Alexis Bledel yang berwatak Rory
Gilmore dari siri Gilmore Girls
(© Ed Schipul / Flickr)
BILA saya demam, saya suka tengok siri Gilmore Girls. Baru minggu lepas saya demam teruk sampai menggigil-gigil. Jadi saya pun terbongkanglah depan televisyen, menonton DVD Gilmore Girls dua hari berturut-turut. Untuk mereka yang tidak tahu, Gilmore Girls mengikuti perjalanan hidup seorang ibu tunggal, Lorelai Victoria Gilmore dan anak tunggalnya, Lorelai “Rory” Leigh Gilmore. Mereka tinggal di pekan rekaan Stars Hollow.
Saya tahu ramai pembaca yang lebih macho dan/atau lebih “art” akan memandang serong terhadap saya, tapi saya peduli apa? Hidup ini memang susah, dan Gilmore Girls adalah satu-satunya siri televisyen yang berjaya meredekan tekanan dalam hidup saya.
Saya suka Gilmore Girls kerana ianya amat bijaksana. Lorelai dan Rory, dua watak utama dalam Gilmore Girls, sangat pandai dan kelakar. Saya tidak suka perempuan bodoh dan membosankan. Atau lebih tepat, saya tidak suka karya filem atau televisyen atau pentas yang sengaja “membodohkan” watak perempuan. Dari segi prinsip, memanglah salah juga jika watak lelaki yang sengaja “dibodohkan”.
Tetapi kalau kita ikut sejarah televisyen, pentas atau filem dari Amerika Syarikat hinggalah ke Malaysia, kita akan mendapati bahawa watak perempuan yang pandai dan bijak sangatlah kurang berbanding watak lelaki yang pandai dan bijak. Contohnya, siapakah nama-nama yang akan terlintas di fikiran jika disebut perkataan “hero”? Batman? Spiderman? Superman? James Bond?
Saya pun meminati Batman, Spiderman, Superman dan hero-hero yang sewaktu dengan mereka. Tetapi saya juga selalu peka dengan ketiadaan hero-hero wanita yang sehebat hero-hero lelaki di layar besar dan kecil. Jadi itulah salah satu sebabnya saya suka Gilmore Girls.
Gillian Anderson, pelakon yang
memegang watak Agen Scully
(© Keven Law / Flickr)Jangan berat sebelah
Sekarang saya rasa serba salah pula kerana terlalu memberi fokus kepada Gilmore Girls. Macam saya mengkhianati siri-siri lain pula. Oklah. Saya pun minat rancangan-rancangan lain yang memaparkan watak wanita yang pandai dan berketerampilan. Saya minat The X-Files. Saya minat Murphy Brown. Saya minat The Bionic Woman. Saya minat True Blood. Saya minat Gol & Gincu.
Bukannya saya mahukan semua siri didominasi oleh watak perempuan. Dan bukannya saya mahukan semua watak perempuan dipaparkan seolah-olah tiada cacat cela. Setiap insan ada cacat cela mereka sendiri, lelaki mahupun perempuan. Contohnya dalam siri The X-Files, Agen Scully amatlah memikat hati saya kerana walaupun dia memang bijak dan lasak, dia juga ada pergolakan dalamannya sendiri, terutamanya berkaitan dengan kepercayaan Kristiannya.
Kadang-kadang, watak perempuan di dalam sesuatu karya itu tidak semestinya manis langsung. Ambillah contoh Hedda Gabler, naskhah teater klasik hasil tangan penulis berbangsa Norway, Henrik Ibsen. Watak Hedda langsung tidak menepati imej isteri mithali zaman kini, apalagi untuk zaman 1890-an.
Apabila ia dipentaskan di negara Jerman buat pertama kali pada tahun 1891, pencinta teater rata-ratanya amat benci dengan Hedda Gabler. Ibsen telah menulis satu watak yang melanggar norma-norma masyarakat ketika itu. Hedda Gabler dilihat sebagai satu kritikan yang hebat terhadap institusi perkahwinan dan status wanita dalam keluarga ketika itu. Penutup jalan ceritanya yang penuh tragedi dan keganasan pun menggegar masyarakat ketika itu.
Candice Bergen, pelakon utama
Murphy Brown (© Alan Light /
Wiki Commons)Namun sejak tahun 1891, Hedda Gabler telah dipentaskan berulang-ulang kali, malah ia masih dipentaskan di seluruh dunia. Ia diiktiraf sebagai sebuah karya klasik, malah ia juga diadaptasikan ke layar perak beberapa kali. Karya Ibsen keseluruhannya dikatakan telah menyumbang kepada perubahan pandangan masyarakat Barat terhadap status wanita.
Saya ingat lagi, saya pernah terbaca ulasan penulis Amerika Syarikat, Dorothy Parker, tentang pementasan Hedda Gabler di sana. Keseluruhannya, Parker suka dengan Hedda Gabler, tetapi berkata dia tidak sempat mendengar dialog pada pengujung pementasan tersebut kerana terpaksa menutup telinga — senapang yang ditembak pada penghujung pementasan tersebut terlalu bising, kata Parker. Emm, mungkin anda kena baca sendiri, baru kelakar.
Saya pun suka Parker. Maklumlah, dia penulis perempuan yang pandai dan lucu. Macam Gilmore Girls. Malah, salah satu syarikat produksi yang menerbitkan siri Gilmore Girls ialah Dorothy Parker Drank Here. Kebetulan? Saya rasa tidak.
Kebijaksanaan Gilmore Girls
Kenapa saya membebel-bebel tentang Gilmore Girls dan Parker sedangkan Malaysia sekarang menghadapi macam-macam pergolakan politik? Ha, itulah lagi satu sebab mengapa saya suka Gilmore Girls. Masyarakat sering melihat isu-isu wanita sebagai kurang penting berbanding dengan isu semasa yang lain, contohnya politik.
Tapi lihatlah senario politik di Malaysia sekarang. Kita ada wakil rakyat lelaki yang bersikap seksis terhadap wanita. Di Parlimen pun berapa peratus sahaja wakil rakyat perempuan yang kita ada? Berapa kerat sahaja wanita di tahap kepimpinan tertinggi setiap parti politik di Malaysia?
Di mana suara wanita Penan? (© Sofiyah Israa / Flickr)
Dari segi isu kemasyarakatan pula, kenapa di Malaysia terlalu mudah untuk anak gadis diculik dan dibunuh, seperti arwah Nurin Jazlin Jazimin? Kenapa anak-anak gadis Penan senang sangat dirogol tanpa perogol ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah? Kenapa suara wanita seolah-olah tidak kedengaran, walaupun kita ada kementerian yang sepatutnya memperjuangkan hak wanita?
Dalam siri Gilmore Girls, kita mendengar pelbagai suara — suara wanita, suara lelaki, suara kaum minoriti seperti Lane Kim (watak berketurunan Korea), suara orang kaya, suara orang miskin, dan sebagainya. Kadang-kadang, apabila menonton Gilmore Girls, saya rasa macam mahu pindah saja ke Stars Hollow. Tetapi ada kalanya juga apabila menonton Gilmore Girls, saya memang teruja untuk mencari kembar Gilmore Girls di Malaysia.
Zaman remaja dulu, Shanon Shah suka menonton Twin Peaks bila demam.
Baca ruangan Secubit Garam yang terdahulu
The Nut Graph memerlukan bantuan anda
Peminat Gilmore says
Syabas! Pemerhatian abang Shanon memang hebat, ya la…sekarang ni, cuma unsur-unsur seksis sahaja yang boleh laku!
Apa yang memang tak munasabah, seperti Tiger Woods yang mengaku ada hubungan sulit dengan wanita…fuyoh! Semua suratkhaber front page! back page! sports section full cover!
Apa yang big deal ni? Kan elok focus on nilai-nilai murni manusia sejagat? Kan elok? Syabas. Penulisan saudara memang “enlightening”.
penan... says
“Kenapa anak-anak gadis Penan senang sangat dirogol tanpa perogol ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah?” Saya pernah berada dalam masyarakat Penan tapi bukan tinggal bersama mereka. Contoh, bila gadis Melayu urban didekati Mat Salleh yang handsome gila bergaya hidup yang hebat, duit yang banyak maka dengan senang gadis Melayu tumpas! Begitulah situasi dalam hutan bilamana pekerja balak dari urban datang dan menggoda mereka …
Nadia Ali says
Walaupun saya bukanlah peminat tegar Gilmore Girls seperti Shanon tetapi saya setuju bahawa watak-watak dalam siri tv ini memang lebih pandai dan bijaksana berbanding watak-watak di dalam siri tv tempatan. Lebih-lebih lagi, situasi Lorelai, sebagai ibu tunggal yang tidak berkahwin dan mempunyai anak luar nikah. Karakter seperti ini tidak mungkin akan dipaparkan di kaca tv tempatan.
Selalunya watak-watak wanita dalam drama tempatan berunsur stereotaip, langsung tidak mencabar konstruksi gender (kecuali Gol&Gincu/Bloggerboy). Jika perempuan itu baik, dia selalunya bersopan santun, ayu, lemah lembut atau isteri yang membenarkan suaminya kahwin lain. Kalau perempuan jahat, wataknya selalu bersuara lantang, mekap tebal, ataupun wanita bekerjaya dan bercita-cita tinggi. Lihat sahajalah drama-drama yang popular seperti Nur Kasih. Rasa loya melihat watak wanitanya yang terlalu pasif dan selalu menangis.
Soalannya, kenapa majority drama tv tempatan suka memaparkan stereotaip-steroetaip ini? Adakah kerana penonton/rakyat Malaysia kurang matang dan masih lagi mempercayai stereotaip/konstruksi gender? Mungkin dulu, seperti juga dalam hal-hal politik, kita tidak berani untuk mempersoalkan apa yang dipaparkan di kaca tv. Tetapi sekarang, keadaannya berbeza.
Kadang-kadang saya rasa sakit hati melihat rancangan-rancangan tempatan. Sebab itulah saya lebih suka menonton rancangan import. Lebih menarik, dan tak memperbodohkan penonton (secara terang-terangan).
Entah bila pembikin drama tempatan lain akan mengikut langkah [Bernard], Rafidah dan Lina Tan. I miss Gol &Gincu :-/
MHH says
Ya, cerita ni dulu aku ikuti setiap minggu, hari Ahad pukul 10 malam. Abis pukul 11. Kalau tak silap ye? Dan keesokan pagi Isninnya aku akan ngantuk nak ke sekolah.
Selama setahun lebih rasanya hingga tamat sekolah aku ikuti cerita ni, bermaksud, bila aku jengah ke dunia kolej/universiti si Rory pun sama. Hahaha.
Terima kasih untuk perbandingan yang baik.
Banyak juga cerita Malaysia yang baik sekarang ni. Harap kan rakyat tidaklah terlepas pandang.
Senarai dari aku termasuk filem dan drama untuk tahun 2009:
1) Blogger Boy (drama)
2) Setem (filem)
3) Papadom (filem)
4) Nenek Kebaya (drama)
5) Nur Kasih (drama)
6) Talentime (filem)
Untuk yang terdahulu:
1) Gol & Gincu
2) kesemua drama keluaran Bernard Chauly.