(Bayang oleh mzacha / sxc.hu)
SEJURUS selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, saya menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia. Bayangkanlah, sebelum itu saya hanya mengenal dunia Alor Setar, Kedah, dari kecil sampailah ke umur 17 tahun. Saya gembira bercampur takut. “Apa yang akan berlaku di Melbourne? Adakah aku akan hilang pelat Kedah aku? Apakah aku akan jatuh cinta? Mahu cari makanan halal di mana?”
Sebaik sampai di Melbourne bersama-sama teman-teman sebiasiswa, saya ternampak seorang lelaki Mat Salleh memberi isyarat lucah kepada saya. Setiap malam dan setiap pagi, solat saya diiringi dengan tangisan kesepian. Saya meluangkan banyak masa di perpustakaan awam Victoria, mencari kalau-kalau ada judul yang mengandungi penawar untuk kesakitan saya.
Satu hari, saya terjumpa pula buku Why I am Not a Muslim oleh Ibn Warraq. Sungguh marah saya, dan mula-mulanya tidak mahu membelek langsung buku ini — takut kalau tersesat. Tapi saya tidak tahan, jadi saya membaca buku tersebut dalam kemarahan saya. Kemudian, berminggu-minggu pula saya tidur tidak nyenyak.
Jadi saya faham kenapa ada di kalangan orang Islam di Malaysia yang kini meradang apabila merasakan bahawa sesetengah pihak menyoal atau mengkritik Islam. Saya rasa saya pun tergolong dalam pihak yang dianggap “menyoal” kerana pernah menulis tentang pempolitikan Islam di Malaysia. Sesetengah pihak, seperti pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Wan Azhar Wan Ahmad, tidak faham kenapa ada orang Islam sendiri yang ingin “menyoal Islam”.
Kajilah sendiri
Yang hairannya, saya pun merasa begitu tentang Ibn Warraq pada mulanya. “Kenapa kamu menghina Islam?” Akan tetapi, beberapa butir analisa Ibn Warraq memang benar. Contohnya, dia berkata bahawa kebanyakan negara Islam tidak mengamalkan sistem demokrasi sepenuhnya. Malahan banyak yang dikepalai diktator zalim. Katanya lagi, orang Islam kebanyakannya tidak tahu berdebat, dan hanya tahu menghukum atau bersikap ganas terhadap pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza.
Saya rasa sebab inilah saya tidak boleh tidur selepas membaca Why I am Not a Muslim. Walaupun ia bersifat menghina Islam, ia juga mengandungi fakta yang sukar disangkal. Saya cuba menyuarakan kegelisahan saya dengan beberapa teman Muslim Malaysia yang lain. Tetapi mereka rata-ratanya takut untuk berbincang. Apa yang saya ingat, mereka menyuruh saya beristighfar dan mengucap.
Tetapi saya mendapati respons ini amatlah kekurangan dan menyedihkan. Secara tidak langsung, mereka membuktikan salah satu hujah Ibn Warraq yang amat menyakitkan hati saya — orang Islam tidak mampu berbahas dengan rasional.
Saya pula inginkan yang sebaliknya — untuk mendalami ilmu tentang agama saya sendiri sebagai ubat buat kegelisahan saya. Saya mula merasa tidak cukup jika hanya menunaikan rukun Islam — saya juga perlu menghayati agama sendiri dengan lebih mendalam.
Maka saya pun bermulalah membaca terjemahan kitab suci Al Quran dan hadith buat penghayatan sendiri. Saya pun membelilah terjemahan Al Quran yang dipromosi oleh salah seorang pelajar Islam dari Australia. Tetapi terjemahan ini saya rasa sangat susah untuk dibaca — ada nota penjelasan yang berjela-jela dalam kurungan dan sebagainya. Yang hairannya, inilah salah satu edisi yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.
Alangkah terkejutnya saya apabila akhirnya mendapat tahu bahawa terdapat pelbagai terjemahan Al Quran. Saya memilih untuk membaca versi Abdullah Yusuf Ali dulu. Barulah saya dapat mengikuti teksnya dan memahaminya dengan mudah. Kini, saya merujuk kepada beberapa edisi, termasuklah oleh Mohammed Marmaduke Pickthall, Muhammad Asad, NJ Dawood, dan Ahmed Ali. Pada masa yang sama, saya juga membaca buku tentang kepercayaan Buddha dan Hindu, bergaul dengan sekumpulan pelajar Katolik, dan bertegur sapa dengan pelajar berketurunan Yahudi di universiti saya.
“Degil” dan “biadab”?
Quran terjemahan PickthallKini, saya tidak lagi marah dengan Ibn Warraq, sebaliknya saya merasa sedih. Sedih kerana dia tidak pernah merasa kegembiraan dan ketenangan dalam Islam — walhal saya pula menikmati keimanan yang lebih aman melalui bacaan dan penghayatan sendiri. Lebih banyak saya kaji, lebih mudah saya dapat membezakan polemik anti-Islamnya dan fakta yang perlu diakui dan dipertimbangkan oleh umat Islam.
Dan ini pula menyebabkan saya merasa sedih apabila membaca komentar seperti yang ditulis oleh pengarah Ikim. Senang saja beliau membidas semua pihak yang menyoal atau mengkritik sistem perundangan Islam sebagai “atheists, agnostics, sophists and secularists”. Sebagai seorang Islam, saya mengucap apabila membaca kenyataan sebegini. Bukankah hanya Allah yang Maha Esa yang mampu menilai niat dan isi hati setiap insan?
Dr Wan Azhar berkata bahawa orang Islam yang menyoal itu “degil”, dan orang bukan Islam yang menyoal itu “tidak beradab”. Sebenarnya terdapat juga adab apabila kita membincangkan sesuatu perkara. Contohnya, kita tidak boleh membuat serangan peribadi, tidak boleh mengugut pihak yang bertentangan pendapat, mesti menyokong hujah kita dengan fakta, dan tidak boleh terkeluar tajuk.
Senang kalau saya bagi contoh di sini. Pihak A, seorang Islam, bertanya tentang kewajaran atau keadilan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam yang didapati berzina. Pihak B menjawab, “Engkau ni orang Islam betul ke? Atau Islam liberal? Engkau memang sudah sesat!” Respons ini:
(a) tidak kena-mengena dengan hujah Pihak A, yakni terkeluar tajuk;
(b) tidak menjawab hujah Pihak A dengan fakta;
(c) menyerang peribadi Pihak A (“sesat”, menyoal keimanan);
(d) mungkin bersifat ugutan, kerana apabila seseorang itu dianggap “sesat” di Malaysia, dia mungkin boleh didenda atau dipenjarakan.
Bukannya Pihak B terpaksa bersetuju dengan Pihak A. Tetapi biarlah pertentangan pendapat ini mengikut adab perbahasan.
Untuk melanjutkan perbincangan secara membina, kedua-dua pihak A dan B boleh memetik kajian ilmiah oleh pakar Islam yang lain yang mampu memberikan perspektif yang berbeza.
Quran terjemahan Ahmed Ali Berbahas atau mengugut?
Benar, kita perlu merujuk kepada mereka yang lebih arif atau pakar dalam sesuatu bidang agama tentang isu hukum-hakam, aqidah dan ibadat. Tetapi sekarang, pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia memberi kesan terhadap setiap warganegara, termasuk orang bukan Islam.
Jadi kenapa pula mereka yang terkesan oleh undang-undang ini tidak dibenarkan bersuara? Dalam Islam, semua manusia dinilai secara samarata di sisi Allah, seperti yang difirmankan dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” Apa lagi dalam sebuah negara bangsa yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi dengan Islam sebagai agama rasmi?
Penghormatan dan penghayatan terhadap Islam di Malaysia hanya boleh dicapai jika kita mengalu-alukan perbincangan yang terbuka, termasuklah pujian dan kritikan. Jika kita cuba menghalang perbincangan sebegini, pihak “pejuang” Islam akan terus kelu lidah dan gagal membahaskan isu kepentingan umum. Dan pihak yang berprasangka buruk terhadap Islam akan terus merasakan pendirian mereka memang tepat. Saya percaya bahawa ini bukan tuntutan agama saya. Sebab inilah saya sendiri banyak menyoal dan mengkritik usaha untuk menghalang perbincangan tentang isu kepentingan umum.
Dan saya tidak ingin menghukum atau mengugut mereka yang tidak bersetuju dengan saya. Soalannya, apakah mereka sanggup atau mampu berbicara tanpa menghukum atau mengugut orang seperti saya?
Shanon Shah bersyukur kerana diberikan peluang untuk mewawancara ramai tokoh dan cendekiawan Islam di dalam dan di luar Malaysia.
Baca ruangan Secubit Garam terdahulu
The Nut Graph memerlukan bantuan anda
Farouq Omaro says
Memang benar, buku-buku yang mengkritik kepercayaan kita boleh menguatkan lagi iman kita. Tetapi di Malaysia mustahil dapat menjumpai buku-buku yang mengkritik agama Islam. Tetapi pergi sahajalah ke kedai buku agama Islam, begitu banyak buku-buku yang menghina kepercayaan agama Kristian dan Yahudi. Bukan sahaja mengutuk kepercayaan agama Kristian, tetapi sesetengah buku ini menunjukkan bahawa pengetahuan para penulis tentang agama Kristian dan Yahudi adalah sangat cetek sehingga tidak dapat membezakan antara Injil dan Alkitab Kristian (Bible). Jadi, bagaimana pula kita mahu mendidik anak-anak Islam untuk berfikir secara rasional dalam berbahas kalau sekadar hanya mengkritik tetapi tidak mahu dikritik?
sam says
As a Christian, whenever I argue with my fellow Chrisitians about the teaching of Christianity, there is always one guideline to facilitate the argument – we have to present our points based on the teachings of the Holy Bible. Whatever we say without quoting from the Holy Book carries no weight at all and can be ignored.
By referring to the Holy Bible, it gives us a fair ground to present our points based on Biblical facts and contexts and not by how many people agree with us or how influential a person is. In order to have a civilised rational religious debate, the first thing both parties must do is to humble [themselves] before their own God and be prepared to accept and even to agree to the opposite if the case is properly laid out.
Firdaus says
Masalah nya, Shanon, ialah kebanyakan penganut ugama Islam. I am not making a sweeping statement here, kerana kalau kita kaji composisi umat Islam dalam dunia ni, apa yang boleh dinampak dengan jelas ialah umat Islam umumnya adalah miskin dan lemah daripada segi intelek. Cara-cara pengajaran/pelajaran ugama Islam pun menggalakkan umat Islam bersikap begitu.
Di Malaysia, umat Islam lagi teruk disebabkan pengaruhan adat Melayu. Kalau setakat jawab pun dah dikatakan kita kurang ajar (atau “degil”). Habis, nak berbahas cam mana?
Biarlah. You get what you choose in life.
—
Saya rasa bukan penganut yang bermasalah, tetapi sesetengah pihak berkuasa yang menghalang penganut umum daripada berbahas secara terbuka dan berpengetahuan.
Shanon Shah
Columns and Comments Editor
tingtong says
Good to see an open minded Muslim but if you read the whole article, the writer argues for more critical thinking and open debate yet ends up producing some serious inconsistencies in his reasoning:
“Untuk melanjutkan perbincangan secara membina, kedua-dua pihak A dan B boleh memetik kajian ilmiah oleh pakar Islam yang lain yang mampu memberikan perspektif yang berbeza.”
After pointing out the name calling and ad hominim weaknesses of Dr.Wan’s ‘menyoal muslim=degil’ argument, the author’s call for constructive debate still comes from interepretations of a holy text by Islamic experts.
Is he suggesting that a working class Muslim who is too busy to read all the different versions of the Quaran or is illiterate cannot argue the merits of whipping or causing physical pain on another as means of punishment? Can a Muslim be punished for not knowing every rule in the book?
What if a Bible expert wishes to join the debate?
Why can’t an average Malaysian question capital punishment practiced on other Malaysians?
Critical thinking is open to anyone who tries. The author throws in some liberal thoughts but falls back onto the authoritarian thinking.
—
Dear tingtong,
Thanks for your feedback. I believe the operative word in the sentence you take issue with is “boleh” – I was very careful not to say “mesti”. The example was specifically in the context of two Muslims – i.e. those who are practising and believing Muslims – arguing out a point. In classical Islamic commentaries, writers/scholars disagreed with each other freely, but never stooped so low as to kafir-mengkafirkan (mutually excoriate each other as infidels). *That* was the context in which the paragraph was written – it is *one* way of proceeding with the debate, not the *only* way. Besides, I do not see why non-Muslims who are knowledgeable about classical Islamic commentaries should be excluded from the debate.
Furthermore, nowhere in that sentence or anywhere in the article did I argue for, as you put it, “working class Muslims” or “Bible experts” to be excluded from the debate. As long as the rules of debate are followed – no threats, no ad hominems, no red herrings, no passing off opinion as fact – I, like you, don’t see why anybody should be excluded from the discussion.
Shanon Shah
Columns and Comments Editor
the reader says
So…..why Ibn Warraq is not a Muslim? Apakah point2 dia.
—
Saya lupa butir-butirnya. Maklumlah, buku ini diharamkan di Malaysia, dan 14 tahun sudah berlalu setelah saya membacanya di Melbourne. Tapi jika saudara/i melayari pautan yang disertakan dalam artikel ini, saudara/i akan dapat membaca sedikit-sebanyak pendapat Ibn Warraq di dalam wawancaranya dengan wartawan Australia.
Shanon Shah
Columns and Comments Editor
Siti Kasim says
Shanon…you did it again…excellent, excellent piece. You have said things that have been going through my mind all these years. Hence, I never had respect for these people. Hence, this country will forever be condemned if [it] continues to breed such people.
Michael says
A leader in my church once said this: that Faith can be summarised into
F- Facts
A – Action
I – Individual Experience
T – Trust
H – Hope.
Think it applies to all forms of faith. It appears many forget the first form of faith; facts. And that faith doesn’t require you to give up your intellect.
Azri says
Kebanyakan daripada kita telah dididik daripada kecil untuk tidak menyoal-balas dalam apa jua perkara yang telah ditetapkan dalam agama. Walaupun ianya kadangkala bukanlah bersifat agama, tetapi adat semata-mata. Hasil daripada didikan inilah yang menyebabkan kita takut untuk bersuara, takut untuk menyampaikan pendapat dan takut untuk berhujah dengan fakta.
Tetapi dengan adanya ruang maya ini, sedikit sebanyak perbincangan itu boleh dilakukan walaupun ada kalanya kita ditohmah dan dilabel dengan pelbagai rupa.