SYUKUR alhamdulillah! Sambil melayari internet tentang perkembangan terkini pilihanraya kecil Hulu Selangor, saya terjumpa pula kolum nasihat oleh idola saya, Kak Nora. Ya, Kak Nora sudah kembali beraksi. Tak sangka saya yang Kak Nora akan dipelawa menjadi kolumnis tetamu laman Malaysiabegini.com, setelah disingkirkan daripada TepiKain.com.my. Tapi begitulah resam Kak Nora — diam-diam ubi berisi.
Saya lampirkan di sini nasihat Kak Nora yang nampaknya begitu relevan memandangkan rakyat Malaysia akan menghadapi dua pilihanraya kecil dalam masa yang terdekat:
Assalamualaikum Kak Nora,
Mula-mula, adik ucapkan tahniah, selamat kembali dan tenkiu veri nais kerana Kak Nora sudah kembali beraksi separa melampau di internet. Akhirnya ada juga tempat yang adik boleh mengadu.
Begini akak — adik sebenarnya terkejar-kejar mendaftar sebagai pengundi pada penghujung 2009, memandangkan adik terkezut apabila melihat begitu banyak pilihanraya kecil yang diumumkan sepanjang tahun. Tapi lepas itu, adik merasa legalah sikit sampailah diumumkan pula pilihanraya kecil Hulu Selangor — adik pengundi berdaftar di kawasan ini! Dan adik sekarang tengah terkebil-kebil tak percaya beban yang tiba-tiba jatuh di bahu adik sebagai pengundi kali pertama.
“You jump, I tenggelam.”
Kalau dilihat calon Pakatan Rakyat, ada desas-desus yang dia memang Melayu liberal kerana pernah membantah pelaksanaan undang-undang hudud. Tambahlah parti dia memang terkenal dengan wakil-wakil rakyat yang melompat ke sana ke mari. Kalau dia terpilih dan kemudian melompat parti macam mana, kak? Dia bukannya Leonardo di Caprio dan adik bukannya Kate Winslet. Ini bukan kes, “You jump, I jump.” Ini kes, “You jump, I tenggelam.” Betul tak, akak?
Tapi bila tengok calon Barisan Nasional, adik pun tidaklah yakin. Adik agak paranoia dengan parti yang mana kepala cakap satu, tapi kaki dan tangan semua bikin tak serupa.
Ini pun belum diambil kira lagi calon bebas yang entah boleh diyakini atau tidak.
Tolonglah, akak. Adik rasa macam nak pontenglah masa hari mengundi nanti. Baik adik pergi tengok konsert Kelly Clarkson aje. Sekurang-kurangnya bila dia buka mulut, adik tak rasa macam nak terjun dari jambatan.
Bukan pengundi hantu
Kuala Kubu Baru
Waalaikumussalam, pengundi yang dihantui tapi bukan hantu,
Mula-mula sekali, akak terharu dengan sokongan dan dorongan adik. Terima kasih daun keladi, kalau boleh pujilah lagi, hikhikhikhik.
Akak ucapkan tahniah atas keprihatinan adik mendaftar sebagai pengundi. Ini bermakna bahawa adik faham tentang tanggungjawab kita sebagai rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Fuyoh! (Akak kagum sekejap dengan kepetahan akak sendiri.)
Kelly Clarkson (© Marcus Wong | Wiki Commons)
Tapi dik, janganlah lalai dengan tanggungjawab ini. Konsert Kelly Clarkson waktu malam, dik. Akak pun nak pergi. Tapi undi boleh dibuang pada awal pagi lagi. Kenapa adik sebagai pengundi berdaftar nak ponteng? Ia ibarat orang ambil cuti tahunan tapi tak pergi buat facial, atau pasangan yang baru berkahwin tapi enggan bermesra-mesraan. Membazir, dik.
Akak faham sangat dengan dilema adik. Akak pun sudah naik muak dengan label ini dan itu. Akak pun sudah tak tahan dengan “Melayu liberal”. Akak sendiri Melayu fabulous. Kalau pakai baju kebaya, memang catwalk akak akan mengalahkan Gisele Bündchen dan model-model kayu lidi yang sewaktu dengannya. Kesimpulannya, apa-apa tohmahan pun — tak kiralah “Melayu” ini atau itu — memang terkeluar tajuk, dik.
Tapi memanglah. Sejak dua menjak ini, nampak macam ada banyak isu yang melanda senario politik tanahair kita. Apa yang lebih menyedihkan ialah kebanyakannya dicetus oleh mereka yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui pembangunan dan kesejahteraan negara. Namun, akak rasa bila fenomena ini berterusan, maka kita sendiri sebagai rakyat yang perlu lebih peka dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Akak beri beberapa cadangan di sini yang akak sendiri cuba praktikkan sebaik yang mungkin:
1 Ketahui dulu latarbelakang calon-calon yang akan bertanding. Tapi janganlah bertumpu kepada benda remeh-temeh, seperti gosip rumahtangga dan sebagainya. Sebaliknya, ketahuilah pendirian calon-calon tentang isu-isu kepentingan umum, contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri, hukuman sebat dalam undang-undang syariah, hak-hak wanita, kebebasan media, dan sama ada mereka lebih suka Ellen DeGenerated atau Paula Mabukdul sebagai pengadil American Idol.
2 Adik pun boleh cuba berjumpa dengan calon-calon dalam tempoh berkempen. Mereka selalunya akan melawat pasar-pasar, pusat-pusat membeli-belah, kampung-kampung, kenduri-kenduri dan sebagainya untuk bermesra dengan bakal pengundi. Kalau sempat, adik cubalah tanya soalan tentang isu yang bermain di kepala adik. Paling kurang pun, adik boleh lihat sendiri sama ada mereka mempunyai keyakinan dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat.
3 Cuba try test pergi dengar ceramah dari semua pihak. Dari sinilah adik akan dapat menilai pihak mana yang menawarkan dasar yang lebih memanfaatkan rakyat. Dan adik juga boleh cuba kesan sama ada para pemimpin parti bercakap benar atau tidak dalam ceramah mereka — gunalah Google tanpa was-was. Tapi pakai otaklah.
4 Setelah melalui proses ini, mungkin adik akan dapat ilham tentang calon mana yang sebenarnya lebih dekat dengan hati dan cita-cita adik sebagai rakyat. Tunggu apa lagi? Pada hari membuang undi, pergilah awal-awal dan ikutlah arahan untuk mengundi.
Undi adik adalah rahsia
5 Katakanlah adik memang tidak suka dengan mana-mana calon. Tapi adik nak juga mengundi, sebab sudah penat menghadiri ceramah, berjumpa dengan calon, dan seterusnya. Apa yang adik boleh buat? Akak tak mahu melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, jadi adik renungkanlah sendiri, huhuhuhu. Undi adik adalah rahsia.
Akak tahu cadangan akak ini nampak macam terlalu mudah, dan mungkin akak nampak seperti tidak tahu tentang selok-belok politik tanahair. Tapi bukankah politik tanahair akan menjadi lebih berprinsip jika kita sebagai pengundi juga memilih dengan menggunakan prinsip?
Kalau adik sempat pergi konsert Kelly Clarkson lepas membuang undi, carilah akak. Akak akan belanja adik teh tarik kurang manis satu. Tapi adik mesti ingat — tanggungjawab kita sebagai pengundi tidak berakhir dengan membuang undi. Lepas membuang undi, kita perlu sentiasa peka dengan perkembangan wakil rakyat yang terpilih itu. Tidak kiralah sama ada kita mengikuti perbahasannya di Parlimen, atau bertanya kepadanya sama ada janji-janji yang dibuat semasa berkempen sudah ditunaikan atau tidak. Kalau dia sempoi, tidak salah jika kita mengundinya lagi. Kalau dia ting tong, tidak salah jika kita juga mentingtongkan undi kita kelak.
Apa-apa pun, akak berdoa pilihanraya kecil di kawasan adik berjalan lancar, tanpa banyak masalah. Laungkan bersama-sama akak: Hidup Malaysia fabulous!
Salam ikhlas dan nakal,
Kak Nora
Shanon Shah bersyukur kerana sempat membuat liputan tiga pilihanraya kecil pada tahun 2009, sekaligus menimba ilmu yang sangat berguna sebagai pengundi berdaftar.
Baca ruangan Secubit Garam terdahulu
The Nut Graph memerlukan bantuan anda
Pebbles Jetson says
Yeah! Rock the vote, and maybe the boat! Hidup Panjang Kak Nora!
Azmi says
As usual, Kak Nora is fantabulous
Nads Jalil says
Salam Malaysia Fabulous Kak Nora,
Kenapalah nasihat Kak Nora ni tak diwar-warkan secara besar-besaran masa pilihanraya kecil dulu? Tapi saya rasa, masih tidak terlambat untuk sampaikan mesej Akak ni.
Saya cadangkan Kak Nora jadi penasihat hal-hal politik akhbar Utusan Merapu yang masih tak reti-reti cara mengundi dengan bijak. Amacam, bernas tak cadangan saya ni?
===
Balasan Kak Nora:
“Satu cadangan yang bernas, dik! Tapi Kak Nora takde lubang lah dekat tempat tu. Dik boleh tolong carikan? (Inilah namanya kronisme Malaysia Fabulous! Dan jangan fikir yang bukan-bukan dengan perkataan ‘lubang’, okay? Nanti akak cubit! Dan jangan fikir yang bukan-bukan dengan perkataan ‘cubit’. Alamak, nampaknya akak punya otak sudah ting tong pagi-pagi macam ni.) Pendek kata: Tenkiu veri nais por your suffort.”
Bagi pihak Kak Nora,
Shanon Shah
Pengarang Kolum dan Komen