership in parliamentary committees or caucuses: None
Blog/Website: http://hasanmalek.com
Original deadline: 25 May 2010
Response submitted: 10 June 2010
Adakah anda menyokong pemansuhan atau kajian semula terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya fasal yang membenarkan penahanan tanpa bicara? Kenapa?
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu Akta yang amat kritikal di dalam konteks jaminan keselamatan negara. Tidak kira apa jua panggilannya di mana-mana negara, ISA wujud sebagai langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menjamin keselamatan dalam negara, dengan peruntukan khas yang membenarkan penahanan mana-mana individu atau kumpulan tanpa bicara sekiranya mereka didapati menjadi satu ancaman kepada keselamatan dalam negeri.
Tidak dinafikan terdapat beberapa persoalan tentang relevansi dan kaedah pelaksanaan ISA dengan keadaan semasa hari ini dan keperluan masyarakat moden Malaysia hari ini. Untuk pengetahuan, ISA diwujudkan dahulu sebagai satu kaedah kerajaan di dalam menangani ancaman pengganas (pada waktu itu komunis dan mana-mana juga kumpulan subversif).
Bagi saya persoalan terhadap relevansi ISA tidak perlu timbul dan saya tidak akan menyokong apa jua usaha untuk membasmikannya. Tetapi saya bersetuju sekiranya ISA memerlukan kajian semula dan perubahan-perubahan tertentu untuk memastikan ianya akan terus relevan dan berupaya untuk menangani cabaran keselamatan dalam negeri yang wujud pada hari ini. Tetapi sebarang penambahbaikan yang berlaku perlulah dilaksanakan dengan wadah supaya ianya tidak akan mengkrompomi keselamatan dalam negeri.
Akta Anti Keganasan dan Patriot yang wujud di negara Barat hari ini adalah contoh antara kaedah yang sama seperti ISA yang dilaksanakan oleh negara-negara Barat moden di dalam memenuhi tuntutan keselamatan dalam negeri mereka, dan ianya adalah lebih ketat daripada ISA. Bahkan Amerika Syarikat sendiri mempunyai undang-undang keselamatan dalam negeri dari masa ke semasa yang membolehkan penahanan mana-mana individu di atas dasar keselamatan dalam negeri tanpa bicara — contohnya Penjara Teluk Guantanamo pada satu ketika dahulu. Mengapa setiap negara memerlukan undang-undang ini? Ianya adalah untuk menjamin keselamatan dalam negara mereka tidak akan terjejas dan sentiasa terjamin sepanjang masa; di samping menjadi satu kaedah pencegahan kepada mana-mana individu atau kumpulan untuk terus menghormati undang-undang yang ada dan mengelakkan sebarang perlakuan berniat jahat terhadap negara terbabit.
Perkara terpenting untuk ditentukan adalah untuk memastikan ISA terus menjadi tunjang utama kepada keselamatan dalam negeri untuk mencegah aktiviti keganasan dan apa jua ancaman kepada keselamatan dalam negeri daripada timbul dan berupaya ditangani serta merta. Pada pandangan saya buat masa ini, kaedah pengawalan penggunaan akta ini memadai dan kita tidak perlu gusar akan penyalahgunaan yang mungkin sengaja digemburkan berlaku. Apa yang lebih penting ialah melihat kepada kesan negatif yang akan terjadi kepada keselamatan dan keamanan negara kita sekiranya ISA tidak wujud atau dimansuhkan.
Patutkah Malaysia menjadi sebuah negara Islam atau sekular? Kenapa?
Malaysia adalah sebuah negara Islam. Tiada persoalan perlu timbul kerana ianya telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama rasmi Malaysia adalah Islam tetapi setiap agama lain diberi kebebasan untuk dianuti dan diikuti tanpa prejudis di dalam keadaan yang aman.
Jika ditafsir, kebebasan beragama adalah tiang utama kepada pengamatan Islam sebagai satu cara hidup yang diamalkan. Justeru itu, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dipraktikkan secara progresif sebagai satu cara hidup dan setiap warganegara berhak menikmati kebaikan daripadanya biarpun mereka tidak memilih Islam sebagai agama mereka.
Yang manakah tugas utama anda sebagai seorang Ahli Parlimen? Adakah Parlimen menyediakan infrastruktur dan sumber yang mencukupi untuk memenuhi tugas ini?
Peranan seorang MP adalah untuk mewakili kepentingan rakyat kawasan yang diwakili, dan di waktu yang sama menjamin masa depan mereka. Seorang MP juga perlu memainkan peranan yang baik di dalam penggubalan undang-undang dan dasar untuk menentukan negara akan terus aman, maju ke hadapan dan progresif. Seorang MP juga harus bijak di dalam mengenal pasti kepentingan majoriti rakyat — baik rakyat yang diwakili mahupun warganegara Malaysia.
Tetapi akhirnya, seorang MP mempunyai tanggungjawab dan amanah kepada mereka yang melantiknya untuk menjadi suara keluhan, idea, saranan dan masa depan mereka. Jadi, seorang MP juga perlu menjadi seorang yang senantiasa turun padang untuk memahami kehendak akar umbi, dan menjadi seorang anggota Dewan yang relevan.
Saya berpandangan pada waktu ini, Parlimen memperuntukkan bantuan yang mencukupi dan infrastruktur yang sesuai untuk membantu MP melaksanakan tangungjawab mereka secara relevan. Kajian yang dilaksanakan dari masa ke semasa juga berkesan kerana ianya bertujuan untuk menambahbaik dan memperkasa tugas serta peranan MP untuk memperkukuhkan sistem pemerintahan di Malaysia.
Adakah anda akan menyokong penggubalan satu Akta Kebebasan Maklumat? Kenapa?
Terdapat beberapa jenis maklumat yang diurustadbir pelbagai akta untuk menentukan bagaimana ianya disebarkan kepada rakyat atau disimpan. Saya berpandangan memperkenalkan Akta Kebebasan Informasi/Maklumat tidak akan menambah apa-apa kebaikan kepada negara ini, kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk menentukan maklumat senantiasa ada untuk disebarkan atau diteliti.
Kaedah pengurusan juga di dalam Akta Rahsia Rasmi mencukupi untuk mengawal selia maklumat dan memastikan maklumat yang sensitif dan penting kepada keselamatan dalam negeri diteliti sebelum ianya dibenarkan untuk disebarkan kepada umum. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk bekerja di dalam satu cara yang membolehkan maklumat dikongsi rakyat untuk mereka memaklumbalas secara membina di dalam mentadbir negara ini. Terdapat pelbagai kaedah penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menentukan maklumat yang relevan dapat disebarkan kepada rakyat. Tetapi terdapat juga maklumat yang penting kepada keselamatan dalam negeri dan ianya perlulah disimpan dan dirahsiakan. Semua negara mengamalkan kaedah ini dan Malaysia tidak terkecuali.
Kalau anda hanya boleh melakukan satu sahaja langkah untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, apakah langkah itu?
Untuk memperkukuhkan demokrasi berparlimen, kita wajar berusaha secara berterusan untuk memperbaiki dan memastikan relevansinya sebagai sistem yang dipilih Malaysia sewaktu ia mencapai kemerdekaan. Penambahbaikan perlu dari masa ke semasa untuk mempertingkatkan relevansi dan fungsi Parlimen, tetapi ianya perlulah dilakukan secara berhemah untuk menentukan Parlimen terus menjadi tiang utama kepada pentadbiran cara hidup kita.
Satu perkara yang mungkin perlu ditentukan adalah untuk menghalang ahli Parlimen daripada melompat parti dan sewenang-wenangnya bertukar selera demi kepentingan peribadi kerana ianya akan merugikan rakyat yang memilih mereka. Seorang MP dilantik di atas perwakilan mereka dan adalah tidak adil kepada rakyat yang diwakili sekiranya mereka dibenarkan melompat ke satu pihak lain. Ianya akan meruntuhkan institusi Parlimen dan mengugat kestabilan dan akhirnya meruntuhkan sistem dan negara kita sendiri.
Adakah anda berpegang kepada pengasingan kuasa antara eksekutif, Parlimen, dan mahkamah? Kenapa?
Pemisahan kuasa adalah satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. [Eksekutif], Parlimen dan Kehakiman memang dipisahkan sebagai entiti yang berbeza. Tetapi disebabkan keperluan untuk menentukan pemisahan ini tidak pula menggugat pembangunan dan keamanan, terdapat kaedah pengawasan untuk menentukan cabang sistem pentadbiran dapat bertindak di dalam keadaan yang bebas di antara satu sama lain, tetapi boleh juga bertindak di dalam satu gagasan –sekiranya ianya tidak dilakukan akan wujudlah ketidakamanan dan ketidakstabilan.
Parlimen menetapkan undang-undang dan dasar, kerajaan melaksanakannya dan Kehakiman menentukan undang-undang senantiasa terpelihara dan diikuti. Tetapi seperti mana-mana jua negara yang mengamalkan demokrasi, terdapat keperluan untuk menentukan cabang-cabang ini boleh bekerjasama untuk memastikan Malaysia akan tetap kukuh dan bebas. Secara rumusan, memang terdapat pemisahan kuasa, tetapi juga perkongsian dan kerjasama di antara Parlimen, Kerajaan dan Kehakiman di Malaysia.
Untuk jawapan MP-MP yang lain, rujuk Full MP list
The Nut Graph memerlukan bantuan anda