SEORANG pengkarya mempunyai kuasa untuk menghidupkan atau mematikan watak-watak tertentu. Kadang-kadang, dia mungkin gila kuasa sikit apabila berkarya. Mungkin dia menyimpan dendam terhadap cikgu sekolah rendah yang merotannya sampai punggungnya lebam. Tiba-tiba muncullah satu cerpen, atau drama televisyen, di mana watak seorang guru yang bengis tiba-tiba mati dihempap lori balak. Para penonton pasti puas hati, dan si pengkarya ketawa tak henti-henti.
Mungkin contoh ini nakal sedikit, tetapi bagi saya ia telah mencetuskan satu pergolakan yang amat menggoncang pemikiran saya sebagai seorang pengkarya. Apakah fungsi sebenar seni?
Adakah seni itu berfungsi untuk mencerminkan realiti masyarakat? Adakah ia perlu mempersoal ketidakadilan yang sebelum ini dianggap lumrah kehidupan? Atau mungkin sesuatu itu hanya boleh dianggap seni jika ia menyajikan imej-imej dan bunyi-bunyian yang sedap dipandang dan didengar?
Saya sendiri percaya bahawa karya seni perlu memiliki kesemua aspek ini. Tapi penilaian terhadap fungsi seni amatlah subjektif. Apa yang dianggap realiti untuk satu kelompok masyarakat mungkin dianggap dusta untuk kelompok yang lain. Apa yang dianggap zalim oleh seseorang individu mungkin dipegang sebagai sesuatu yang murni oleh seseorang yang lain. Apa yang saya anggap cantik, mungkin akan membuat orang lain loya dan muntah.
Apa pun, saya rasa karya seni secara keseluruhan sebenarnya menanyakan soalan yang amat penting kepada masyarakat. Ia merupakan cetusan perbualan antara masyarakat dan pengkarya. Tapi perbualan ini seharusnya mencabar dan menghiburkan. Barulah masyarakat (dan pengkarya) akan mencapai kematangan rohani dan intelek.
Cerpen maut
Baru-baru ini, saya terbaca sebuah cerpen berjudul Politik Baru YB J yang disiarkan di Mingguan Malaysia, terbitan edisi hari Ahad bagi Utusan Malaysia. Watak utama dalam cerita tersebut, YB Josephine, sedang menghadapi tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu. Tapi YB Josephine berdegil dengan pendiriannya — dia hanya memperjuangkan kesaksamaan dan hak asasi manusia.
Cerita ini berakhir apabila YB Josephine ditembak mati oleh seorang pemuda sebelum berucap di sebuah perhimpunan awam. Pemuda itu kemudiannya membunuh diri. Akan tetapi suatu nota ringkas ditemui dalam genggamannya. Nota tersebut berbunyi, “YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.”
Saya tak pasti mengapa, tetapi saya amatlah terganggu selepas membaca cerpen ini.
Babak kontroversial dari filem Irreversible (Source: Wikipedia.org) Adakah kerana kesudahannya begitu ganas? Memang, saya tidak gemar karya yang terlalu sarat dengan keganasan. Sampai sekarang, saya terasa mual apabila teringat filem Perancis, Irreversible, arahan Gaspar Noé, walaupun saya sendiri tak pernah menontonnya. Tapi saya tahu filem tersebut memuatkan satu babak pembunuhan yang sangat mengerikan — kamera tidak berpaling langsung daripada kepala si mangsa yang dipukul sampai hancur. Ia juga mengandungi satu babak rogol ganas yang berlangsung selama sembilan minit.
Beberapa pengkritik utama dari Eropah dan Amerika Syarikat juga mengaku merasa sangat jijik dan terganggu menonton filem ini. (Tapi saya minat pula filem Pulp Fiction arahan Quentin Tarantino yang ganas dari mula sampai habis.)
Sememangnya seni amat sarat dengan keganasan. Dalam siri drama popular dari Amerika, 24, watak Presiden Amerika Syarikat, David Palmer, menjadi mangsa pembunuhan bermotifkan politik.
Dan keganasan ini bukan hanya wujud di Hollywood. Filem-filem Jepun seperti Battle Royale dan Audition juga memuatkan babak-babak yang mengecutkan perut si penonton (sebab itu saya masih belum tonton).
Jangan hipokrit
Tapi saya pun tak bolehlah bersifat hipokrit sangat. Skrip teater saya sendiri, Air Con, bermula dengan satu pembunuhan yang sangat mengerikan. Nanti orang kata kuman seberang laut saya nampak, gajah yang besar bagak depan mata buat-buat tak nampak.
Yang membuat saya terganggu ialah apabila keganasan dalam seni seolah-olah menghalalkan keganasan dalam kehidupan seharian. Saya ambil satu contoh dari benua Afrika. Simon Bikindi, seorang penyanyi dan pencipta lirik dari Rwanda, sedang menghadapi perbicaraan untuk menentukan jika lagu-lagunya mencetuskan pembunuhan kaum Tutsi dari April hingga Julai 1994.
Bikindi sendiri mendakwa bahawa muziknya tidak pernah menyaran pembunuhan kaum Tutsi secara terang-terangan. Tetapi hakikatnya ialah, Radio Milles Collines memutarkan lagu-lagu Bikindi selama 100 hari pembunuhan kaum Tutsi berlaku di Rwanda. Lagu-lagu ini diselang-selikan dengan pengumuman jumlah kematian dan pesanan supaya skuad pembunuh menyegerakan “tugas” mereka di kawasan-kawasan di mana mereka “bergerak perlahan”.
Kebebasan lawan tanggungjawab
Dan di sinilah dilema saya yang paling ketara. Saya percaya kepada kebebasan bersuara. Tetapi saya juga tidak bersetuju sama sekali apabila seni menjadi propaganda untuk menghalalkan keganasan. Bagaimana cara untuk menyelesaikan kekeliruan ini?
(© Paramount Pictures; source: Wikipedia.org) Kalau nak ikut kerajaan Malaysia, kita haramkan saja karya-karya ini. Ingat lagi filem Zoolander yang muncul pada tahun 2001? Dalam filem tersebut, pengganas dunia fesyen mahu membunuh “presiden” Malaysia kerana beliau mahu menaikkan tahap gaji minima pekerja industri tekstil.
Kementerian Dalam Negeri kemudiannya mengugut untuk mengharamkan filem tersebut. Mungkin ada pihak yang akan bersetuju, dan mendesak supaya kerajaan mengharamkan akhbar Utusan Malaysia pula.
Saya tidak bersetuju. Kebebasan akhbar perlu ditegakkan. Tapi saya rasa kita perlu memperkembangkan wacana yang dicetuskan oleh cerpen Utusan Malaysia ini.
Pertamanya, walaupun memakai topeng fiksyen, saya rasa ramai pembaca yang akan membuat kesimpulan bahawa watak “YB Josephine” merujuk kepada YB Teresa Kok dalam realiti sebenar. Isu-isu yang dipaparkan dalam cerpen tersebut terlalu mirip kepada perkembangan politik tanahair yang terkini.
Keduanya (dan yang lebih penting), cerpen ini disiarkan ketika Teresa Kok sendiri sudah menghadapi pelbagai ancaman terhadap keselamatan peribadinya. Tanggal 12 Sept 2008, dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Walaupun dibebaskan tujuh hari kemudian, dia menghadapi ancaman baru apabila dua koktel Molotov dibaling ke perkarangan rumahnya pada 27 Sept. Bahan letupan tersebut disertai dengan sepucuk nota yang menggunakan bahasa yang lucah dan amat menghina.
Pembantahan yang bertamadun
Mungkin pendirian Teresa Kok dianggap keterlaluan atau salah sama sekali oleh sesetengah pihak. Tapi apakah cara yang betul untuk menyuarakan bantahan-bantahan ini? Melalui bom? Melalui undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara?
Tidak dapat dinafikan, persekitaran politik di negara ini sudah menjadikan Teresa Kok satu sasaran. Dia dihentam oleh media arus perdana bahasa Malaysia, ditahan di bawah ISA, dan diugut dengan bom.
“YB Josephine” = Teresa Kok?Jadi orang ramai perlu bertanya, apakah fungsi sebuah cerpen di mana watak “YB Josephine” menemui maut dengan ganas, yang disiarkan dalam satu terbitan rasmi?
Saya ulang. Saya akan mempertahankan kebebasan berkarya. Tetapi sebagai seorang rakyat, saya juga mempunyai hak untuk mempersoalkan sebarang karya seni yang, pada pandangan saya, menghalalkan keganasan atas alasan mempertahankan “keharmonian”.
Bila kita boleh mempertimbangkan isu-isu ini melalui perbincangan dan penghujahan yang matang, barulah wacana politik dan seni tanahair boleh berkembang.
Berkaitan: Author of ‘Politik Baru YB J’ responds
Shanon Shah tersipu-sipu kerana meminati trilogi The Lord of the Rings, walaupun ia ganas sampai ke sudah.
ibnukhuzaimah says
Compare this anecdote with YBJ. This is written by a 12 year old boy.
There is a clear sense of poetic justice in this kid’s piece — all died, dead, and gone, yet the story was told in all its glory!
SebuahkKarangan yang paling berimaginasi oleh anak sekolah.
KEMALANGAN YANG PALING NGERI SAYA PERNAH ALAMI.
Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Syabas pun belum ada teknologi untuk masalah ini.
Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu. Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang. Dia melanggar emak saya.
Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit “Adoi!”.
Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri.
Feri itu terbelah dua. Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia — lori itu bertukar menjadi robot Transformer.
Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puashati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu. Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi.
Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris. Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat laporan ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu.
Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.
Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati.
Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.