Rihanna (© LeeLeeLu / Flickr)LINKIN Park, Avril Lavigne, Mariah Carey, Rihanna, dan Inul Daratista — apakah persamaan antara artis-artis ini? Jawapannya: Dewan Pemuda PAS telah dan sedang cuba mengharamkan konsert mereka di Malaysia.
Terkini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa supaya membatalkan permit persembahan untuk konsert Rihanna pada 13 Feb 2009.
Pada bulan Ogos 2008, PAS juga telah cuba mengharamkan konsert Avril Lavigne di Kuala Lumpur kerana mendakwa ia tidak menghormati awal Ramadan. Ketika itu, PAS berkata bahawa Lavigne “terlalu seksi” untuk Malaysia. Kali ini, PAS mendakwa yang Rihanna “lebih seksi dan lebih bahaya” daripada Lavigne.
Ketua pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohammad, menambah bahawa barangsiapa yang menghadiri konsert Rihanna seolah-olah menyokong serangan Israel ke atas Gaza.
Sehubungan ini, PAS telah mendesak orang ramai supaya memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) demi membantah sokongan AS untuk Israel.
Saya rasa pendekatan PAS ini menarik: apabila isu tersebut berkaitan dengan perang dan krisis kemanusiaan, strategi yang digunakan ialah memboikot. Tetapi mengenai konsert dan penghibur wanita, strategi PAS pula ialah pengharaman. Adakah terdapat perbezaan antara strategi boikot dan pengharaman?
Menghormati atau mencabul
Boikot sebenarnya memberikan pilihan kepada kita — jika kita setuju dengan motivasi dan matlamat boikot tersebut, kita boleh turut serta. Jika kita tidak setuju, kita ada hak untuk tidak mengendahkan boikot tersebut. Dan dari sini akan wujud peluang untuk perbincangan dan perbahasan antara mereka yang pro-boikot atau anti-boikot.
Tetapi pengharaman pula tidak memberikan peluang seperti ini. Pengharaman mematikan peluang setiap individu untuk memilih dan berfikir secara rasional. Pihak yang mengharamkan sebarang perbincangan atau produk seolah-olah berkata, “Kami betul, kamu semua salah. Kamu tidak ada hak untuk membantah atau membuat pilihan lain. Kalau kamu buat juga, kami akan hukum kamu.” Dan mereka yang pro-pengharaman tidak akan berpeluang untuk membuka minda sendiri.
Pendek kata, strategi boikot menghormati hak individu. Strategi pengharaman pula mencabul hak.
(© Jef Bettens / sxc.hu)
Peluang berdialog
Saya tidak ingin mempertikaikan dakwaan PAS bahawa artis seperti Rihanna terlalu seksi. Saya juga menghormati pendirian pemimpin PAS yang merasakan persembahan Rihanna tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam.
Akan tetapi, saya tidak bersetuju dengan hujah PAS. Beginilah — saya juga membantah serangan Israel ke atas Gaza, dan penjajahan Israel ke atas tanah Palestin. Tetapi sebagai seorang lelaki Islam, saya tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa saya ini seolah-olah menyokong Israel jika saya menghadiri konsert Rihanna. Saya juga tidak bersetuju akhlak saya akan runtuh sekiranya menghadiri konsert Rihanna.
Bila dua pihak tidak bersetuju, ia merupakan satu peluang keemasan untuk membuka pintu dialog. Mungkin PAS tidak memahami pendirian orang Islam seperti saya, dan orang Islam seperti saya tidak memahami pendirian ahli PAS. Mustahil kedua-dua pihak akan bersetuju seratus-peratus, dan mustahil sebarang persetujuan dapat dicapai dengan sekelip mata. Dialog merupakan satu proses yang berterusan.
Akan tetapi, apabila PAS menggesa supaya konsert-konsert seperti ini diharamkan, saya rasa pintu dialog tertutup rapi. Bukankah ini strategi yang sama yang dipakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini? Apa yang BN tidak suka, mereka akan haramkan saja.
Raja Petra Kamarudin (© Johnleemk; source: Wikipedia)Pengharaman ada pelbagai bentuk. Contohnya, menahan penulis blog seperti Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); mengharamkan penggunaan perkataan “Allah” di kalangan penganut agama Katolik di Malaysia; dan mengharamkan pemenang hadiah Nobel dari Iran, Shirin Ebadi, daripada berucap di Malaysia.
Jadi, bila PAS melaungkan slogan pengharaman, saya tidak nampak beza di antara mereka dan BN dalam hal ini.
Tapi saya tertarik dengan strategi boikot. Boikot merupakan strategi yang kadangkala berkesan dan berprinsip. Contohnya, kempen boikot terhadap rejim apartheid Afrika Selatan. Malah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pun sedang giat berkempen memboikot barangan buatan Yahudi.
Oleh kerana ia berteraskan pilihan atau hak individu untuk tidak menggunakan sesuatu produk atau menyokong sesuatu pihak, strategi boikot juga tidak menutup pintu dialog. Contohnya, walaupun saya tidak bersetuju dengan prinsip yang dipegang oleh PPIM, namun kempen boikotnya jelas membuka pelbagai peluang untuk berdebat. Lihat saja diskusi para pembaca terhadap artikel berita yang dicetak oleh The Nut Graph di sini.
Jadi, saya hairan mengapa PAS mendesak supaya konsert Rihanna diharamkan. Bukankah ini menutup peluang parti ini untuk berbincang dengan rakyat Malaysia?
Mungkin jawapannya dapat dikupas daripada kenyataan setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusuf, dalam akhbar Star. Katanya, “Semestinya pengharaman konsert ini akan menimbulkan reaksi, tetapi ia merupakan reaksi positif.” Tambahnya, PAS yakin bahawa desakan untuk mengharamkan konsert seperti ini akan meraih sokongan yang lebih meluas di kalangan rakyat Malaysia, termasuk rakyat bukan Islam.
Saya ragu-ragu dengan dakwaan ini. Akan tetapi kalau dakwaan ini benar, saya amatlah khuatir.
Belajar berdemokrasi
Payung – ayung – ayung (© Jade Colley
/ sxc.hu)Malaysia sedang mengalami perubahan politik dan sosial yang agak mendadak. Keganasan polis, saringan ke atas akhbar tradisional, ketuanan Melayu, ISA, rasuah, politik wang — kesemuanya dibincang dengan hangat oleh rakyat.
Tetapi dalam isu moraliti peribadi, kita masih tidak begitu berani berdialog. Apabila PAS mendesak untuk mengharamkan konsert Rihanna, liputan berita tidaklah sebegitu mendalam seperti liputan tentang politik wang dalam Umno, isu hudud, dan keganasan polis.
Akan tetapi, bidang seni dan hiburan amatlah bersangkut paut dengan penghayatan kita terhadap konsep demokrasi yang sebenarnya. Tidak kiralah sama ada kita mendengar lagu Umbrella oleh Rihanna atau Intifada oleh Rabbani. Tidak kiralah sama ada kita menonton siri televisyen American Idol atau Jejak Rasul.
Sebarang karya seni atau hiburan sebenarnya menanyakan kita soalan tentang nilai-nilai kita. Tidak kira tentang isu putus cinta, kesedaran politik, peperangan, falsafah, atau agama. Dan memang ada soalan yang akan membuat kita kurang senang.
Tetapi isunya bukan tentang apa yang membuat kita senang atau kurang senang. Isunya, apabila kita berdepan dengan sesuatu nilai yang mengganggu kita, apakah tindakan kita yang seterusnya? Mengharamkan nilai tersebut, atau mengambilnya sebagai rangsangan untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang orang lain dan diri kita sendiri?
Shanon Shah tersangatlah menyampah dengan lagu Unfaithful oleh Rihanna, dan telah memboikotnya dari awal. Bagi Shanon, lagu Umbrella sedap, tetapi terlalu kerap diputarkan sampai dia naik muak. Dan Shanon bersedih kerana peluang untuk Sugababes dan Girls Aloud berkonsert di Malaysia tipis sekali.
Rakyat Perihatin says
Saya rasa perkara seperti ini mungkin perlukan sedikit penerangan berkaitan dengannya. Mungkin bagi penulis konsert adalah sesuatu yang biasa. Tetapi pada pandangan Islam, perkara tersebut akan menyumbang kepada peningkatan gejala tidak bermoral dikalangan remaja. Cukuplah dengan rancangan realiti yang semakin bertambah saban hari untuk meruntuhkan jatidiri remaja. Kita seakan-akan tidak boleh hidup tanpa semua hiburan. Natijahnya, generasi muda semakin hanyut. Khayal dengan hiburan yang disajikan tanpa memikirkan masa depan.
Jadi pengharaman tersebut adalah satu langkah yang baik demi menyelamatkan generasi muda. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Banyak lagi alternatif untuk mereka lakukan selain daripada pergi ke konsert. Aktiviti lasak outdoor, sukan dan sebagainya yang mana lebih membina kekuatan luaran dan dalaman remaja berbanding menghadiri konsert yang hanya membazir wang, tenaga dan masa. Saya amat bersetuju dengan pengharaman konsert tersebut yang sememangnya tidak mendatangkan manafaat kepada masyarakat.