• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Sebat Kartika: Antara akta, aqidah dan akal

Oleh Juana Jaafar

December 1, 2009

KES Kartika Sari Dewi Shukarno yang disabit bersalah kerana meminum arak telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan umat Islam di Malaysia. Merujuk kepada artikel-artikel terbitan akhbar arus perdana khususnya, ramai yang menyokong hukuman maksima yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah Pahang terhadap Kartika iaitu denda sebanyak RM5,000 dan enam kali sebatan.

Walaubagaimanapun, terdapat juga pihak-pihak lain seperti Joint Action Group (JAG) dan Sisters in Islam (SIS) yang memprotes keputusan mahkamah tersebut. Mereka berpendapat bahawa hukuman maksima yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah Pahang adalah tidak adil memandangkan Kartika merupakan pesalah kali pertama, dan beliau juga telah mengaku bersalah atas perbuatannya.

JAG dan SIS juga memprotes apabila rayuan yang difailkan oleh SIS sebagai pihak ketiga yang berkepentingan di dalam kes Kartika ditolak tanpa apa-apa sebab oleh penolong pendaftar mahkamah syariah di Kuantan. Selain daripada itu, pelbagai lagi persoalan dibangkitkan, antaranya bidangkuasa Mahkamah Syariah Pahang yang telah memberikan arahan supaya sebuah penjara di Selangor menjalankan hukuman rotan terhadap Kartika sungguhpun Peraturan Penjara (2000) melarang hukuman sebat dikenakan ke atas kaum wanita.

Apa yang luar biasa?

Samada kita setuju atau tidak dengan pendirian JAG dan SIS, tindakan mereka dalam menyuarakan pendirian bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam amalan masyarakat yang bertamadun. Tambahan lagi, persoalan yang telah mereka kemukakan adalah logik dan patut dijawab oleh pihak-pihak yang berkenaan kerana ia secara tidak langsung melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Bukan itu sahaja, proses ini penting untuk menegakkan integriti institusi kehakiman syariah Malaysia.

Tindakan memfailkan rayuan pihak ketiga di mahkamah juga bukan sesuatu yang luar biasa dalam proses perundangan, melainkan jika sistem perundangan syariah di Malaysia dianggap sebagai satu sistem yang luar biasa. Di sini, timbul pula persoalan “luar biasa” dalam ertikata apa — istimewa atau pelik? Jika istimewa, ertinya sistem itu tentulah yang paling rasional, adil dan telus prosesnya, selaras dengan syariah Islam.

Logo SIS

Akan tetapi, majoriti golongan umat Islam begitu marah dengan tindakan yang diambil oleh JAG dan SIS seolah-oleh pertubuhan-pertubuhan ini ingin menghalalkan sesuatu yang haram. Kata mereka, siapalah JAG ataupun SIS untuk menyoal keputusan mahkamah sedangkan Kartika sendiri menerima hukuman yang dikenakan terhadap beliau tanpa apa-apa bantahan.

Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan prosedur yang digunapakai oleh Mahkamah Syariah Pahang dalam kes ini dan menyokong hukuman maksima yang dijatuhkan ke atas Kartika. Tetapi mereka ini mungkin tidak sedar implikasi jangka masa panjang keputusan kes Kartika di mana ia boleh digunakan sebagai rujukan dalam kes-kes pesalah kali pertama yang lain pada masa hadapan.

Hipokrit

Sebaliknya, JAG dan SIS dituduh jahil dalam hukum-hukam Islam, mencabar kedudukan DYMM Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam negara dan menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Justeru, kerajaan didesak mengambil langkah membubarkan kedua-dua organisasi tersebut dan mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan. Ironinya, Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasa mahkamah sivil tetapi mahu digunakan ke atas pemprotes keputusan mahkamah syariah.

Merujuk kembali kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh JAG dan SIS berkenaan kes ini, tiada terjumpa apa-apa usul yang menghasut umat Islam di Malaysia untuk bertelagah antara satu sama lain. Maka, tuduhan bahawa mereka mahu memecah-belahkan umat Islam di negara ini tidak berasas.

Bekenaan bantahan hukuman maksima terhadap Kartika dan rayuan rasmi pihak ketiga oleh SIS, ini pula ditafsir sebagai perbuatan khianat yang mencabar kedudukan DYMM Tuanku sebagai ketua agama Islam di Malaysia. Malangnya mengikut logik ini, setiap rayuan kes dalam kedua-dua mahkamah syariah dan sivil boleh dikatakan sebagai tindakan mengkhianati DYMM Tuanku.

Shahrizat (Sumbangan theSun)


Jika dikaji semula kenyataan golongan umat Islam yang mengecam tindakan JAG dan SIS dalam hal ini, jelas terdapat unsur hipokrasi. Contohnya, tiada sesiapapun dari golongan ini yang menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, didakwa di bawah Akta Hasutan atas gesaan mereka agar Kartika memfail rayuan ke atas keputusan Mahkamah Syariah Pahang.

Malah, Shahrizat sendiri berkata mengikut sistem perundangan syariah di Malaysia, SIS berhak memfail rayuan sebagai pihak ketiga yang berkepentingan. Ini hakikat proses perundangan syariah negara tetapi ada golongan-golongan tertentu yang mahu menafikan hak ini kepada pihak lain.

Hukum mutlak?

Rang undang-undang syariah di Malaysia pula dinobatkan sebagai hukum mutlak Allah SWT dan barang sesiapa yang menyoal perlaksanaannya dianggap sebagai jahil dan munafik. Apakah ini pendirian yang sah atau masuk akal, sedangkan proses penggubalan undang-undang syariah negara dibentang dan dibahas terlebih dahulu di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum ia digazet?

Tambah lagi, proses ini melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat yang berbilang kaum dan agama yang dipilih oleh rakyat biasa. Maka, tuduhan terhadap pihak-pihak yang menyoal perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia sebagai orang-orang yang jahil dan munafik amat keterlaluan dan tidak masuk akal memandangkan proses pengubalan undang-undang syariah secara lazimnya inklusif pelbagai pihak.

Sehingga kini dianggarkan bahawa lebih kurang 50 laporan polis telah difail terhadap JAG atau SIS atas tindakan mereka bersuara berkenaan kes Kartika. Lebih teruk lagi, di alam siber mereka yang kononnya mengaku memperjuangkan kesucian Islam dan menuduh pihak lain sebagai munafik menggunakan kata-kata yang kesat dan kotor dalam membuat hujah-hujah mereka.

Hishammuddin

Sementara itu kerajaan melalui menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menjamin hukuman sebatan ke atas Kartika akan dilaksanakan secara lembut dan tidak menyakiti tubuh badanya. Ada juga pihak yang mengambil inisiatif mengadakan “roadshow” demonstrasi sebatan lembut yang bakal dilaksanakan. Jika tidak pedih tubuh badan disebat maka peritlah maruah disarkaskan.

Hari ini Kartika masih lagi menunggu untuk disebat. Memandangkan beliau sendiri sudah mengaku insaf dengan perbuatannya, maka apa sebenarnya tujuan hukuman ini dilanjutkan? Apa pula pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam di Malaysia sedangkan hukuman tersebut akan dilaksanakan di dalam kurungan penjara dan bukan di khalayak ramai sepertimana yang dituntut Kartika sendiri?

Juana Jaafar
26 Nov 2009

Baca juga:
Islam kejam atau Islam rahmah?
Isu Kartika: Cabaran pemimpin menterjemah keadilan

Share this:

  • Click to share on Twitter (Opens in new window)
  • Click to share on Facebook (Opens in new window)
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window)
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window)
  • Click to email a link to a friend (Opens in new window)

Related Stories

Filed Under: Letters to the Editor Tagged With: Hishammuddin Hashim, Juanna Jaafar, Kartika, letter to the editor, Shahrizat Abdul Jalil, syariah

Reader Interactions

Comments

  1. Farouq Omaro says

    December 1, 2009 at 11:49 am

    Majoriti umat Islam di Malaysia hanya ingin mencari rezeki yang halal dalam keadaan persekitaran yang selamat dan harmoni. Hanya segelintir sahaja yang sibuk hal orang lain minum arak, berkhalwat, murtad, ikut ajaran sesat dan sebagainya. Tapi yang segelintir inilah yang lantang bersuara.

Primary Sidebar

Search

Twitter

My Tweets

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2023 The Nut Graph