MAI nak habaq sat. Kalagam, Kadaram, Kataha — ini semua nama Tamil dan Sanskrit yang digunakan seawal kurun kedua dan ketiga selepas Masihi untuk merujuk kepada negeri Kedah. Chieh-ch’a dan Kie-tch’a pula digunakan oleh ahli pelayaran Cina seawal kurun ketujuh selepas Masihi untuk merujuk kepada negeri Kedah. Kedah juga digelar Kalah atau Kalah-bar oleh ahli pelayaran Arab seawal kurun kelapan dan kesembilan selepas Masihi.
Kesemuanya menggambarkan Kedah sebagai negara yang makmur, gemilang dan mempunyai sistem keadilan yang teratur berdasarkan tamadun di Lembah Bujang ketika itu.
Dua tiga minggu yang lepas ini, saya memang tidak banyak memikirkan soal sejarah zaman gilang-gemilang kerajaan Melayu di Nusantara. Kepala saya pusing kerana berlari sana sini membuat liputan pilihanraya kecil di Bukit Selambau. Tetapi setelah selesainya hari pembuangan undi, saya telah berikhtiar untuk melawat Lembah Bujang. Bapa saya kata kali terakhir saya mengunjung ke sana saya berumur satu tahun.
Kerajaan Hindu-Buddha Kedah di Lembah Bujang menikmati zaman kegemilangannya dari kurun kelima hinggalah kurun ke-14 selepas Masihi. Inilah salah satu sebab mengapa saya memang bangga menjadi anak kelahiran Kedah.
Namun, saya sentiasa terkejut — kenapalah di dalam sukatan pelajaran sejarah, Kesultanan Melayu Melaka yang diagung-agungkan manakala Lembah Bujang hanya diberi ruangan yang kecil dalam halaman buku teks? Bukankah tamadun Lembah Bujang juga terdiri daripada orang Melayu? Kenapa hina sangat orang Melayu Kedah ini di dalam buku sejarah kita?
Mungkinkah kerana Kesultanan Melayu Melaka telah memartabatkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu, manakala kerajaan Kedah yang berpusat di Lembah Bujang senang sekali mengamalkan agama Hindu-Buddha?
Bagi saya, kita perlu diingatkan tentang warisan Lembah Bujang. Kerana setiap pertikaian dan pertengkaran tentang institusi raja, hak istimewa orang Melayu, ketuanan Melayu, status agama Islam di Malaysia, dan sebagainya, adalah tidak bermakna jika kita tidak mengambil teladan dari tamadun Lembah Bujang. Dan inilah teladannya — lebih daripada seribu tahun dahulu, masyarakat Melayu di Kedah sudah pun tahu bagaimana untuk beradab, bertamadun dan berkawan dengan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.
Tanya Khidir says
Agama awal kerajaan dan bangsa Mala sama sekali bukan Buddha maupun Hindu. Mereka sebenarnya menganut AJARAN IBRAHIM ajaran yang mentauhid dan mengesakan Maha Pencipta. Ajaran Ibrahim dikembangkan oleh Raja Agung Iskandar Zulkarnaen melalui Jalan Sutera di Selatan dan Utara India kemudiannya ke Campa sebelum ke Kedah Tua. Kerajaan dan bangsa Mala yg menerima Ajaran Ibrahim, ajaran yang tidak menyembah patung dan berhala serta mengamalkan ibadah korban digelar dengan panggilan MALA-UR. UR adalah nama negara tempat kelahiran Nabi Allah Ibrahim dibawah Kerajaan Cheldina. Kesan keruntuhan senibina di Lembah Bujang juga sama sekali bukan runtuhan candi…ianya adalah kesan runtuhan Balai Rong Sri, Kolam Santai, Gelanggang Di Raja dan Istana Hinggap yang berunsurkan senibina Yemen dan India. Reka bentuk dalaman senibina berkenaan banyak menyamai rekabentuk dalaman istana yang terdapat dalam filem Nujum Pak Belalang. Replika bangunan yang disalahtafsirkan sebagai candi berkenaan juga adalah bekas tapak Balai Rong Sri, tempat bersidang dan pentas untuk membuat persambahan tarian. Tolong perbetulkan tafsiran salah berkenaan. Tq.