BISMILLAHIR Rahmannir Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahman dan Rahim. Dua dari 99 nama Tuhan yang sentiasa disebut oleh umat Islam. Allah mahu kita semua ingat dua sifat ini, lebih dari yang lainnya. Namun, nampaknya sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ini yang sering dilupakan dan tidak dijiwai oleh ramai orang Islam.
Mengapa bila sebut Allah dan Islam terus ingat hukuman, malah seolah-olah bila berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia. Bukankah semakin adil, baik hati, berkasih sayang, menutup aib saudaranya, pengampun, aman, damai dan tenang maka semakin Islamlah masyarakat dan diri seseorang itu?
Menurut Prof Hashim Kamali, apabila Al-Quran memberi hukuman terhadap sesuatu kesalahan jenayah, seringkali diikuti penerangan mengenai terbuka luasnya ruang taubat serta rahmat dan pengampunan Allah swt.
Contohnya, Allah berfirman:
“…Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar 39:53)
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf 12:87)
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surat an-Nisaa 4:110)
Justeru, sebagai rakyat biasa, saya tidak faham mengapa Kartika dikenakan hukuman maksima dengan denda RM5,000 dan enam kali sebatan sedangkan itu adalah kesalahan pertama beliau. Tidak cukup dengan itu, malah kemudiannya dikenakan lagi hukuman tambahan penahanan selama tujuh hari.
Pendirian pemimpin politik
Kita lihat pemimpin-pemimpin komponen Pakatan Rakyat, iaitu pemimpin PAS seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muslimat PAS , Pemuda PAS dan juga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin, serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan banyak NGO-NGO Islam terus-menerus mendesak pelaksanaan hukuman sebat terhadap Kartika.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty di dalam kenyataan rasminya mengatakan Kartika boleh kemukakan rayuan. Namun di masa yang sama, kenyataan wakil PKR itu memuji Kartika kerana tidak membantah hukuman yang dikenakan. Menurut Dr Manuty, “ia menampakkan sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.”
Alangkah elok jika kita lihat isu ini dari kacamata keadilan dan mempertimbangkan bahawa:
sebaik saja kesnya dibicarakan, Kartika terus mengaku bersalah tanpa merugikan masa dan kos mahkamah syariah;
beliau terus akur membayar denda RM5,000 tanpa bertangguh;
kenyataan-kenyataannya di media menunjukkan yang dia ikhlas telah bertaubat;
dalam tempoh satu setengah tahun iaitu sejak kesnya dibicarakan, Kartika terbukti tidak pernah mengulangi perbuatannya.
Dengan sikap Kartika yang sebegitu, bagaimana mungkin tetap tidak puas hati sehingga melihat Kartika disebat.
Ramai orang Islam tahu Rasulullah sedaya upaya enggan mendengar pengakuan seorang perempuan yang berzina. Baginda malah menyuruh sahabat membiarkan saja pesalah yang berjaya melarikan diri semasa direjam kerana mungkin sahaja dosanya telah diampunkan Allah swt. Sayidina Umar juga sedaya upaya mahu melepaskan si pencuri dari dipotong tangannya. Pada saya, inilah semangat rahman dan rahim yang menjadi roh Islam.
Apakah mencabar kesucian Islam jika mempersoalkan keputusan ulama atau hakim syariah? Tentu ramai orang Islam tahu kalimat Sayidina Umar yang terkenal “sokong Umar selagi Umar benar dan tegurlah jika Umar salah”. Keputusan Umar mengenai isu menetapkan mahar malah disanggah dan ditentang oleh hanya seorang perempuan biasa dan Umar menerima kritikan perempuan itu dengan hati yang terbuka dan sekali-kali tidak mempersoalkan hak dan kredibiliti perempuan itu untuk mencabar keputusannya. Bayangkan, Umar adalah seorang Sahabat Nabi yang telah dijamin syurga, seorang Khalifah dan seorang ulama yang arif tentang hukum fiqah!
Saya justeru tertanya sekiranyalah kes sodomi saudara Anwar Ibrahim dibicarakan di mahkamah syariah, seperti yang pernah diminta oleh beliau, dan jika kemudian hukuman yang dijatuhkan dirasakan tidak adil, maka adakah PAS, PKR dan NGO-NGO Islam lain akan berdiam diri saja? Dan jika Anwar didapati bersalah, adakah mereka akan mendesak agar Anwar dikenakan hukum sebat menurut hukum hudud?
Pendirian berbeza beberapa pemimpin Umno telah pun kita ketahui. Datuk Seri Najib Razak telah merayu agar Kartika mengemukakan rayuan di mahkamah dan menasihati Kartika agar tidak hanya redha sahaja untuk dihukum. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menentang hukuman sebatan terhadap Kartika. Datuk Seri Hishamuddin Hussein pula membolehkan pelaksanaan hukum sebatan itu asal saja prosedurnya dilakukan dengan betul.
Saya dan mungkin ramai rakyat Malaysia justeru tertunggu-tunggu saudara Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua de fakto Pakatan Rakyat yang berimej aktivis Islam reformis untuk menyatakan pendirian beliau terhadap hukuman sebatan terhadap Kartika ini.
Dari situ, semoga kita memahami dengan lebih jelas dan rasmi mengenai falsafah reformisma dan hak asasi manusia mengikut pandangan dan prinsip Pakatan Rakyat, yang berhasrat memimpin Malaysia ke era baru yang lebih adil dan terbuka, serta menjadi contoh negara yang moden dan progresif.
Norhayati Kaprawi
Aktivis wanita Muslim
22 Oct 2009
Azmi says
Memang benar, rakyat masih tertunggu-tunggu pendirian penasihat parti Pakatan Keadilan Rakyat. Sampai bila agaknya kita terpaksa menunggu.
seriati says
It has been some time since we heard fr YB DSAI on many issues that affect the common people. Are these ‘keadilan’ issues too hot to handle? Or are they not up to his level? Or is he hedging, unwilling to risk offending PAS? But then, maybe his deafening silence is a clear sign of agreement with the judgement.
YB, please stand up and be counted.
Farouq Omaro says
Pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim? Saya rasa tidak payah lah kita tunggu. Sepatutnya beliau letak jawatan sewaktu janjinya membentuk kerajaan pada 16hb September 2008 tidak berhasil.
looooo says
Isu Kartika menjadi isu besar bila ada campur tangan politik. Kartika sendiri rela dengan hukuman. Pihak lain tidak perlu lagi memperbesarkan isu ini.