SAYA kagum dengan Kris Allen, juara American Idol musim kelapan. Bukan kerana saya rasa dia layak memenangi peraduan realiti tersebut, tetapi kerana dia seorang penganut agama Kristian yang menarik. Allen, yang sudah berkahwin dengan seorang wanita muda yang sangat comel, nampaknya sungguh senang dan mesra dengan naib juara American Idol — Adam Lambert.
Adam Lambert (dari: Wiki Commons)Lambert, sepertimana yang tersebar luas di dunia siber, kemungkinan besar berorientasi homoseksual atau biseksual. Malah, dia tidak cuba menafikannya bila gambarnya bercumbuan dengan lelaki lain disebarkan di internet. Saya terjemahkan maklumbalasnya: “Saya tetap saya.”
Gay atau tidak, saya memang rasa Lambert yang patut memenangi gelaran American Idol tahun ini berdasarkan bakatnya. Namun saya amat menghormati pendirian Allen, yang saya juga terpaksa akui mempunyai bakatnya yang tersendiri. Di Amerika Syarikat, puak fundamentalis Kristian amatlah berkuasa. Malah, mereka telah berjaya meletakkan salah seorang dari kalangan mereka di Rumah Putih — George W Bush, yang menjadi presiden negara itu selama dua penggal.
Puak fundamentalis Kristian termasuklah tokoh-tokoh seperti Pat Robertson dan Jerry Falwell. Mereka ini terkenal dengan pendirian mereka yang anti-feminis, anti-pluralisme, anti-gay dan anti-Islam. Mereka mendakwa, antara lain, Tuhan membenci golongan gay dan Nabi Muhammad merupakan pengganas. Demi menjaga nyawa janin yang belum dilahirkan, mereka sanggup mengebom klinik yang menawarkan pengguguran anak.
Clay Aiken (dari Wiki Commons)
Saya tahu — kenapalah saya hairan sangat dengan orang Amerika ini? Bukankah negara ini yang sentiasa menyokong Israel apabila ia membunuh warga Palestin beramai-ramai? Bukankah negara ini yang telah menyerang Afghanistan, Iraq, dan negara-negara lain yang tidak begitu “peramah” dengannya?
Namun, dalam beberapa hal yang lain, rakyat Amerika membuat pilihan yang betul. Contohnya, mereka memilih calon yang betul untuk menjadi presiden mereka penggal ini. Okay, mungkin mereka memilih juara American Idol yang salah — pada hemat saya — namun mereka telah memilih dua finalis tersebut atas dasar bakat, bukan dasar anti-gay dan sebagainya.
Yang lebih mengkagumkan saya, ini merupakan satu fenomena yang agak segar di Amerika Syarikat juga. Enam tahun lalu, naib juara American Idol musim kedua, Clay Aiken, juga menghadapi pelbagai gosip liar tentang orientasi seksualnya. Namun pada masa itu, Aiken tidak mampu untuk mendedahkan seksualiti sebenarnya — pengakuan itu hanya dibuat pada tahun 2008.
America’s Next Top Model
Namun, fenomena ini tidak hanya memberi kesan kepada American Idol. Saya nampak juga kemajmukan masyarakat ini dipaparkan dalam pertandingan realiti America’s Next Top Model. Saya memang malu mengaku yang saya mengikut rancangan ini, tapi apa mahu buat? Kerja wartawan ini banyak tekanan, sampai lewat malam kadang-kadang, jadi kena tengok rancangan tertentu untuk menenangkan minda.
Tyra Banks (Gambar dari Wiki Commons)Balik kepada America’s Next Top Model, saya kagum juga dengan wawasan pencipta rancangan ini, bekas supermodel Tyra Banks. Dia sering berkata yang dia mahu merombak semula konsep “kecantikan” dalam imaginasi orang ramai.
Benar, America’s Next Top Model pernah dijuarai oleh wanita berkulit hitam, putih, kurus, gempal dan sebagainya. Finalis-finalisnya kerapkali terdiri daripada wanita miskin dan kaya, yang berpelajaran tinggi dan juga tidak begitu tinggi, yang heteroseksual, biseksual dan lesbian.
Tapi bukan setakat itu, rancangan ini juga tidak mengharamkan pesertanya daripada menyuarakan pendirian masing-masing. Pernah ada peserta yang Kristian dan anti-sekular, pernah ada peserta yang anti-gay, pernah ada peserta yang bersifat perkauman, dan sebagainya.
Namun, yang pentingnya ialah panel pengadil selalu bersikap neutral apabila berdepan dengan situasi seperti ini. Tapi imej panel pengadil sendiri memberikan kita gambaran tentang visi America’s Next Top Model — ia terdiri daripada wanita dan lelaki berkulit putih dan hitam, heteroseksual dan gay, warganegara Amerika Syarikat dan bukan warganegara.
Jangan ketawa!
Di Malaysia pun sebenarnya kita pernah ada paparan imej seperti ini di kaca televisyen. Saya ingat lagi zaman remaja saya, betapa saya ketawa terbahak-bahak apabila menonton sitkom seperti Dua Campur Satu dan Jangan Ketawa!. Watak-watak dalam rancangan-rancangan ini juga bersifat majmuk -— dari segi bangsa, agama dan perawakan mereka sebagai lelaki dan perempuan. Tradisi ini masih berterusan dengan rancangan-rancangan yang popular seperti Gol & Gincu dan 3R.
Jaclyn Victor (gambar oleh ShaolinTiger)
Saya masih ingat lagi pada tahun 2004, saya menerima SMS yang menyeru supaya para pengundi memilih Jaclyn Victor sebagai jaguh Malaysian Idol. Terdapat kekhuatiran bahawa Jaclyn mungkin tersingkir kerana dia berketurunan India, walaupun bakatnya terserlah. Namun, orang ramai lega apabila Jaclyn berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Perkara yang sama berlaku ketika musim pertama Akademi Fantasia apabila Vince Chong berjaya merangkul tempat johan.
Namun, saya tetap rasa bahawa budaya pop di Malaysia masih belum dapat menerima ciri-ciri sebenar masyarakat majmuk kita. Adakah anda dapat bayangkan johan Akademi Fantasia yang Islam, alim dan soleh, dengan terbuka bersalaman atau mendakap naib johan yang “mungkin” gay? Atau perkara yang sama berlaku dalam rancangan One in a Million?
Mungkin ada yang merasakan cadangan saya ini agak keterlaluan. Tapi bayangkanlah — selama 40 tahun, rakyat Malaysia takut untuk bersuara atau mengundi mengikut pilihan hati masing-masing kerana takut peristiwa berdarah 13 Mei akan berulang.
Namun, selepas pilihanraya bersejarah pada 8 Mac 2008, tidak ada setitik pun darah yang tertumpah (atau ditumpahkan). Malah, untuk memperingati peristiwa 13 Mei 2009, ramai juga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa menyatakan kesediaan menguburkan peristiwa hitam tersebut dan mengatur masa depan yang tidak dihantui bayang-bayang perkauman.
Akan tetapi, kalau kita hanya mentafsirkan masyarakat majmuk dari segi bangsa dan agama, maka itu adalah satu tafsiran yang sempit. “Majmuk” bererti “campuran”. Dan alangkah baiknya jika kita boleh menerima segala “campuran” yang membuatkan negara kita lebih indah.
Shanon Shah berdukacita apabila pembikinan Jangan Ketawa! dihentika
Gustri says
Nice write-up Shanon. Saya amat bersetuju dengan seruan Saudara tentang menafsiran perkataan “majmuk”..
Reza says
Insightful article, Shanon. You are right to say that the religious right wing is powerful in America. Being educated there, I know. But the liberals are also, more or less, equally powerful. Thus, each side sort of balances each other out and this prevents either side from leaning too far in a particular direction.
However, in Malaysia, there are far more fundamentalists than liberals, unfortunately. As you know, most of the fundamentalists are the parochial minded Malay Malaysians, who are the majority in this country. Liberal Malay Malaysians, like you and I, are an insignificant minority. And the sad part is, this majority of fundamentalist Malay Malaysians are only going to get bigger. And when they do, you can be assured that they will pass on their narrow-minded views onto the next generation.
As such, Malaysia will most likely never achieve the same level of social tolerance that America enjoys, however imperfect it may be.
Farouq Omaro says
Saya bersetuju dengan Shanon. Kebanyakan rakyat Malaysia terutama di semenanjung belum lagi dapat menerima satu sama lain sepenuhnya. Di semenanjung, berapa ramaikah orang Cina dan India menonton Akademi Fantasia? Di semenanjung berapa ramaikah orang Cina menonton filem Hindustan? Di semenanjung berapa ramaikah orang Melayu yang makan di restoran Cina (yang halal)?
Ini menunjukkan bahawa di semenanjung mereka kurang bergaul. Dan yang sedihnya, perkara ini sedang perlahan-lahan menular ke Sabah dan Sarawak. Makin lama, makin kurang kita tahu tentang budaya kaum lain. Kalau dulu-dulu tidak ganjil melihat orang Islam menghadiri gereja sewaktu upacara perkahwinan saudara atau sahabat mereka. Kalau dulu tidak ganjil melihat orang Islam makan dan minum di kedai Cina. Kalau dulu tidak ganjil melihat orang bukan Islam boleh menulis dan membaca Jawi malah mengenali perkataan “Allah” dan “Muhammad” dalam tulisan Arab.
Tapi sekarang senario ini semakin berkurang. Akhirnya semua akan membawa diri masing-masing. Siapa dipersalahkan? Saya tahu siapa, dan anda semua pun saya rasa tahu jugak.