Ramai yang bersembahyang (© Kaikai / Dreamstime)
PAGI Aidilfitri tahun ini, hujan turun merata-rata di Kedah. Namun, Masjid Alor Merah tetap sarat dengan jemaah solat Aidilfitri. Berbeza sungguh suasananya berbanding dengan malam-malam sebelum hari raya.
Di bulan Ramadan, jemaah terawih tidak sampai lima saf pun, tapi pada Aidilfitri, jemaah yang datang lewat terpaksa berdiri di luar masjid dan menunggu untuk mengisi celah-celah saf yang ada. Begitulah ramainya kaum Muslimin dan Muslimat yang balik kampung tiap-tiap tahun untuk beraya, dan saya pasti senario ini tidak khusus kepada bandaraya Alor Star sahaja.
Abang saya selalu mengejek saya kerana khusyuk mendengar khutbah Aidilfitri. Dia geli hati melihat bagaimana adiknya yang sudah besar panjang ini memakai air muka remaja semula.
(© Kiankhoon / Dreamstime)
Selain menyentuh perkara-perkara biasa — seperti menjaga akhlak, tidak lupa menunaikan zakat fitrah dan merapatkan silatur rahim sesama umat — khutbah tahun ini memperingatkan jemaah supaya bersifat lebih cermat dalam keadaan ekonomi yang agak membimbangkan. Tuan khatib bukan sahaja mengingatkan para pengguna supaya berhati-hati dalam urusan perbelanjaan, tetapi menasihatkan para peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan tidak meletakkan harga barang-barang terlalu tinggi. Tegasnya, lebih afdal jika peniaga mempertimbangkan keperluan pembeli yang tertekan dan bukan isu keuntungan semata-mata.
Sebahagian daripada khutbah tersebut pula bersifat amaran supaya tidak melakukan maksiat. Kata tuan khatib, musuh-musuh Islam sentiasa merancang kebinasaan umat Islam dengan mengatur pelbagai strategi. Dari hiburan tanpa batasan ke pergaulan bebas ke fesyen pakaian yang tidak senonoh, musuh-musuh Islam amatlah gembira apabila melihat Muslimin dan Muslimat tumbang akibat pengaruh-pengaruh buruk ini.
Awas musuh Islam!
Suatu ketika dulu, saya memang berasa takut apabila mendengar khutbah sebegini, tidak kira ketika Aidilfitri atau solat Jumaat. Sebab dari zaman kanak-kanak lagi, saya memang meminati muzik dan dunia hiburan. Saya juga banyak bercampur dengan budak perempuan, hasil pemindahan saya dari Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar (yang semua laki-laki) ke Sekolah Kebangsaan Taman Uda (yang bercampur), masa Darjah Lima. Dari kecil lagi saya amatlah takut kalau-kalau saya sendiri sudah terperangkap oleh “musuh-musuh” Islam.
RMIT di Melbourne (Domain awam)
Perasaan takut ini terbawa-bawa sampailah saya melangkah ke alam universiti di Melbourne, Australia. Mula-mula, saya merasa seronok juga menunaikan solat Jumaat di masjid RMIT University. Saya ingat khutbah yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dari Australia, Pakistan dan Timur Tengah mungkin tidak begitu menakutkan.
Saya salah. Khutbah mereka ini, yang disampaikan begitu lancarnya di dalam Bahasa Inggeris, jauh lebih menakutkan daripada khutbah yang biasa saya dengar di Alor Merah dalam loghat Kedah.
Muslimat yang tidak menutup aurat perlu diserbu dan ditakutkan. Golongan Yahudi perlu diperangi habis-habisan. Jangan terlalu banyak bergaul dengan pelajar kafir di kampus, sebaliknya banyakkan teman-teman beragama Islam. Bunuh semua kaum gay dan lesbian. Sokonglah pemerintahan Taliban di Afghanistan.
Tiap-tiap minggu, saya rasa macam nak menangis mendengar khutbah sedemikian. Di universiti, saya telah menjadi rapat dengan pelajar-pelajar dari Australia, Bosnia, Singapura, Malaysia, Thailand, Nepal dan Indonesia. Ada yang beragama Islam, tetapi majoritinya bukan Islam. Ramai di antaranya perempuan. Ada yang berketurunan Yahudi. Ada yang gay dan ada yang lesbian.
Tetapi mereka semua mengambil berat terhadap saya. Merekalah keluarga saya apabila saya keseorangan di Melbourne. Merekalah yang membantu apabila saya menghadapi masalah. Dan saya juga membantu mereka. Kami makan bersama, mengulangkaji bersama, menyertai pementasan teater bersama, menyanyi dan jamming bersama, menonton wayang bersama. Dan saya merasa seperti amaran dalam tiap-tiap khutbah Jumaat itu ditujukan khas kepada saya.
Jangan takut kepada Islam
Tapi saya ingat lagi, ada satu khutbah Jumaat yang memberi harapan baru kepada saya. Khatibnya seorang pelajar yang bersopan santun dari Pakistan. Suaranya lembut. Katanya, Islam tidak susah. Islam itu indah. Kita jangan takut kepada Islam, dan jangan takut kepada Allah.
al-Quran (© Crystalina @ Flickr)
Buktinya di dalam al-Quran sendiri. Bukankah setiap surah dalam al-Quran dimulakan dengan kalimah basmallah? Bukankah kita memulakan setiap pekerjaan kita sebagai orang Islam dengan mengucapkan basmallah?
Dan apakah maksud kalimah tersebut? Maksudnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Allah mengampun kita semua, Allah mengasihi kita semua. Jadi kita jangan takut.
Sejuk hati saya mendengar khutbah abang Pakistan ini. Dari saat itu, saya menanti kemunculannya setiap hari Jumaat. Tapi beliau jarang berkhutbah selepas itu. Seorang pemuda Australia berketurunan Arab pula yang banyak berkhutbah — beliaulah yang sering mengajak jemaah supaya memutuskan talian dengan golongan kafir, memerangi Yahudi dan menghukum mereka yang gay dan lesbian. Sejak itu, saya memilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Jeffcott, walaupun sebahagian besar khutbahnya dalam bahasa Arab dan saya tidak faham sepatah perkataan pun.
Tetapi mungkin saya juga yang bersalah. Suatu ketika sebelum itu, saya dijemput oleh seorang abang senior dari Malaysia untuk memberikan khutbah Jumaat di masjid RMIT. Tetapi masa itu, saya masih takut dengan pemuda Arab yang bengis itu. Dan saya merasa amatlah kekurangan dalam ilmu agama. Jadi saya menolak tawaran tersebut.
Namun, menyesal sekarang tidak berguna. Dan ada hikmahnya saya tidak menerima tawaran untuk menjadi khatib sembahyang Jumaat di RMIT University.
Hikmah yang tersembunyi
Saya teringat kepada arwah Zaitun Mohamed Kasim, atau lebih mesra dipanggil Toni, yang saya amat sayangi. Saya pernah menyaksikan satu perbincangan di antara Toni dengan seorang mufti mazhab Deoband dari India.
Toni sedang menceritakan perbezaan di antara pelaksanaan undang-undang faraid dari negara ke negara dalam dunia Islam. Tuan mufti amatlah tercabar apabila mendengar bahawa pembahagian harta mengikut faraid dilakukan dengan cara yang berlainan di negara-negara seperti Iran, Turki, Mesir, Maghribi, Indonesia dan Singapura.
Toni Kasim (Sumbangan WCI2) “Itu bukan Islam yang sebenar!” jerkah tuan mufti. Dengan penuh kasih sayang, arwah Toni menegur tuan mufti. “Mufti sahab, saya rasa mungkin mufti-mufti dari Maghribi ke Singapura akan terkilan mendengar tuduhan macam itu. Sebab bagi mereka, itulah pemahaman dalam konteks masing-masing yang mampu memberi keadilan dan kesaksamaan yang dituntut oleh Syariah. Bagaimana pula kalau mereka melihat pemahaman mufti sahab dan menuduh ajaran mufti sahab sendiri sebagai ‘bukan Islam sebenar’?”
Mufti sahab terdiam. Tapi kami yang berdebar-debar menantikan satu pertengkaran yang ganas pula hampa sama sekali. Mufti sahab tersenyum, dan matanya bersinar-sinar. Beliau mengangguk, tanda faham, dan berkata kepada arwah Toni, “Allah yang Maha Berkuasa sudah meletakkan segala sinaran bintang dan curahan warna pelangi dalam mata anda. Apa lagi yang anda mahu?”
Arwah Toni tiada kelayakan rasmi menjadi mufti, dan mufti Deoband tersebut tidak pernah menjadi aktivis hak asasi manusia. Tapi, mereka berdua mampu berbincang dan membawa perspektif masing-masing untuk memperkayakan penghayatan Islam untuk zaman kontemporari.
Jadi saya tidak lagi takut mendengar khutbah Aidilfitri mahupun khutbah Jumaat. Saya bukan remaja lagi. Saya seorang rakyat Malaysia dewasa yang mempunyai pengalaman tersendiri sebagai orang Islam. Dan alangkah indahnya di Malaysia, kerana kita semua ada pengalaman masing-masing yang mampu memperkayakan kerakyatan kita.
Shanon Shah mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua, tanpa mengira identiti, kepercayaan atau keturunan. Maaf zahir dan batin.
karl says
An article to provide inspiration for Muslims today, in an environment which usually just provides confusion and disappointment. Thank you!
Sangsuria says
Terima kasih, bahasa Shanon lembut dan menyentuh hati. Namun, kelembutannya berpegang kepada satu penghayatan rasional yang sangat perlu dalam masyarakat majmuk Malaysia kini.