TEMPOH hari saya ditanya dalam rancangan Hujah di rangkaian tv9, adakah teater itu bersifat elitis dari sudut kandungan karya mahupun kemampuan penonton untuk menghayatinya? Saya benar-benar merasakan tidak. Saya mula menghujah bahawa mana-mana naskhah teater, walaupun naskhah Shakespeare sekalipun, boleh dipentaskan dan dihayati oleh sesiapa saja yang boleh mencapai naskhah itu.
Mungkin sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga dari Hutan Kampung, Kedah, mahu mementaskan King Lear — sudah tentu mereka boleh mementaskannya, malah mereka boleh melakukannya dengan cara mereka tersendiri. Mereka tidak perlu terikat dengan tatatertib teater Elizabethan pada kurun ke-16 di England.
Masalahnya bukan yang teater itu bersifat elit. Masalahnya budaya dan institusi teater itu sendiri tidak mendapat sokongan dan pengiktirafan yang sebaik-baiknya di Malaysia.
(Domain awam)
Masa saya Darjah Lima, saya amat cemburu dengan budak-budak kelas sebelah saya. Guru Bahasa Malaysia mereka memang sporting. Salah satu aktiviti kelas mereka ialah pementasan cerita dongeng warisan — Bawang Putih, Bawang Merah; Batu Belah Batu Bertangkup; Kisah Si Tanggang; dan sebagainya. Mereka mementaskannya betul-betul — siap dengan prop dan set yang diperlukan. Yang membuatkan saya cemburu ialah betapa seronok dan menghiburkan pementasan mereka itu — watak-watak semuanya berseloroh dalam bahasa Kedah, malah menyelitkan jenaka yang membuatkan penonton dari kelas jiran ketawa terbahak-bahak. Kisah yang dipentaskan semuanya tiba-tiba hidup untuk penonton.
Dalam kelas saya, kami hanya membaca dialog dari buku teks. Kami tidak melakonkan babak-babak tersebut dengan penuh semangat. Cikgu kelas kami tidak menggalakkan pementasan yang sedemikian.
Sebelum Darjah Lima lagi saya sudah berminat dengan dunia seni. Saya mula belajar bermain piano di bangku tadika lagi. Namun saya dikira sebagai “budak pandai”. Di sekolah menengah saya belajar dalam aliran sains. Saya banyak menyertai kuiz matematik, olimpiad sains, pertandingan bahas dan sebagainya. Tetapi saya tidak pernah menyentuh, malah tidak pernah terpandang, walau satu pun naskhah teater.
Menjelajah ke Australia
Apabila saya menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Australia, saya menganggapnya sebagai satu peluang keemasan. Bukan saja untuk memperolehi ijazah, tetapi untuk menikmati kehidupan di negara orang lain. Walaupun saya menuntut dalam jurusan kejuruteraan kimia, saya berkesempatan untuk menghayati benda lain juga.
(Source: blog.gov.us) Pada tahun 1999, dua orang sahabat saya yang merupakan warganegara Hong Kong daripada jurusan pendidikan telah melibatkan diri dalam sebuah pementasan komuniti yang bertajuk The Torch. Persembahan tersebut merupakan satu naskhah original yang bertemakan Sukan Olimpik yang bakal diadakan di Sydney pada tahun 2000.
Pementasan tersebut telah merubah dunia saya. Sembilan puluh peratus daripada barisan pelakonnya terdiri daripada golongan amatur. Isu yang dibentangkan agak kritikal — ia mengkritik fenomena perkauman di Australia, dan cuba mengkaji mengapa rakyat Australia terlalu bencikan kaum “pendatang” di negara itu.
Pementasan itu berjaya menghantui saya hingga ke hari ini — saya telah merasa marah, sedih, takut, saya menitiskan air mata, saya ketawa terbahak-bahak dan, yang paling penting, saya mula berfikir secara kritikal. Inilah keajaiban teater.
Pementasan tersebut dibuat di balai orang ramai di salah sebuah kawasan perumahan di North Melbourne. Para penonton terdiri daripada pelajar, warga emas, golongan pekerja, dan terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Tiketnya tidak mahal — malah saya, seorang pelajar dari Malaysia, sanggup menonton pementasan tersebut sebanyak dua kali.
Menggatal di Australia
Jadi saya mula menggatal. Pada tahun 1999, saya sendiri mula berjinak-jinak dalam pementasan teater di universiti saya. Pada tahun 2000, saya mencuba nasib dalam uji bakat untuk memperolehi biasiswa teater daripada St Martin’s Youth Arts Center. Saya berjaya dan, bersama-sama 60 orang belia yang lain, telah diajar sepanjang tahun teknik-teknik lakonan teater oleh para penggiat teater terkemuka di Melbourne. Pada tahun 2000, saya, seorang pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia, telah berlakon di dalam enam pementasan teater di universiti saya dan di St Martin’s.
(Sumber: stmartinsyouth.com.au) St Martin’s nampaknya tidak kisah bahawa saya bukan warganegara Australia atau beragama Islam. Mereka memberikan biasiswa kepada saya kerana mereka boleh nampak yang saya ini memang cinta pada teater, dan saya berumur di antara 15 dan 25 tahun. Itu saja syarat biasiswa tersebut. Saya tidak perlu membayar walau satu sen pun kepada mereka. Mereka hanya mahukan saya dan para pemegang biasiswa yang lain mencapai potensi masing-masing.
Di mana St Martin’s mendapat dana mereka? Sebahagiannya merupakan derma daripada orang ramai, tapi kerajaan negeri Victoria juga memberikan peruntukan yang besar kepada St Martin’s tiap-tiap tahun untuk membangunkan penglibatan orang muda dalam teater. Ramai daripada teman-teman saya di St Martin’s yang kini menjadi pelakon teater dan televisyen terkemuka, sutradara, penulis skrip, jurugambar dan penulis fiksyen. Ketika kami semua menerima biasiswa tersebut, tiada seorang pun yang boleh dianggap “elit”. Pementasan yang kami buat pun semuanya bukan “elit”.
Perkembangan di Malaysia
Saya mengungkit hal ini kerana mahu menunjukkan beza di antara Australia dan Malaysia. Dunia seni, dan khususnya dunia teater, di Australia boleh berkembang bukan kerana mereka lebih “elit” atau “Barat”, berbanding dengan kita di sini. Dunia seni di Australia boleh berkembang kerana kerajaan mereka mementingkan pembangunan insan dari segi penghayatan seni.
Anugerah Tony (Sumber: Wikimedia
commons) Itulah sebabnya Australia, dengan jumlah penduduk kira-kira 21 juta, sudah berjaya menghasilkan penulis yang memenangi anugerah Booker dan Nobel, penyanyi yang memenangi anugerah Grammy, pelakon yang memenangi anugerah Oscar, Tony dan Emmy. Malaysia, dengan jumlah penduduk kira-kira 26 juta, sehingga hari ini belum lagi sempat menghidu anugerah Nobel, Oscar, Booker, dan pengiktirafan yang sewaktu dengannya.
Dan inilah hujah saya — apabila pihak berkuasa tidak mementingkan perkembangan seni, sudah pastilah perkembangan seni akan bergantung kepada belas kasihan mereka yang sudah kaya. Merekalah yang akan menjadi penaja dunia seni, dan besar kemungkinan apa yang ditaja itu akan memenuhi citarasa mereka sendiri. Seni kemudiannya akan dilihat sebagai sesuatu yang terpencil, dan bukannya satu maslahah, atau kepentingan umum. Saya rasa inilah yang memberikan persepsi bahawa teater di Malaysia bersifat “elitis”.
Tetapi saya pernah menonton pelbagai pementasan — daripada pelajar dan graduan Aswara, contohnya — yang saya kira berjiwa rakyat, dan amat berkualiti. Masalahnya, apa yang terjadi kepada pelajar Aswara setelah mereka tamat pelajaran? Mungkinkah kebanyakan daripada mereka kemudiannya dipatahkan oleh kekurangan peruntukan daripada kerajaan, dan masalah-masalah lain seperti pengharaman itu dan ini oleh pihak berkuasa?
Shanon Shah sangat rindu terhadap teman-teman dan bekas cikgu-cikgunya dari St Martin’s dan mengimpikan kewujudan institusi seperti St Martin’s di Malaysia.
B Rach says
In their move to accelerate the development of science and technology in this land, the powers that be have neglected the Malaysian arts scene. I wonder if they ever considered the repercussions of that to the growth of arts, culture, and humanities in Malaysia. It’s sad really, considering that theater functions as a mirror to our society and is probably one of the best tools to stir deep convictions on tough, sensitive issues that are rarely discussed in conservative Malaysia.