MENJALANKAN ibadat puasa di London sekarang, saya terasa rindu yang amat terhadap keluarga dan kawan-kawan di Malaysia. Alangkah gembiranya saya apabila membaca nasihat terbaru daripada kolumnis pujaan ramai, Kak Nora, tentang “sensitiviti” Aidilfitri. Terubatlah juga rindu di hati.
Salam sejahtera Kak Nora,
Harap kak berada dalam keadaan yang sihat walafiat. (Er, adakah saya dibenarkan menggunakan perkataan “walafiat”?) Kak, saya menulis surat ini sebab saya dimaklumkan bahawa kak adalah pakar terbaik yang boleh menyelesaikan dilema saya.
Begini, kak. Saya seorang eksekutif pengiklanan di salah sebuah stesen televisyen yang terkemuka di Malaysia. Baru-baru ini majikan saya berkata, apa kata kita buat iklan tentang Hari Raya Aidilfitri? Oleh kerana ramai antara kami terdiri daripada orang bukan Islam, kami berpendapat bahawa kami boleh mencipta iklan khas untuk penonton bukan Islam supaya mereka lebih menghayati Hari Raya Aidilfitri.
Kakak sendiri mesti tahu betapa sensitifnya bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri, kan? Tengok, kalau tersilap masuk hidangan tidak halal dalam promosi Ramadan di suratkhabar boleh kena tindakan serius. Dan tengok, kalau tersilap ajak orang Islam ke majlis kebajikan di tempat ibadat bukan Islam pun boleh kena tindakan serius. Jadi di stesen kami, kami tidak mahu main-main dengan sentimen orang Islam.
Jadi saya sebagai perempuan Cina pun mencadangkan satu konseplah. Macam ini: Ada satu hiaow cabo (terjemahan: perempuan gedik) yang memakai baju seksi ke rumah terbuka kawannya yang beragama Islam. Di rumah terbuka tersebut, hiaow cabo ini makan sampai tak ingat diri, bertepuk/bertampar/berpeluk dengan semua lelaki Islam di sana, dan membawa anak anjing dia sekali untuk disuap. Kemudian ada pengumuman: “Jangan biadap!” Kemudian kita tengok hiaow cabo ini sudah bertukar, dia memakai tudung labuh dan bersembunyi di penjuru rumah bersama-sama dengan orang gaji Indonesia. Kemudian ada pengumuman: “Hormatilah sensitiviti umat Islam sempena Aidilfitri ini!” Kami rasa ini konsep yang sangat bagus dan lucu.
Tapi kakak pun tahu baru-baru ini ada kontroversi besar tentang iklan Ramadan, bukan? Sekarang saya dan rakan sekerja saya pun sudah pening lor. Mahu buat pun susah, tak buat pun susah. Mahu jaga sensitiviti orang Islam, nanti orang bukan Islam marah. Mahu jaga sensitiviti orang bukan Islam, nanti orang Islam marah. Apa kami mahu buat dengan iklan ini? Saya mahu letak jawatanlah. Saya mahu jual insuranslah, senang. Atau jual vitamin. (Tapi kalau vitamin tak ada tanda halal pun nanti saya kena, kan?)
Tolonglah kami, kak. Saya tak bermaksud untuk menyinggung perasaan kakak. Saya tahu kakak orang Melayu dan menulis untuk orang Melayu. Tapi saya benar-benar keliru dan takut sekarang.
Maggie Wong Peik Yin
Petaling Jaya
Apa? Kau tak bermaksud menyinggung perasaan aku? Kau buat iklan macam gini, tulis surat macam gini, kau ingat diri kau tu bagus? Ha? Kau ingat kau tu siapa? Ha? Jangan kacau sarang tebuan! Tunduk! Mengakulah yang aku hebat dan kau hina! Tunduk!
Hikhikhikhikhik. Akak gurau je dik.
Tunduk!
Hikhikhikhikhik. Betul, akak acah je ni. Selamat sejahtera, wahai saudari Maggie.
First of all, akak tidak mendiskriminasi. Kolum ini bukan hanya untuk bangsa Melayu, dik. Kalau surat dari Amerika Selatan pun akak layan, tau? Terutamanya kalau daripada pemain bolasepak yang lincah lagi hensem. (Opocot, habis fadilat puasa akak. Ish.)
Second of all, memang konsep “pengumuman sensitiviti Aidilfitri” adik dan kawan-kawan adik gagal! Bukan hanya kerana mengabaikan stereotaip kaum India di Malaysia, tetapi juga kerana akak rasa macam you all dah salah faham maksud “sensitiviti”.
Betul, akak tahu bahawa di Malaysia sekarang ada ramai ahli politik, “tokoh-tokoh awam” dan sebagainya yang ting tong. Bukan hanya adik yang keliru dan takut — akak juga keliru dan takut.
Akak ada seorang kawan, Kamala, yang akak kenal dari zaman universiti lagi. Lepas dah grad dan baru mula bekerja, kami rajin berkunjung ke flat masing-masing untuk minum teh dan makan vadai sama-sama. Tapi lepas tercetusnya kontroversi Hindraf pada tahun 2007, dia berhenti mengajak akak ke rumahnya. Akak pun serba salah. Was it alls in my imaginations?
Lama-lama akak beranikan diri dan menelefon Kamala. “Eh, you ni ignore I ke?” Akak bertanya dengan muka tebal. Mula-mula dia denial. Tapi lama-lama dia mengaku dan berkata, “I takut nanti you rasa tak suci datang tempat I.” Akak tengking dekat telefon tu, “What? You better beli kuih vadai banyak-banyak ini hari, Kamala, and buat teh masala satu tong! I’m coming now!”
Sekarang, kami masih ada temujanji teh masala dan vadai macam dulu. Tapi akak faham perasaan Kamala, dan akak faham perasaan adik.
Walaupun begitu, adik jangan ting tong sekali dengan orang lain, ya? Adik ada tanggungjawab sebagai eksekutif pengiklanan juga. Akak sangat setuju bahawa rakyat Malaysia masih memerlukan iklan tentang masyarakat majmuk. Tetapi kenapa kita tidak ambil iktibar, misalannya, daripada arwah Yasmin Ahmad? Cuba tengok iklan ni — sampai sekarang akak sebak, tau, bila tengok:
Akak tahu, mungkin adik takut klise. Tapi apa itu klise? Penggunaan perkataan klise itu pun sudah menjadi klise. Dik, bila suara-suara ting tong semakin memekak, klise-klise seperti iklan Raya Petronas menjadi lebih penting. Dan carilah ilham di mana saja, dik — filem arwah Tan Sri P Ramlee, contohnya, atau lagu arwah Datuk Sudirman atau arwah Puan Sri Saloma, misalannya. Walaupun mereka semuanya orang Melayu yang beragama Islam, karya mereka disanjung oleh masyarakat Malaysia yang majmuk. Bila keadaan semakin ting tong, adik dan kawan-kawan adik perlu lebih kreatif mempertahankan masyarakat majmuk.
http://www.youtube.com/watch?v=ETtpefw7BNM
Buat penutup kali ini, akak hidangkan sajak favourite akak nukilan Sasterawan Negara, arwah Datuk Usman Awang. Salam nakal dan ikhlas, dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca akak. Maaf zahir dan batin.
Seorang perempuan bersamfu hijau
dari tingkap dapur rumahnya berteriak
dan bertanya sambil membungkus Nien Kau
lalu tertawa mengangkat tudung periuk
wap panas menjulang harum kanji nasi
Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak
perempuan berbaju kurung menjawab senyum
sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat
dan sesekali menyudip serunding di kuali
segar selera dicecah baunya yang wangi.
Dari kejauhan suara-suara muda yang riang
pekikan dan tertawa di antara letupan mercun
dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum
tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik
hati mereka bersalaman dan saling berpelukan
atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama.
Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan
mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan
dan dari kedua telaga hati berkocak mesra
mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya
[related-posts]
Shanon Shah mengucapkan kepada semua pembaca Secubit Garam: Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Bagi yang balik kampung, jangan terburu-buru. Biar lambat asalkan selamat.