SEMENJAK memulakan pengajian sarjana saya di London, saya kerap melayari internet untuk mencari ilham tentang kaedah-kaedah penyelidikan. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa kolumnis pujaan ramai, Kak Nora, menjadi tumpuan kajian ilmiah! Ikutilah perkembangannya:
Assalamualaikum saudari Noranisah binti Minit (atau Kak Nora),
Saya pelajar akhir tahun Prasiswazah Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Tanahair Se-Malaysia, Kerteh. Saya sedang menyiapkan projek saya tentang penghayatan undang-undang syariah di kalangan rakyat Malaysia. Saya sangat berbesar hati jika saudari boleh meluangkan sedikit masa untuk merakamkan jawapan kepada lima soalan di bawah dengan memilih a, b, c, atau d. Jika “d” diminta saudari beri penerangan lanjut.
Apakah yang anda faham tentang “syariah”?
a) Undang-undang yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk hamba-Nya.
b) Aturan yang sempurna dari Allah, dirangkumi oleh wahyu yang Allah turunkan demi kesejahteraan umat manusia.
c) Undang-undang ciptaan manusia yang boleh diubah mengikut citarasa masyarakat.
d)
Pada pandangan anda, apabila seseorang melakukan larangan Allah contohnya mengenakan tattoo kalimah “Allah” seperti Erykah Badu, apakah akibatnya?
a) Menghina hukum syariah.
b) Halal di sisi hukum syariah.
c) Tidak dirangkumi oleh hukum syariah.
d)
Pada pandangan anda, apabila suratkhabar memaparkan imej yang menghina Islam seperti tattoo Erykah Badu, adakah wajar ia didenda?
a) Wajar digantung atau didenda.
b) Wajar dijatuhkan hukuman lebih keras.
c) Tidak wajar sama sekali diambil apa-apa tindakan.
d)
Pada pandangan anda, antara anasir yang menggugat kedudukan syariah di Malaysia, adakah ia lebih kuat di kalangan Islam liberal atau Islamofobia Barat?
a) Kedua-duanya sama kuat.
b) Islam liberal lebih bahaya.
c) Islamofobia Barat lebih bahaya.
d)
Pada pandangan anda, apakah peranan Muslimin dan Muslimat dalam mempertahankan undang-undang syariah apabila ia dihina oleh bukan Islam? Sedangkan apabila kuasa Barat merasakan Islam menghina bukan Islam, ia membalas dengan perang bersenjata ke atas umat Islam?
a) Perlu mempertahankan syariah sehingga mati.
b) Perlu mempertahankan melalui proses demokrasi.
c) Tidak perlu membuat apa-apa kerana tiada kaitan antara kedua-dua isu.
d)
Sekian, terima kasih. Semoga Allah memberkati saudari.
Mohd Azam bin Mohd Awal
Kerteh
Waalaikumussalam saudara Mohd Azam (atau Dik Az),
Akak berbesar hati kerana adik berbesar hati menghantar survey kepada akak. Sama-samalah hati kita membesar. Also, akak juga berbesar hati kerana adik memberi kebenaran kepada akak untuk memuatkan respons ini dalam kolum akak yang terkini.
Dik, berhari-hari akak berfikir sampai pecah kepala, tau. Kemudian takut pula jika akak jawab salah, mana tahu tiba-tiba mengundang kemurkaan Allah. Anyway, ini dia nukilan akak. Segala yang baik datang daripada akak, segala yang buruk itu takdir. Gurau! (Alamak, tiba-tiba terdengar dentuman guruh.) Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah terbaik untuk kita.
Apakah yang anda faham tentang “syariah”?
a) Undang-undang yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk hamba-Nya.
b) Aturan yang sempurna dari Allah, dirangkumi oleh wahyu yang Allah turunkan demi kesejahteraan umat manusia.
c) Undang-undang ciptaan manusia yang boleh diubah mengikut citarasa masyarakat.
d) Jawapan lain: Akak sungguh kompius. Menurut allayarhamah Ustazah Rogayah yang banyak bersabar dengan akak ketika zaman kanak-kanak dulu, sebenarnya ada beza di antara “syariah” dan “fiqh”. Dalam bahasa moden, syariah adalah apa yang ilahi dan fiqh adalah pemahaman manusia tentang apa yang ilahi. Maka, apa yang dinamakan “undang-undang syariah” kini sebenarnya adalah fiqh. So fiqh memang boleh dibahaskan dan dipinda bergantung kepada pemahaman manusia yang serba tidak lengkap dan sentiasa berkembang, asalkan ia berlandaskan usul al-fiqh. Jika survey adik dimantapkan dengan penerangan ini, akak akan menjawab (b). However walau bagaimanapun, mungkin akak yang salah faham – wallahu a’lam.
Pada pandangan anda, apabila seseorang melakukan larangan Allah contohnya mengenakan tattoo kalimah “Allah” seperti Erykah Badu, apakah kesannya terhadap undang-undang syariah?
a) Menghina hukum syariah.
b) Halal di sisi hukum syariah.
c) Tidak dirangkumi oleh hukum syariah.
d) Jawapan lain: Sila lihat jawapan di atas. Jika syariah itu adalah aturan yang sempurna dari Allah, mustahil kejadian seperti ini boleh menggugat sesuatu yang sempurna. Nak kata halal atau tidak, itu bidang kuasa Allah, bukan bidang kuasa akak especially for Erykah Badu, seorang perempuan bukan Islam. However walau bagaimanapun, whether dirangkumi oleh syariah atau tidak, bagi akak syariah pertama sekalinya ialah penghayatan rohaniah yang membentuk segala niat dan amalan kita ke arah kebaikan sama ada dari segi ibadat atau muamalat. Jadi akak rasa soalan ini terlalu terhad. Syariah bukannya satu objek atau manusia yang cemburu.
Pada pandangan anda, apabila suratkhabar memaparkan imej yang menghina Islam seperti tattoo Erykah Badu, adakah wajar ia digantung atau didenda dari sudut syariah?
a) Wajar digantung atau didenda.
b) Wajar dijatuhkan hukuman lebih keras.
c) Tidak wajar sama sekali diambil apa-apa tindakan.
d) Jawapan lain: Lihat jawapan untuk soalan 2. And another things – awatlah kita gedik sangat nak menghukum itu dan ini? Depa kata sorry, tadak niat pun nak menghina umat Islam. Bukankah Allah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” Ini tidak – ada pula orang ting tong di kalangan kita yang tiba-tiba syok nak mengugut si Erykah Badu dekat laman Pesbook dia. Very not the nice.
Pada pandangan anda, antara anasir yang menggugat kedudukan syariah, adakah ia lebih kuat di kalangan Islam liberal atau Islamofobia Barat?
a) Kedua-duanya sama kuat.
b) Islam liberal lebih bahaya.
c) Islamofobia Barat lebih bahaya.
d) Jawapan lain: Maaf, akak rasa soalan ini ting tong. Okay, banyak yang akak tidak setuju dengan pendukung Islam liberal dan akak juga sakit hati dengan Islamofobia yang selalu menghina tudung di kepala akak. But let’s get it right, dik. Masalah paling utama ialah kezaliman dan ketidakadilan, atau penganiayaan terhadap mereka yang lemah atau terpinggir. Ini yang kita patut lawan. Another thing – akak rasa sekarang mudah sangat bila kita tidak suka sesuatu pandangan, kita labelkan sebagai “Islam liberal” atau “Islamofobia”. Kita akan tahu Islamofobia yang sebenar bila kita berdepan dengannya dik.
Pada pandangan anda, apakah peranan Muslimin dan Muslimat dalam mempertahankan undang-undang syariah apabila ia dihina oleh bukan Islam? Sedangkan apabila kuasa Barat merasakan Islam menghina bukan Islam, ia membalas dengan perang bersenjata ke atas umat Islam?
a) Perlu mempertahankan syariah sehingga mati.
b) Perlu mempertahankan melalui proses demokrasi.
c) Tidak perlu membuat apa-apa kerana tiada kaitan antara kedua-dua isu.
d) Jawapan lain: Satu lagi soalan ting tong. Of course akak tidak bersetuju bila kuasa-kuasa besar memangsakan umat Islam yang tidak bersalah kononnya atas tindakan segelintir yang melampau. But then, adik bukalah mata. Dulu bila Amerika Syarikat berperang dengan Vietnam Utara, mereka itu orang Islam ke? Sekarang bila mereka mengugut Venezuela – itu negara Islam ke? Sometimes it about kuasa, nots Islamofobia.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh stereotaip semua rakyat Barat. Ramai juga di sana yang mempertahankan hak orang Islam. Bagi akak, persoalannya bukan tentang Islam lawan bukan Islam, tetapi tentang mereka yang menegakkan keadilan dan mereka yang mempertahankan kezaliman. And syariah is about keadilan.
Dik, akak minta maaf kalau terkasar atau terlalu emosi ye? Akak doakan kejayaan adik, mudah-mudahan Allah memberkati adik.
Salam ikhlas dan nakal,
Kak Nora
Shanon Shah tidak suka apabila sesuatu topik dibincangkan tanpa disertai maklumat yang lengkap.
nurfika says
“..Saya pelajar akhir tahun Prasiswazah Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Tanahair Se-Malaysia, Kerteh..”
akademi ini tidak wujud..atau typo?
megabigblur says
Saudari Nurfika, this isn’t a real advice column, it’s a parody. Sorry to TNG editors for bocoring your rahsia 😉