BARU-baru ini nampaknya anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semakin bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab mereka. Malam 23 April 2010 lalu, Jais telah membuat serbuan serentak bersama-sama Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Bandar Sunway. Enam remaja Islam ditahan kerana didapati meminum arak.
Pada 24 April pula, seorang pelajar maut ketika cuba melarikan diri apabila pegawai Jais menyerbu kediaman teman wanitanya kerana mendapat aduan daripada jiran mereka bahawa mereka bermaksiat. Walau bagaimanapun, Jais kemudiannya menafikan pegawai mereka terlibat dalam serbuan tersebut.
Nampaknya bidang kerja pegawai Jais bukan hanya memakan masa lapang mereka pada waktu malam, tetapi juga mengundang risiko untuk semua pihak yang terlibat. Maka dengan itu, saya ingin mencadangkan beberapa peralatan tambahan yang mungkin boleh dibawa oleh Jais untuk mengurangkan risiko ini dan juga memastikan serbuan mereka lebih cekap dan lengkap:
1 Tilam tebal
Ini akan memudahkan operasi di premis yang berada di aras tinggi, contohnya di pangsapuri mewah. Oleh itu, jika si pemaksiat cuba melarikan diri dan tergelincir, mereka akan jatuh di atas tilam dan tidak akan mati begitu sahaja.
2 Serkup muka
Ini untuk melindungi identiti mereka yang tertangkap di premis hiburan dan sebagainya, terutamanya ketika jurugambar media juga menemani Jais dalam membuat serbuan. Saya bersimpati dengan Jais dalam keadaan sebegini — sudah tentu pegawai Jais mahu mengaibkan mereka yang tertangkap supaya tidak mengulangi dosa mereka. Tetapi langkah menyerkup muka mereka terlebih dahulu akan menguntungkan Jais juga. Mana tahu jika mereka anak orang besar yang kemudiannya akan mengemukakan saman malu terhadap Jais? Biar serkup, asalkan selamat.
3 Tudung ekstra
Ini supaya Jais tidak kelihatan sebagai tidak sensitif kepada wanita. Bawalah kain tudung untuk dipinjamkan kepada pemaksiat wanita. Ini akan memudahkan sesi penggambaran mereka dengan media rasmi, contohnya sebelum mereka menghadap mahkamah syariah pada keesokan hari.
4 Rantai besi yang panjang
Sesetengah premis mungkin akan mempunyai bilangan pemaksiat yang terlalu ramai, contohnya di kenduri khalwat. Jadi, peralatan ini akan membolehkan pegawai Jais merantai bilangan pemaksiat yang ramai dengan mudah dan pantas. Pastikan besi tidak berkarat kerana ini mungkin akan mencederakan pemaksiat yang sebaik-baiknya dihadapkan di mahkamah hidup-hidup dan sihat.
5 Sudoku
Jika terdapat ramai tahanan selepas satu-satu operasi, masa pemprosesan mereka di lokap mungkin akan mengambil masa yang lama. Untuk mengelakkan daripada maksiat yang berterusan, pegawai Jais boleh mengagihkan permainan sudoku kepada tahanan supaya mereka terlibat dalam aktiviti yang lebih sihat.
Malah, pegawai Jais juga boleh bermain sudoku sementara menunggu, sebagai penawar kebosanan. Maklumlah, permainan sudoku juga boleh mencergaskan minda — pegawai Jais akan menjadi lebih peka dan cekap apabila menjalankan serbuan yang seterusnya!
6 Original soundtrack untuk siri televisyen Glee, atau mana-mana album dari Madonna, Kylie Minogue atau Mariah Carey
Ini khusus untuk serbuan di sarang-sarang gay, mak nyah dan pemaksiat-pemaksiat yang bersubahat dengannya. Mainkan sahaja CD muzik ini dan perhatikan sesiapa yang tidak dapat tahan dan tiba-tiba tergedik-gedik berjoget — sahlah bahawa mereka pesalah yang dicari-cari. Jika terlalu ramai pemaksiat yang ditangkap, sila rujuk perkara 4 dan 5.
7 Sistem penentu kedudukan global (GPS)
Dalam zaman teknologi yang serba canggih dan menyeluruh ini, dihalalkan umat Islam menggunakan teknologi Barat (termasuk Yahudi) sekiranya ia dapat membantu mencegah maksiat. Jadi, Jais perlu memastikan bahawa kesemua kenderaannya dilengkapi dengan GPS untuk memudahkan pegawainya mengenalpasti dengan tepat premis yang perlu diserbu.
8 Penterjemah profesional
Memandangkan Malaysia sudah menjadi destinasi pilihan untuk pelajar, pelancong dan ahli perniagaan dari Timur Tengah, wajar juga jika Jais membawa sekali penterjemah yang boleh berbahasa Arab dan Farsi. Kalau tidak, nanti tengah-tengah membuat serbuan mungkin terjadi jenaka yang tidak diingini, seolah-olah ayam dan itik mahu berbual. Disuruh menghembus ke dalam alat pengesan arak, nanti lain pula yang dihembusnya. Jais pula yang mungkin dituduh menggalakkan maksiat tambahan, nauzubillah.
9 Surat pengecualian dari hukuman
Oleh sebab penguatkuasa Jais selalunya membuat serbuan pada lewat malam, mungkin penguatkuasa mahupun pemaksiat yang diserbu akan menghadapi kemalangan, kerugian atau maut akibat keadaan yang gelap atau kelam-kabut. Dalam keadaan ini, wajar juga pegawai Jais melengkapkan diri dengan surat pengecualian, contohnya:
Pihak Jabatan Agama Islam Selangor tidak bertanggungjawab atas apa-apa kehilangan/kerugian/kemalangan/kematian yang mungkin berlaku semasa serbuan kami pada tarikh [isi seperti yang berkenaan]. Pemaksiat/pesalah telah berkhalwat/berzina/meliwat/berjudi/minum arak/meninggalkan solat dan/atau puasa (potong mana yang tidak berkenaan) atas kerelaan sendiri, dan telah melarikan diri/melawan pegawai Jais (potong mana yang tidak berkenaan) tanpa dihasut oleh Jais.
10 Senapang
Ini hanya satu langkah keselamatan — pegawai Jais dinasihatkan supaya tidak menembak mana-mana pemaksiat dengan peluru hidup. Tetapi Allah Maha Mengetahui jika pegawai Jais perlu mempertahankan diri, dan semoga Allah mengampunkan mereka yang tersilap menembak mangsa yang tidak bersalah, walaupun sehingga menyebabkan kematian.
Ini hanya langkah jangka pendek. Untuk penyelarasan jangka panjang, mungkin wajar jika Jais merujuk kepada pihak berkuasa di negara yang lebih berpengalaman dalam membuat serbuan seperti ini, contohnya Iran dan Arab Saudi.
Tetapi ini semua cadangan sahaja — segala kesilapan dan kecacatan adalah disebabkan oleh kekurangan saya sendiri.
Shanon Shah ingin mendalami Ayat 12 dari Surah Al-Hujuraat dalam kitab suci Al Quran, yang sebahagiannya berbunyi: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”
Baca ruangan Secubit Garam terdahulu
The Nut Graph memerlukan bantuan andas
Juana Jaafar says
Ni yang dinamakan penawar hari Isnin ni. So funny la 😀
Azmi says
How do we send this article to all the relevant religious departments for their esteemed consideration?
giganticgha says
Haha…Shanon, satu artikel yg menarik. Jais patut berterima kasih pada anda yg telah memberikan cadangan yang bernas bg meningkatkan kecekapan and produktiviti mrk! Apa2 jalan pun (anyway), saya selalu ternanti-nanti utk membaca artikel baru karangan anda…witty & sinikal tp menyegarkan…macam cecair antiseptik Oral B 😛
Nadia Ali says
Saudara Shanon,
Artikel yang sangat bernas! Saya setuju dengan semua cadangan-cadangan saudara, lebih-lebih lagi nombor 6.
Saya sebenarnya amat kagum dengan Jais dan khidmat mereka kepada agama, bangsa dan negara. Tanpa penguatkuasa Jais, apakah yang akan terjadi kepada masyarakat dan negara kita? Kita tak boleh biarkan sahaja individu-individu ini (rakan, jiran, ahli keluarga atau orang yang tidak dikenali) bermaksiat, minum arak dan berzina. Aktiviti-aktiviti tidak bermoral mereka telah/akan menjadi punca kegawatan ekonomi, masalah korupsi, banjir kilat, gempa bumi dan tsunami di Malaysia. Tuhan akan menurunkan bala kepada kita. Sebab itulah negara-negara Barat yang tidak bermoral seperti Denmark dan Amerika semuanya di dalam keadaan kelam-kabut banyak kes-kes buang anak dan rogol; seks songsang etc; manakala negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Arab Saudi aman damai, semua rakyat hidup selesa dan tidak ada langsung kes-kes buang bayi, rogol ataupun seks di luar tabii.
Selain daripada isu khalwat, seks songsang dan alkohol, terdapat juga isu-isu lain yang melanda umat Islam contohnya tidak menutup aurat dan memakan makanan yang tidak halal. Pada pendapat saya, Jais mempunyai potensi untuk menjadi satu badan yang menjaga tepi kain orang…umm…maksud saya…menjaga maruah umat Islam yang lebih holistik.
Sebab itulah saya ingin cadangkan Jais untuk bekerja lebih keras lagi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Mereka perlu menyaman dan menangkap wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Dan selain daripada memaksa pengunjung bar menjalankan ujian nafas untuk menguji tahap alcohol, Jais juga boleh menguji bau kentut ataupun konsistensi tinja untuk memastikan individu-individu ini tidak memakan makanan yang tidak halal (contohnya babi, ayam KFC dan kopi Starbucks)
Saya berharap Jais akan menerima cadangan saya ni.
“Cegah maksiat tanggungjawab bersamaâ€
Ida Bakar says
(please forgive my rusty BM)
Membantu JAIS Perkara 11:
Supaya niat suci JAIS tidak boleh disalahertikan oleh pemaksiat-pemaksiat yang dikandang, mainkanlah lagu-lagu yang akan menimbulkan keinsafan. Cadangan: Pangilan Haji, Bila Izrail Datang Memanggil, Ayah dan Ibu (Sudirman).
Tatkala serbuan JAIS berjaya menangkap warga asing mainkanlah CD Aerosmith: Knockin’ on Heaven’s Door (untuk menimbulkan rasa tidak selamat) atau CD Europe: The Final Countdown (untuk menimbulkan rasa inilah perkara terakhir sebelum penerbangan berlepas kecemasan).
Saya cadang supaya lagu-lagu bahasa Inggeris dari Yusuf Islam / Cat Stevens atau lagu-lagu dari Kumpulan Raihan TIDAK dimainkan kerana lagu-lagu ini, walaupun akan menimbulkan keinsafan, ianya mempunyai melodi yang amat menenangkan. Ia mungkin mencetuskan perasaan ke’jiwang’an di kalangan pemaksiat-pemaksiat yang dikandang. Pemaksiat akan menyalakan ‘lighter’ rokok dan mengimbas perlahan-lahan di atas kepalanya dengan penuh perasaan. Ke’jiwang’an ini akan membawa semangat untuk berkhalwat (duduk dekat-dekat) secara beramai-ramai.
sweelin says
#6 jikalau album-album yang dinamakan di atas tidak dijual kat kedai, boleh ganti dengan lagu-lagu dendangan Lady Gaga tak?
===
Ya, ini dihalalkan dalam keadaan darurat.
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen
Ajip says
Yang penting dalam hati kita bagi yg Muslim, kita tidak memperlekehkan operasi JAIS itu. Amal makruf nahi mungkar sepanjang masa hingga akhir zaman.
Fikri says
Lanjutan kepada Cadangan 3 -“Lebih afdhal sekiranya kain tudung yang menutup badan pemaksiat wanita dibawa oleh seorang yang mempunyai B.A. dalam Geologi. Usaha murni JAIS untuk mempelajari disiplin lain pasti akan membantunya dalam menghalang tercetusnya gempa bumi, seperti di Iran.”
rahim says
Ehm jabatan agama berani gi hotel murah jer…Dekat PJ ada kilang arak besar. Tangkaplah sape yg luluskan. Jgn tangkap org yg minum jer. Org yg buat dan jual pun kena tangkap gak. Kalau dadah, yg hisap dan edar dua2 salah. Minum arak pun samalah. Kalau tak sama, aku nak jual araklah tapi tak nak minum. Leh tak jual babi tapi tak makan dan tak sentuh?
farha says
Hahaha, lucunya! Aku ketawa tergolek-golek! Syabas, sha… artikel yang girang dan sinis!
billy says
Memang lucu artikel ini…really menghiburkan hati I bila membacanya…suka sangat!!
Azizi Khan says
11. VIP
Mana-mana VIP yang ditangkap basah/kering/bermaksiat/berliwat akan dengan segera dihantar balik dengan selamatnya oleh anggota Jais. Sekiranya nampak VIP/VVIP sedang minum arak di mana mana hotel, sila tinggalkan tempat itu dengan segera dan menjalankan serbuan seberang jalan.
AK
Merah Silu says
Saya percaya ayat suci yang saudara sebutkan adalah baik untuk semua pihak. Saya juga percaya yang pihak Jais perlu merenung kembali tugas mereka dan memberi penekanan yang seimbang di antara pembentukan pekerti yang baik, dan juga penguatkuasaan. Saya juga percaya saudara tidak begitu ikhlas dalam membuat kritikan, dan ianya termasuk juga perkara perkara yang perlu direnungi dalam ayat yang cuba saudara dalami. Eloklah kita melihat sesuatu perkara dalam sudut positif dan negatif, dan berikanlah pandangan yang seimbang semoga ianya memberi manfaat kepada semua pihak pada masa hadapan. Lihat saja sekiranya kita membuat komen yang sinikal “The Nut Graph memerlukan bantuan [t]andas.”