Wanita Umno di pilihanraya Umno
SAYA melalui pemilihan Umno yang lepas dengan baik. Alhamdulilah saya mendapat sokongan dari perwakilan Wanita bahagian-bahagian seluruh Malaysia. Tercedera? Pastinya. Ini baru pemilihan di dalam Wanita Umno. Di peringkat yang lebih tinggi, Majlis Tertinggi Umno, hanya seorang wanita yang berjaya. Kalau begini, macam mana negara hendak mencapai sasaran kuota 30% wanita dalam pentadbiran parti mahupun kerajaan?
Tentunya perlantikan boleh dibuat bagi memenuhi kuota atau bagi memastikan Umno mempunyai suara wanita dalam kepimpinannya. Tetapi yang pasti, trend pemilihan menunjukkan perwakilan masih jauh dalam memikirkan “keperluan” suara wanita di barisan hadapan parti. Apakah cara atau usaha yang perlu dibuat untuk menyedarkan perwakilan mahupun sesiapa sahaja yang seharusnya boleh menerima wanita sebagai pemimpin mereka di dalam organisasi? Tidak kira sama ada dalam parti politik ataupun pentadbiran kerajaan?
(Steve Woods / sxc.hu)
Masalah sebenar untuk mendapatkan peratusan yang disasarkan adalah wanita sendiri sentiasa memikirkan mereka adalah satu kelompok asing dalam keseluruhan masyarakat. Wanita sering berkata lebih dari separuh penduduk Malaysia adalah wanita dan lebih ramai pelajar di universiti dan pusat pengajian tinggi adalah wanita.
Tetapi apabila kita merasakan kita daripada satu kelompok asing, kita akan tertarik untuk menjadi juara hanya di dalam kelompok ini. Walau bagaimana besar pun kelompok ini, ia masih hanya satu kelompok yang menjadi sebahagian asing dari keseluruhan masyarakat. Apa yang wanita sepatutnya juarai atau capai adalah supaya wanita berada di dalam kelompok umum yang terdiri daripada wanita dan lelaki. Wanita tidak sepatutnya berfikiran bahawa wanita adalah kelompok asing dalam masyarakat, tetapi wanita sememangnya sebahagian daripada masyarakat.
Apabila kita dapat meletakkan pemikiran kita sebegitu, wanita akan dapat ditempatkan untuk mewakili seluruh masyarakat. Wanita akan terpilih memimpin organisasi, parti mahupun pentadbiran. Untuk mencapai tahap pemikiran dan penerimaan ini wanita perlu bersatu hati. Nasi kering susah dikepal. Sesuatu kejayaan sukar dicapai sekiranya kita tidak bersatu hati.
Kebebasan yang benar
Lenin (domain awam / wikipedia)Pemimpin pertama Kesatuan Soviet, Vladimir Lenin, pernah berkata, “Tidak mungkin ada kebebasan yang sebenarnya jika tidak ada kebebasan untuk wanita.” Semangat kepartian perlu diletakkan ke tepi sekiranya wanita bertekad untuk memartabatkan kaumnya sendiri. Isu wanita menjadi agenda bersama semua wanita di Malaysia, tanpa mengambilkira agama ataupun bangsa, malah perbezaan parti sekalipun. Kita perlu berhenti mempolitikkan apa jua di bumi bertuah ini atas nama idealisme perjuangan parti.
Hari ini kita tidak sepatutnya memperkatakan lagi sama ada wanita mampu mencapai kuota 30% di sektor pentadbiran, politik atau pembuat keputusan, kerana semua mengetahui dan mengakui bahawa wanita sudah diperkasa, mampu, dan setanding dengan lelaki. Malah, dari banyak segi, wanita mempunyai banyak kelebihan. Ini semua berlaku hasil perjuangan dan penerimaan banyak pihak untuk memperakui kebolehan wanita.
(Martin Boulanger / sxc.hu)
Cuma yang tinggal ialah wanita perlu berfikiran lebih terbuka supaya mereka mengetahui bahawa mereka bukannya bertanding sesama wanita. Yang penting adalah mengetahui dan menyedari bahawa yang melemahkan kita adalah kita, kaum wanita, sendiri. Kita mampu mempertaruhkan ilmu dan kebolehan kita dalam dunia yang selama ini dilihat sebagai dunia lelaki. Ada yang mungkin menganggap kenyataan ini seksis, tetapi kadang-kadang kita perlu ekstrim untuk memperbaiki kedudukan kita.
Suraya Yaacob sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Dia mempunyai firma guaman sendiri yang berpejabat di Alor Star dan Kuala Lumpur. Dia merupakan ahli jawatankuasa Wanita Umno pusat.
MarinaM says
Kalau wanita perlu berfikir sebagai pemimpin bagi seluruh masyarakat, mengapa kita masih lagi ada sayap Wanita dan Puteri dalam parti politik? Bubarkan saja!
Dan aneh ya, mengapa dalam biodata Suraya, yang pertama disebut adalah statusnya sebagai isteri dan ibu? Adakah kaum lelaki diidentifikasikan begitu?
pl says
Hmm…semua orang, tak kira wanita atau lelaki, sepatutnya berfikiran terbuka…tapi YB tak cakap pun kumpulan wanita mana yang hanya mahu jadi juara di kelompok sendiri…Wanita Umno?
Dan jika “semua mengetahui dan mengakui bahawa wanita sudah diperkasa, mampu, dan setanding dengan lelaki”, kenapa hanya seorang wanita sahaja yang berjaya dipilih memasuki Majlis Tertinggi Umno? Kekurangan wanita yang berkemampuan dalam Umno, atau…?