KELIRU. Panik. Kompius. Gundah gulana. Ting tong. Inilah kedudukan emosi saya tatkala tirai 2014 disingkap.
Di London, saya berperuk di perpustakaan, menelaah artikel demi artikel untuk tesis ijazah kedoktoran falsafah manakala rakyat jelata di sini dengan begitu riangnya menyambut Hari Natal dan Tahun Baru. Hati kecil saya terpanggil untuk mengetahui perkembangan terkini di tanahair yang dirindui. Maka saya melayari laman sesawang – nah, saya dikejutkan dengan kontroversi perampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Saya membaca komen dan kritikan daripada pelbagai pihak yang semuanya mendakwa berpihak kepada kebenaran. Semua tidak membantu – saya menjadi semakin keliru, panik, kompius, gundah gulana dan ting tong! Maka, saya cuba menenangkan perasaan dengan mencari ilham daripada idola tersohor saya, iaitu Kak Nora. Memang, salah saya sendiri kerana lama tidak mengikuti tulisan Kak Nora. Tetapi alangkah leganya hati saya apabila menemui artikel terbarunya. Nikmatilah ia di sini, semoga dapat dijadikan teladan untuk kita semua, wallahua’lam:
Assalamualaikum Kak Nora,
Kak, tolonglah saya. Kak mesti up-to-dates dengan isu panas terkini, iaitu perampasan Bible oleh Jais tempoh hari kerana menyalahgunakan kalimah “Allah”. Kak, betulkah ada orang Kristian yang masih memakai kalimah “Allah”? Kenapa begitu, kak? Tidakkah mereka faham betapa perbuatan ini boleh mengelirukan dan menyakitkan hati umat Islam?
Macam saya, kak. Saya berpelajaran tinggi sampai ke tahap sarjana. Tapi ini tidak bermaksud saya kadang-kadang tidak kompius. Nah, tempoh hari, kak, kan terpampang dekat suratkhabar semua, Mandela meninggal dunia. Saya terdiam sebab saya fikir, eh, bukankah dia anak gadis yang masih berusia remaja? Siapa yang bunuh dia? Amerika Syarikat dengan sekutu Yahudi mereka?
Rupa-rupanya saya kompius, kak, sebab dalam otak saya budak Pakistan itu, Malala, yang satu lagi ialah mendiang Mandela, tokoh Afrika Selatan. Walaupun ini satu babak yang agak memalukan bagi saya, saya sanggup berkongsi di sini. Imagines, kak, ini baru nama manusia yang mengelirukan saya. Apa lagi kalau menyentuh kalimah suci? Ke manakah akidah dan iman saya nanti? Ke laut, mungkin! Astaghfirullah. (Ya, kak, saya mengucap sekarang.)
Kawan-kawan saya tidak banyak membantu. Malah mereka lebih merumitkan keadaan. Yang satunya memekik di telinga saya, kita sepatutnya sokong Jais dan buat demonstrasi depan gereja. Yang satu lagi berkata tidak, kita sepatutnya beri sokongan kepada kawan-kawan Kristian kita sebab tindakan Jais memang melampau. Satu lagi berkata, ish, ini semua menyusahkan hidup tak tentu hala, why nots we just go shoppings?
Saya bukannya orang yang tidak berhati perut, kak. Bukan saya nak memusuhi orang Kristian. Tapi saya perlukan kepastian dan keamanan dalam hidup saya sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah s.w.t. Malangnya, kak, sekarang saya selalu berjalan dengan kepala tunduk, seperti siput babi. Kenapa siput babi selalu berjalan dengan kepala tunduk? Sebab dia banyak berfikir – adakah aku siput atau babi?
Sekian, saya berdebar-debar dalam sabar menantikan jawapan Kak Nora.
Mat Som
Bukit Antarabangsa, Ampang
Waalaikumussalam wahai Mat Som yang dikasihani,
Tarik nafas, dik. Hembus. Tarik lagi. Hembus. Tenangkan fikiran. Bukan kosongkan fikiran – takut jadi yoga. Itu haram.
Akak sungguh bersimpati dengan dilema adik, sebab fikiran akak pun terlalulah kusut dan ting tong akibat perkembangan terkini. Akak tidaklah berpelajaran setinggi adik, jadi akak lagilah senang kompius daripada adik. Adik ingat cerita adik memalukan? Akak ada cerita yang lebih memalukan. Masa sekolah menengah dulu, ada cikgu Sejarah akak bertanya dalam kelas: “Siapakah pengasas Umno? Nora, jawab!” Dengan gugupnya akak menjawab, “Jaafar Onn!” Seluruh kelas mentertawakan akak, dik. Untuk maklumat pembaca, jawapan betul ialah arwah Datuk Onn Jaafar. Jangan marah, uols!
Tapi jangan bimbang, dik. Bantuan sudah pun tiba untuk orang macam kita. Minggu lepas, akak ada terima satu kenyataan media tentang hasil kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Islam Malaysia (Kustim). Pakar-pakar Kustim ini telah berjaya menghasilkan program perisian yang mampu mengenalpasti sama ada sebarang kalimah, label, jenama atau konsep betul-betul halal dipakai di sisi Islam.
Perisian ini belum diberikan nama lagi kerana Kustim sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum membuat pelancaran besar-besaran. Tapi akak dijemput sebagai salah satu sampel pengguna perintis untuk mencuba try test beberapa contoh. Keputusannya amat memberangsangkan! Kau ada? Kalau tak ada, akak kongsi di sini:
Wajar dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan
Bunga tahi ayam – seperti siput babi, kita perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah ini. Adakah kita merujuk kepada spesis bunga tertentu? Atau adakah kita membuat pemerhatian tentang bentuk atau rupa segumpal najis ayam?
McDonald’s – kerana ia diasaskan oleh dua adik-beradik warganegara Amerika berketurunan Scotland. Di Scotland, orang lelaki memakai kilt yang menyerupai skirt, maka boleh dikatakan cuba menyerupai perempuan iaitu satu jenayah syariah di Malaysia. Jika kemaruk makanan segera, silalah ke Pizza Hut, atau Pondok Pizza, kerana “pondok” merupakan bentuk bangunan Nusantara yang asli, dan anda boleh berlindung di bawahnya tanpa was-was.
Manchester United – kerana logonya mengemukakan imej syaitan yang berwarna merah (“Red Devil”). Maka, menyokong pasukan Manchester United boleh membawa kepada ajaran sesat, syirik atau murtad. Jika anda peminat bolasepak, silalah sokong pasukan lain, sebaik-baiknya yang mengupah pemain Islam.
Francissca Peter (Fran) – sebab walaupun beliau fasih berbahasa Melayu, bersuara lunak dan muka pun macam Melayu, tapi pada hakikatnya namanya Mat Salleh dan beliau bukan beragama Islam, jadi bakal mengelirukan orang.
Tidak berapa mengelirukan tetapi lebih baik dikemukakan saja kepada Majlis Fatwa Kebangsaan
Hans Isaac – sebab walaupun beliau tidak beragama Islam dan nama beliau pun Mat Salleh, beliau sangat fasih berbahasa Melayu, mempunyai rupa paras mirip-mirip Melayu dan, paling penting, beliau cangat hencem.
Tony Eusoff – sebab walaupun beliau tidak beragama Islam dan memiliki rupa paras ala-ala Pan Asian, beliau sebenarnya fasih berbahasa Melayu, bersuara lunak, mempunyai nama separa Melayu dan, paling pentingnya, hencem cangat.
K-Pop – sebenarnya wajar dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana merupakan satu lagi bakal pembawa maksiat, tapi this is so 2012, i.e. the ketinggalan zaman.
Tapai – ada yang kata tapai mengandungi alkohol, dan alkohol haram dimakan, tetapi ada yang kata untuk kes tapai, buang saja yang jernih, ambil yang keruh.
Ini cuma beberapa contoh, dik. Kita tunggu perkembangan seterusnya. Semoga adik merasa lebih yakin dan aman.
Salam ikhlas dan nakal,
Kak Nora
Shanon Shah pernah terperanjat apabila mendengar seorang teman Indonesia yang beragama Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam doa “Salam Maria”.
Sunna Sutta says
Kepada Kak Nora melalui Mat Som,
Fatwa dah ada yang mengharamkan penyokong MU di kalangan kaum Islam memakai jersey MU kerana ada logo “Red Devil”. Malulah kita di Malaysia kerana dilaporkan di seluruh dunia:
http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/asia/malaysia/7900366/Muslims-ban-Manchester-United-shirts-over-red-devil-image.html
mohd razib nasrun says
Assalamualaikum.
Saya seorang warga Malaysia biasa yang hanya bermodal doa dan bahasa. Mungkin ini boleh membantu saudara.
Tiada larangan non-Muslim menggunakan kalimah Allah dalam Al Quran, Al Hadith dan undang-undang Malaysia yang boleh dikuatkuasakan. Isu ini berpanjangan kerana amalan “double standard’ kerajaan terhadap larangan penggunaan kalimah tersebut.
Terima kasih.
BBBangi says
@ mohd razib nasrun
Ia betul tiada larangan, tapi banyak larangan dalam al-Quran, Hadith dan semua undang Islam, kalau mengatakan Allah ada anak.
Bahkan mereka yang redha dengan membenarkan orang lain mengatakan Allah ada anak, boleh membawa kepada kekufuran.
Jeda says
Nama pun kepercayaan…soalnya tauhid..kami Kristian hanya percaya kepada nabi-nabi terdahulu sehinggalah Esa..tidak pada Muhammad kerana Esa adalah alpha dan omega, tiada lagi selepas Yang Esa..
Jeda says
Bab Anak Tuhan, ditegaskan ia adalah untuk maksud hubungan erat seperti apabila orang-orang tua memanggil anak atau pun children orang-orang muda yang bukan anak kandungnya…ia adalah hubungan tulen (tidak campur/bukan duniawi) antara Tuhan dan Esa seperti Bapa kepada Anak..bukan seperti dakwaan anak kandungan duniawi! Itu adalah blasphemy terhadap Tuhan/Esa yang Satu!
Jeda says
Isunya adalah penterjemahan Quran dan hadith Muhammad dalam Quran. Nabi-nabi dalam kitab-kitab 12 semuanya menyata satukan kepada Satu Ketuhanan yang Esa…sehinggalah agama baru muncul di tahun 600 tahun kemudian selepas Esa dinaikkan ke syurga pulang ke sisi Tuhan Bapanya…