SETELAH lebih setahun tercetusnya pergolakan di dunia Arab, saya masih khuatir dengan keadaan di sana. Sedih bila melihat rakyat jelata terbunuh dan cedera akibat tindakan kerajaan sendiri, terutamanya di Syria.
Setelah terlalu banyak membaca laporan dari sumber-sumber bahasa Inggeris, saya cuba pula untuk mencari komentar dalam bahasa Melayu. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa kolumnis pujaan saya, Kak Nora, juga dilanda kegusaran yang sama. Ikutilah tulisannya tentang perkembangan di Timur Tengah.
Minggu ini akak tak ada nasihat untuk pembaca, sebab minggu ini akak sendiri yang memerlukan nasihat. Ya, pembaca yang budiman sekalian, akak minta maaf. Akak sebenarnya keliru dan tertekan dengan beberapa soalan yang dikemukakan kepada akak baru-baru ini. Ting tong kepala hotak akak dijadikannya!
Akak okay bila you alls tanya tentang sukan, pelajaran, the cinta of the monkey, dan sebagainya. Even pasal isu liwat akak ada pendapat sendiri. Tapi kebelakangan ini, ada di antara you alls yang gundah gulana dengan pergolakan di dunia Arab. Itu tak apa lagi. Yang memeningkan akak, you alls bertanya pula nasihat akak tentang kecemasan di Syria, Mesir, Iran, Bahrain, Palestin, dan sebagainya. You alls nak akak berikan panduan untuk tindakan selanjutnya. Akak penulis kolum nasihat, bukannya perdana menteri!
Tapi nampaknya akhirnya akak ada juga nasihat untuk dikongsikan. Begini, adik-adik sekalian. Dalam keadaan emosi terganggu, akak telah menghantar e-mel ringkas kepada bonda akak yang tersayang, Hajah Jamilah Haji Shukor atau dikenali dengan mesra di kampung sebagai Mak Jam. Ini mesej akak:
“Assalamualaikum, mak. Mak, kita dah tak larat nak bagi nasihat dekat pembaca. Kita hanya tahu buat jenaka, tapi pembaca sekarang nak tahu apa yang nak dibuat tentang pemberontakan di Timur Tengah! Apa kita nak buat? Ini soalan untuk pakar politik, kita cuma pakar lipstik! Maaf ya, mak. Nak lepas tension je. I lap you.”
Dan ini pula nasihat Mak Jam kepada akak:
Waalaikumussalam, nak. Bawa bertenang. Mengucap. Bernafas. Nak tahu pendapat mak? Ini dia.
Pembaca tak nak engkau menjawab sebagai ahli politik, nak. Diorang tak nak engkau memandai-mandai dalam bidang yang engkau langsung tak tahu. Tapi diorang hendakkan nasihat engkau sebagai kakak atau mungkin sebagai teman. Jadi tak payah risau kalau kau tak pakar dalam bidang ini sebab kau tak perlu menjawab sebagai pakar. Lagi satu, kau ingat semua pakar dekat luar sana memang pandai? Kadang-kadang diorang pun membuta tuli je.
Ha, tapi kau kan wartawan? Kalau kau sendiri tiada kepakaran, kau masih boleh menilai pro dan kontra atau jurang pendapat antara pakar-pakar di luar sana, bukan?
Mak memang faham tentang kerisauan anak-anak muda sekarang. Bila mak tengok berita Al Jazeera atau Awani tentang keganasan di Syria, mak sendiri rasa macam nak menangis. Kadang-kadang mak tak terdengar pun laporan dari pemberita sebab mak tak berhenti-henti mengucap dan beristighfar. Tempoh hari sampai bercucur-cucuran airmata mak. Bila jadi macam tu, abah engkau terus mencapai emak. Disuruhnya mak buka internet.
Sama-sama kami duduk berjam-jam melayari berita tentang Syria. Terjumpalah pula satu laman web yang memuatkan tindakan yang boleh diambil untuk menghentikan keganasan di sana. Katanya kita boleh hantar e-mel kepada kedutaan Syria di Amerika, dengan alamatnya semua diberi. Mak dengan abah kau dengan bahasa Inggeris tunggang terbalik, the top is the bottom, the up is the down, pun menulislah e-mel kepada duta Syria. Tak tahulah emel itu sampai atau tidak, wallahua’lam.
Kau terpegun tak dengan karenah abah kau? Mak sendiri terpegun. Sebab kalau 15 atau 20 tahun lalu, kami tak berfikir macam ini tau. Sebab engkaulah yang kami boleh pandai guna internet, baca berita, hantar e-mel. Nah, sekarang mak boleh tulis e-mel kepada kau, walaupun ambil masa berjam-jam, satu perenggan satu jam. Tapi tak mengapa, sebab nama mak pun Jam.
Banyak sumber lain di internet tentang Timur Tengah. Banyak dalam bahasa Inggeris. Bila mak tak faham, abah engkau dan adik engkau tolong terjemahkan.
Inilah keindahan sebenar teknologi, nak. Sebab kalau dulu, orang macam mak mana nak berfikir panjang tentang perkembangan di dunia luar? Sekarang, walaupun mak ting tong berfikir pasal dunia, sekurang-kurangnya dapat juga berbincang dengan abah dan adik engkau. Kadang-kadang jadi debat perdana. Macam hari tu, adik engkau tiba-tiba memberontak. Dia tanya kenapa mak sibuk sangat pasal Syria, padahal dekat Malaysia sendiri kita ada kes Hamza Kashgari dan masalahnya dengan Arab Saudi. Mak fikir, ya tak ya juga.
Tapi mak jawab, kita sebagai umat Islam dan umat manusia sekarang perlu ambil berat tentang semua orang, tak kira asal usul atau keturunan dia. Betullah, kita kena tolong dulu orang yang dekat dengan kita di Malaysia. Tapi ini tidak bermakna kita tidak hiraukan orang lain. Dunia semakin kecil, nak. Bila dunia semakin kecil, lagi senang kita nak saling bertengkar. Tapi bila bertengkar tu, biarlah berpada-pada. Janganlah sampai menembak dan membedil bom sampai rakyat jelata terbunuh.
Yang paling penting, kita kena ambil teladan daripada apa yang terjadi di sana. Dulu mak fikir rakyat Mesir sayang dan hormat kepada ketua negaranya, si Hosni Mubarak tu. Alangkah terkejutnya mak bila mengetahui hakikat yang sebenar tahun lepas.
Mula-mula mak takut juga, sebab mak ingat pengganas yang nak menggulingkan Mubarak. Tapi walaupun ramai yang terkorban di sana, mak nampak sebenarnya kebanyakan rakyat Mesir inginkan keamanan dan kesejahteraan. Sebab itulah bila orang mula kutuk budak-budak Bersih 2.0 tahun lepas yang diorang ganas dan biadab, mak terpaksa fikir dua kali. Mungkinkah mereka juga mahukan keamanan dan kesejahteraan? Wallahua’lam.
Mak dah banyak berleter ni, dah kering tekak jadinya. Sekarang macam ni, nak. Kau pergi ambil wuduk. Solat. Minta restu dari Allah. Kemudian bancuh kopi pekat-pekat dan tulislah nasihat kepada pembaca kau. Biar ikhlas. Boleh?
Assalamualaikum. Kirim salam dekat suami engkau yang macho. Tanya bila dia nak habiskan kerja mengecat bengkel abah engkau.
Shanon Shah berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata di dunia Arab.
miele says
Yes! Kembalinya Kak Nora i.e. cayalah Aunty Jam, best jugak.
Kembali serius, nasihat ambil wuduk tu mungkin saya akan gunapakai. Terutamanya bila baca komen orang Malaysia yang cenggini:
“Pandai sangat nak berdemo, nanti mati berlori-lori macam Mesir tu baru tau.”
Only God knows.
mohd aidan says
Love this article, love it love it love it! Touches my heart and says everything I want to say. Thank you!