“MULA-mula saya naik pentas ramai yang ‘boo’ bila tengok penampilan saya dengan bertudung. Ada juga yang kata kalau nak nyanyi nasyid, lebih baik balik. Ejekan itu membuat saya sedikit gementar kerana saya memilih cara berbeza daripada kumpulan muzik indie yang ada.
Majalah Al Islam, edisi Mac 2009“Tapi bila saya mula bermain gitar dan menyanyi, ramai yang terlopong. Penonton mula diam dan memberi tumpuan kepada nyanyian saya. Itulah permulaan muncul Yuna.”
Inilah hakikat yang didedahkan oleh penyanyi dan pencipta lagu muda, Yuna, di dalam wawancaranya dengan majalah Al Islam, edisi Mac 2009. Ternyata, Yuna perlu berdepan dengan pelbagai stereotaip dan juga diskriminasi terhadap wanita yang memilih untuk bertudung.
Ramai antara puak pendokong sekularisme atau anti-Islam yang menggunakan isu hijab atau tudung sebagai “bukti” tentang “kejumudan” dan “keganasan” agama Islam. Ini memang sudah menjadi kata basi, namun ramai yang masih mempercayainya.
Malah, apabila mantan Presiden Amerika Syarikat George W Bush menyerang Afghanistan pada tahun 2001, salah satu alasan yang digunakan ialah untuk “membebaskan” kaum wanita yang tertindas.
Sikap seperti ini lebih terserlah apabila negara Perancis mengharamkan pemakaian hijab di sekolah-sekolah awam pada tahun 2004. Pendokong feminisme dari negara Jerman, Alice Schwarzer, berkata, “Hijab menggugat pencapaian zaman Pencerahan.” Binnaz Toprak, seorang ahli akademik dari negara Turki, berkata, “Hijab merupakan satu simbol kelemahan status wanita.”
Jadi Yuna sebenarnya membuat satu pilihan yang agak radikal. Dia bukan sahaja mematahkan stereotaip wanita Islam yang tertindas lagi jumud, tetapi juga mematahkan stereotaip bahawa wanita bertudung hanya layak untuk menyanyikan lagu nasyid.
Tetapi yang melegakan hati ialah Yuna tetap mendapat sambutan ramai. Laman MySpacenya pun sudah mencecah 660,000 kunjungan. Ianya satu petanda baik yang diskriminasi terhadap Yuna hanyalah sementara dan daripada segelintir kecil sahaja di kalangan masyarakat. Yang paling penting, Yuna sekarang mencipta nama kerana bakatnya yang besar. Dia pandai bermain piano dan gitar, mencipta lagu, dan suaranya lunak macam Norah Jones.
(Sumber: Myspace Yuna)
Nasib tidak sama
Akan tetapi, nasib tidak pula menyebelahi Bahareh Vejdani. Pada tahun 1993 Vejdani, yang berumur 17 tahun, ditembak mati oleh polis di dalam sebuah pondok telefon di Tehran, Iran, kononnya kerana tidak memakai hijab.
Peristiwa seperti ini merupakan realiti di kalangan umat Islam. Pada tahun 2002, 15 pelajar remaja wanita mati hangus di dalam satu kebakaran di asrama mereka di Arab Saudi. Mereka telah cuba melepaskan diri daripada kebakaran tersebut, akan tetapi mereka tidak dibenarkan keluar oleh pegawai penguatkuasa agama Islam kerana mereka tidak menutup aurat. Oleh itu, mereka dibiarkan mati.
Saya kesian sangat terhadap wanita Islam. Kalau di Barat, mereka dianiaya apabila memakai hijab dan dilontarkan pelbagai panggilan kesat dan menyakitkan hati. Kalau di negara Islam, mereka akan dikenakan macam-macam hukuman, termasuklah hukuman bunuh, kalau memilih untuk tidak memakai tudung.
Saya tidak mahu membincangkan secara mendalam tentang hukum-hakam memakai hijab di dalam Islam. Tetapi setahu saya, walaupun seseorang itu percaya bahawa adalah berdosa untuk seorang wanita Islam mendedahkan rambut di kepalanya, dia tidak berhak untuk memaksa wanita itu bertudung.
Logik yang sama pun perlu dipakai untuk syariat sekularisme — kalaulah seseorang itu percaya bahawa tudung itu menindas wanita, dia tidak pula berhak memaksa semua wanita Islam untuk membuka tudung.
Kenapa susah sangat untuk kita membiarkan saja kaum wanita memakai apa yang mereka mahu? Seolah-olah kita memandang kaum wanita tidak berakal, terutamanya kaum wanita Islam. Kalau mereka dibiarkan membuat pilihan sendiri, seolah-olah kesemuanya akan memilih untuk berbogel (inilah logik puak fundamentalis Islam) atau berbungkus dari hujung rambut ke hujung kaki (ini pula logik puak anti-Islam).
Akan tetapi, bukankah kita diajar sebagai orang Islam bahawa akal itu adalah kurniaan Allah kepada manusia yang paling berharga? Kenapa pula wanita Islam dinafikan hak terhadap akal mereka sendiri?
Saling menerima
Kita perlu menyemak sikap masyarakat kita sendiri. Benar, ada di kalangan rakyat Malaysia yang sanggup mem-“boo”-kan artis muzik indie seperti Yuna yang memakai tudung. Tetapi, apakah reaksi kita jika satu hari nanti Yuna memilih untuk membuka tudungnya?
Artis terkenal seperti Wardina dan Waheeda kini menjadi contoh yang amat positif terhadap gadis-gadis yang memilih untuk bertudung. Akan tetapi, adakah rakyat dan pihak berkuasa di Malaysia akan menghormati pilihan mereka jika satu hari nanti mereka memilih untuk mendedahkan rambut mereka semula? Atau adakah mereka akan menemui nasib yang sama seperti Bahareh Vejdani?
Yang paling penting sekali, adakah kita sanggup untuk menghormati hak wanita Islam untuk bersuara?
Aktivis wanita dan penulis Amerika yang beragama Islam, Saleemah Abdul-Ghafur, menceritakan tentang pengalamannya sendiri di dalam buku yang diselenggarakannya, Living Islam Out Loud: American Muslim Women Speak. Saleemah, yang berketurunan Afrika Amerika, memakai tudung sejak kecil lagi. Dia belajar sampai ke peringkat ijazah, dan kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki Muslim yang disegani dalam komunitinya. Namun, suaminya telah menganiayai dan memukul Saleemah, dan mereka akhirnya bercerai.
Ketika itu, Saleemah telah cuba mengubat luka di dalam hatinya, dan telah cuba mendalami penghayatannya terhadap agama Islam.
“Saya mula menilai semula hidup saya, khususnya amalan saya. Saya memutuskan untuk berhenti mengamalkan perkara yang tidak lagi masuk akal untuk saya, jadi saya berhenti memakai hijab — bukan kerana saya merasa tertindas, tetapi kerana saya menyedari bahawa memakai hijab itu tidak pernah menjadi pilihan saya sendiri.
Saleemah Abdul-Ghafur “Setelah saya mengkaji kitab suci Al Quran dan himpunan kitab Islam yang lain dan banyak berdoa tentang isu hijab, saya sedar bahawa keimanan saya tidak berkait langsung dengan pemakaian hijab. Capaian saya terhadap Islam tidak bergantung kepada penampilan luaran saya.”
Di dalam Does My Head Look Big in This?, novel pertama Randa Abdel-Fattah pula, dikisahkan pengalaman seorang anak gadis Australia yang akhirnya memilih untuk memakai hijab.
Ini bukan soal pro- atau anti-tudung. Ini adalah soal tentang perjalanan hidup setiap insan. Kita seringkali merujuk kepada hukum-hakam — sama ada yang sekular atau yang beragama — tanpa mendengar dahulu pengalaman dan pergolakan hati kecil setiap individu.
Kenapa Yuna di-“boo”? Kenapa Vejdani ditembak mati? Kerana mereka dinilai dan dihukum sebelum penyerang mereka mengambil tahu apa-apa pun tentang perjalanan hidup mereka.
Jadi, marilah kita semua berkongsi kisah perjalanan hidup kita — yang bertudung, tidak bertudung, Islam, bukan Islam, lelaki, perempuan, gay, heteroseksual — dan biarlah kita mendengar dengan peka.
Shanon Shah mengimpikan satu hari nanti Malaysia akan dipimpin oleh perdana menteri wanita yang prihatin terhadap perjalanan hidup setiap lapisan rakyat.
tengku mohd faizal says
“Essence” is more important than just “form”.
Dhanen Mahes says
A very good article Shanon. Insightful and timely.
aidan says
Thanks, Shanon for voicing out a very important issue that most fear to talk openly about. A well-written article.
Izy says
Finally, something that makes sense and is totally human.