• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Kes Ismail Yahya: Ancaman terhadap pengasingan kuasa?

Asam Pedas oleh Norhayati Kaprawi

May 5, 2014

(sxc.hu)
(sxc.hu)

MUNGKIN ramai tidak sedar bahawa di Malaysia ini telah berlaku suatu peristiwa besar pada 27 Okt 2013. Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, yang juga merupakan mantan mufti negeri tersebut, telah didakwa di mahkamah syariah di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Jika didapati bersalah, Datuk Ismail Yahya, 58, bakal dipenjarakan selama dua tahun atau disaman RM3,000 ataupun kedua-duanya. Selain dakwaan di mahkamah, Ismail telah pun diarahkan meninggalkan pejabat serta-merta dan diminta bersara awal sebelum ada sebarang surat pertuduhan di mahkamah.

Apakah yang telah dilakukan oleh seorang ketua hakim mahkamah syariah sehingga dia boleh didakwa sebegini? Dan mengapakah penting untuk rakyat Malaysia, samada Muslim atau bukan Muslim, untuk meneliti dan mengambil berat tentang kes ini?

Tuduhan terhadap Ismail

Pertuduhan terhadap Ismail ialah bahawa beliau, sewaktu menjadi ketua hakim mahkamah syariah, bertindak secara bertulis melalui surat yang ditujukan pada setiausaha kerajaan Terengganu untuk:

1_orangeNEW mempersoalkan cadangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya.

2_orangeNEW mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai ketua agama Islam yang telah memperkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institusi Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu sebagaimana yang telah dinyatakan dalam minit mesyuarat Maidam bertarikh 21 Okt 2012.

Logo Maidam
Logo Maidam

Selaku ketua hakim mahkamah syariah, Datuk Ismail telah memberi pendapat kepakarannya dari segi syarak, perundangan Malaysia dan juga sejarah Islam. Menurut pendapat beliau, cadangan Maidam untuk mengambil alih dan meletakkan pentadbiran mahkamah syariah Terengganu di bawah kawalannya adalah merupakan satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat.

Adakah beliau salah, dan adakah hanya beliau yang berpendapat sedemikian?

Pengasingan kuasa

Ulama dan pemikir Islam Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Nizam al Qadha fil Syariati al Islamiah (Prinsip-prinsip Kehakiman dalam Perundangan Islam), antara lain menjelaskan bahawa:

“Realitinya, pemerintah Islam yang memahami hukum-hukum Islam dan tidak pula melanggari batas-batasnya, tidak akan mencampuri urusan seseorang qadi/hakim dan tidak memerintah para qadi/hakim mengeluarkan keputusan menurut hawa nafsu mereka kerana pemerintah mencampuri urusan qadaa’ atau kehakiman/pengadilan adalah dikira suatu maksiat kepada Allah dan menzalimi rakyat.”

Menurut sejarah Islam, kaedah pengasingan kuasa dari segi hukum syarak bermula dari Sayidina Umar. Beliau telah menggariskan peraturan-peraturan menjadi hakim, seperti yang tertera dalam suratnya pada Abu Musa al-Asy’ari. Sayidina Umar menegaskan:

“… sesungguhnya keadilan itu adalah sesuatu kewajiban yang ditetapkan oleh Allah SWT dan suatu Sunnah Rasul yang wajib diikuti. Maka fahamlah benar-benar jika ada sesuatu perkara yang dikemukakan kepadamu dan laksanakanlah jika jelas kebenarannya, kerana sesungguhnya tidaklah berguna pembicaraan tentang kebenaran yang tidak ada pengaruhnya (tidak dapat dijalankan). Dan persamakanlah kedudukan manusia itu dalam pandanganmu, majlismu dan keputusanmu sehingga orang atasan tidak dapat menarik kamu kepada kecurangan dan orang yang lemah pun tidak berputus asa dari mendapatkan keadilan.”

Sayidina Umar melantik hakim dan qadi untuk menguruskan hal kehakiman, manakala beliau sendiri menguruskan hal pentadbiran negara. Ahli fiqah berpendapat bahawa teori pemisahan kuasa adalah perlu bagi mengelakkan campur tangan pemerintah bagi memastikan keadilan terjamin.

Datuk Ismail (Sumbangan Norhayati Kaprawi)
Datuk Ismail Yahya (Sumbangan Norhayati Kaprawi)

Contoh yang diketahui ramai orang Islam ialah Sayidina Ali, yang mendakwa baju besinya dicuri oleh seorang Yahudi, pun pergi ke pengadilan untuk minta dibicarakan oleh hakim. Baginda tidak dapat mengemukakan bukti bahawa baju besi itu memang miliknya. Maka hakim pun tidak berpihak padanya dan memutuskan bahawa orang Yahudi itu boleh terus menyimpan baju besi itu.

Bayangkan, padahal Sayidina Ali adalah khalifah besar pada waktu itu. Bukan saja baginda tunduk pada sistem kehakiman, malah hakim juga mengamalkan kebebasan kehakiman untuk tidak tunduk pada kekuasaan pemerintah demi menegakkan keadilan.

Jelas pemisahan kuasa antara eksekutif dan legislatif ialah untuk memastikan wujudnya “check and balance” dalam kerajaan. Mekanisme kawalan dan semakan inilah yang boleh mengelak penyalahgunaan kuasa terutamanya oleh pegawai-pegawai atasan kerajaan terhadap rakyat.

Sekarang ini pun, dalam sistem kehakiman sivil, ada yang marah-marah dan mengkritik secara terbuka jika kehakiman sivil dilihat sebagai tunduk pada kehendak atau tekanan kerajaan. Apatah lagi jika jelas-jelas sistem kehakiman sivil di Malaysia diletak di bawah kuasa dan pentadbiran eksekutif, pasti rakyat Malaysia, termasuklah orang-orang Islam juga, akan menentangnya.

Masalah lain

Sebagai orang awam, kita juga tertanya-tanya mengapa seorang pegawai kerajaan yang memberi pendapat kepakarannya dalam undang-undang syariah, menurut saluran dalaman pentadbiran negeri, dikenakan tindakan keras sebegini rupa?

Bukankah terutamanya dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan, memang sewajarnya suatu langkah yang sangat besar memerlukan perdebatan terperinci oleh pelbagai pihak sebelum dilaksanakan? Tidak boleh dinafikan bahawa meletakkan sistem kehakiman di bawah kuasa eksekutif ialah suatu perkara yang teramat besar dan drastik.

Tun Salleh Abas

Menurut Saadiah Din, peguam bagi Ismail, kes ini seolah-olah mengimbau kenangan pahit sistem kehakiman sivil di Malaysia di dalam kes Tun Salleh Abas. Dalam kes bersejarah itu, hakim-hakim yang cuba menyelia dan mengawal tindakan eksekutif, sepertimana yang diperuntukkan dalam demokrasi kita, dipecat begitu sahaja.

Persoalan yang kita perlu tanya ialah, jika pegawai kehakiman, sama ada dalam sistem kehakiman sivil atau syariah, yang memberi pandangan dipecat, apa kesannya pada sistem kehakiman di Malaysia?

Persoalan lain adalah bidangkuasa sultan selaku ketua agama Islam negeri. Apakah sultan boleh menukar sistem keadilan yang telah lama disepakati dan diamalkan di Malaysia, iaitu pengasingan antara sistem kehakiman dan kuasa eksekutif?

Kepentingan bersama

Kes Ismail Yahya ada implikasinya kepada semua rakyat Malaysia, tak kira agama dan bangsa.

Sebenarnya orang-orang bukan Islam juga harus ambil berat terhadap tekanan dan tindakan yang dikenakan terhadap beliau. Semua rakyat termasuk yang bukan Islam harus menentang mana-mana penguasa agama yang mahu mengembangkan kuasa mereka tanpa mahu dipantau dan dikritik oleh sesiapa. Sikap autokratik penguasa agama harus diwaspadai kerana jika tiada pemantauan, maka landskap sosial, politik dan kehakiman di Malaysia boleh berubah.

Perubahan kehakiman sebegini yang melibatkan pemusatan kuasa di tangan eksekutif, lebih-lebih lagi atas nama agama dan raja, perlulah turut diperdebatkan oleh semua rakyat yang cintakan demokrasi dan keadilan. Setakat ini, nampaknya cuma Ismail yang berani menentang tindakan anti-demokratik ini. Adakah dia akan dibiarkan menentang seorang diri?

Semua rakyat Malaysia harus turut memikirkan persoalan yang dikemukakan oleh Ismail: Adakah kita mahu membiarkan lembaga eksekutif menguasai sistem kehakiman? Adakah kita mahu sistem kehakiman di Malaysia yang sejak merdeka, sentiasa giat diperkemas dan dipertingkatkan bagi memastikan tertegaknya keadilan dan punya kebebasan kehakiman, kemudiannya berundur dan dikekang kembali? The Nut Graph


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Dia mengenali Ismail Yahya secara peribadi dan telah beberapa kali mengundang beliau ke acara-acara mengenai hak-hak wanita dalam perundangan Islam.

Share this:

  • Click to share on Twitter (Opens in new window)
  • Click to share on Facebook (Opens in new window)
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window)
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window)
  • Click to email a link to a friend (Opens in new window)

Related Stories

Filed Under: Columns Tagged With: Asam Pedas, Datuk Ismail Yahya, Dr Abdul Karim Zaidan, islam, makhamah, Norhayati Kaprawi, quran, syariah, Terengganu, Tun Salleh Abas

Reader Interactions

Comments

  1. Sarutobi says

    May 6, 2014 at 10:13 am

    Thank you for this information. Datuk Ismail Yahya truly lives up to expectations as a fair head of judges. My respect for him.

  2. Jeda says

    May 10, 2014 at 9:10 am

    Point highlighted, however, who are the board members in the said council? If the committee are judges and chaired by the Chief Justice, it shouldn’t be a problem..

  3. farha says

    May 10, 2014 at 1:21 pm

    A dangerous precedent.

Primary Sidebar

Search

Twitter

My Tweets

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2023 The Nut Graph