Michael Jackson (© Oceania Rock / Flickr.com)
PERTAMA kali saya mendengar lagu mendiang Michael Jackson pada tahun 1984, saya berumur enam tahun. Saya ingat lagi, pada masa itu Radio dan Televisyen Malaysia menyiarkan rancangan hiburan istimewa mengenai Anugerah Grammy ke-26. Jackson memecahkan pelbagai rekod untuk pencalonan bagi albumnya, Thriller. Rancangan tersebut memaparkan sedutan videonya untuk lagu Beat It dan Billie Jean.
Kagum juga saya dengan Michael Jackson — seorang penyanyi, penari dan pencipta lagu yang hebat. Di kelas tadika saya keesokan harinya, beberapa orang rakan saya sudah mula meniru gaya moonwalknya. Maka dengan itu saya tidak boleh lagi mengaku meminati Michael Jackson. Mereka kan tidak tahu menahu tentang muzik, dan saya kan lebih “art”?
Jadi saya pun membiarkan mereka tergila-gila dengan Michael Jackson tahun itu. Saya yang lebih mengetahui dan lebih arif pula meminati lagu-lagu The Police, The Eurythmics, Sheena Easton dan Bonnie Tyler.
Saya tidak pernah membeli atau memiliki sebarang album Michael Jackson. Namun, bila saya Darjah Empat, saya telah terdedah kepada lagu Jackson yang amat menyayat perasaan saya — Man in the Mirror .
Entah kenapa — susunan melodinya, nyanyian Jackson yang seolah-olah teresak-esak, dan liriknya tentang kesedaran diri, membuat saya berasa sayu dan gembira serentak. Tambahan pula klip videonya yang memuatkan babak-babak peperangan dan kebuluran di seluruh dunia membuatkan saya berasa insaf — semuanya sebelum saya mencecah umur 10 tahun.
Memang banyak lagu Jackson yang saya minat selepas itu. Dan klip videonya juga amatlah menarik — contohnya kesan visual istimewa untuk lagu Black or White dan Remember the Time. Akan tetapi, lagu yang tetap di hati saya ialah Man in the Mirror. Lagu ini memang istimewa.
Michael Jackson
(domain awam/ Wiki Commons)
Yang baik dan buruk
Ya, mungkin Jackson agak pelik. Ramai yang tertawa melihat kulitnya yang semakin hari semakin cerah, dan hidungnya yang semakin hari semakin tirus. Ramai yang tergamam apabila dia menjuntaikan bayi lelakinya di luar anjung bilik hotelnya di Berlin. Ramai yang tidak dapat menahan jijik apabila dia didakwa menodai sebilangan remaja dan kanak-kanak lelaki.
Tapi, inilah realiti mendiang Michael Jackson. Ada yang baik, ada yang buruk. Kawan baik saya dari sekolah rendah menelefon saya hari Jackson dilaporkan meninggal dunia. “Hang tak sedihkah, Shanon?” Saya menjawab saya tidak sedih. “Hang kena sedih, Shanon, sebab dia kan legenda muzik. Awat hang tak sedih?”
Mother Teresa (oleh Túrelio /
Pengiktirafan-Perkongsian Serupa 2.0 /
Wiki Commons)
Saya tertawa dengan soalan kawan saya, dan dia pun tertawa kembali. Entah, saya terasa sesuatu untuk orang yang rapat dengan Jackson kerana saya juga pernah kehilangan orang yang tersayang. Tetapi, saya tidak mengenali Jackson. Saya hanya mengenali suaranya yang menyanyikan lagu Man in the Mirror yang banyak mengubat perasaan saya.
Tapi saya hairan, tiada pula orang yang menelefon saya untuk bertanya sama ada saya menangisi pemergian Farah Fawcett atau Ed McMahon. Hal ini seolah-olah sama seperti pada tahun 1997, apabila Diana, Puteri Wales meninggal dunia. Masa itu saya menuntut di universiti di Melbourne, Australia. Rata-ratanya orang ramai berkabung memperingati Diana. Namun, apabila Mother Teresa meninggal dunia seminggu sebelum pemergian Diana, tiada pula orang yang bertanya jika saya berkabung.
Jackson dan Diana di Malaysia?
Saya masih ingat, dalam khutbah Jumaat di universiti saya pada minggu kematian Diana, si khatib memberi amaran supaya kami jangan membaca sebarang doa untuk Diana. Kononnya, terdapat desas-desus bahawa Diana telah bertunang dengan kekasihnya pada masa itu, arwah Dodi Al-Fayed, dan telah memeluk Islam.
“Kita tidak tahu sama ada Diana memeluk Islam atau tidak, jadi baik kita jangan berdoa untuknya,” nasihat si khatib pada masa itu.
Sama juga dengan Jackson — ada desas-desus yang mengatakan dia juga telah memeluk agama Islam. Abangnya Jermaine, yang beragama Islam, dilaporkan berkata setelah Jackson meninggal, “And Allah be with you Michael always. I love you.”
John Travolta dan Puteri Diana
(domain awam / Wiki Commons)
Saya terfikir juga — kalau Jackson dan Diana menjadi warganegara Malaysia, bagaimana? Adakah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan mengeluarkan arahan supaya mereka dikebumikan sebagai orang Islam? Adakah anak-anak Jackson dan sanak-saudaranya akan dihalang daripada berkabung mengikut kepercayaan mereka sendiri? Bayangkan Putera William dan Putera Harry, yang hanya berusia remaja ketika Diana meninggal, tidak dibenarkan mengucapkan selamat tinggal kepada ibu mereka yang tersayang akibat mayatnya dituntut oleh Mais?
Pelik tetapi tidak mustahil, bukan?
Yang lebih peliknya, salah seorang teman sejurusan saya dari Malaysia telah mewar-warkan teori pemelukan Islam Diana kepada saya. Inilah orang sama yang memberitahu saya, “Sayang tentang Mother Teresa — dia meninggal dunia sebelum hatinya terbuka kepada Islam.” Saya tergamam. Walaupun saya tidak bersetuju dengan beberapa pendirian Mother Teresa tentang perancangan keluarga dan sebagainya, saya tahu juga bahawa dia dengan ikhlas telah berbakti kepada golongan miskin di Kolkata, India. Mudahnya kawan saya mengadili niat dan amalan Mother Teresa.
Saya membalas, “Aku rasa bukan tempat kita untuk buat penilaian macam tu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.”
Meratap dengan cara sendiri
Saya tidak faham psikologi sesetengah daripada mereka yang berkabung, terutamanya untuk selebriti yang langsung tidak dikenali secara peribadi. Tetapi mungkin saya juga terlalu cepat untuk menilai orang lain.
Yasser Arafat
(domain awam / Wiki Commons)
Saya masih ingat lagi, apabila arwah Yasser Arafat meninggal dunia pada tahun 2004, saya pun bersedih. Pagi itu, saya seolah-olah tidak mahu membuat sebarang tugas di pejabat saya. Sebaliknya, saya melayari internet dan membaca ucapan bersejarahnya, lebih dikenali sebagai “senapang dan dahan zaitun”, di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1974.
Arafat bukanlah pemimpin yang bebas daripada melakukan kesilapan dan kejahatan. Saya sedar semua itu. Tapi saya tetap sayu dengan pemergiannya. Mungkin samalah dengan orang yang menangisi pemergian Jackson.
Shanon Shah kini khusyuk melayan Man in the Mirror.
Main says
Satu peristiwa yang tidak disangka walaupun sebelum kematiannya, karier sebagai penghibur banyak dipengaruhi hal-hal peribadi yang keterlaluan. Betul andaian kebanyakan pengkritik hiburan “in death he made more than when he was alive [more in everything!]”.
Lumrah manusia sememangnya begini gamaknya: terus mengenang dan berspekulasi selepas pemergian, terutama mereka yg menitip di bibir jutaan umat manusia di dunia.
PS: Kali pertama saya mendengar lagu “Man in the Mirror”.